KISAH 18 – NAMPAK KAKI AKU?

Karya : Bahruddin Osman

 

“Kau kait dekat belah sana, aku kait dekat tepi parit ni,” suruh Zul kepada kawan sekerjanya, Pian.

“Aduh, belah sana tu dah la sunyi, gelap pulak tu. Kau la kait belah sana Zul. Minggu lepas pun kau mengelat jugak. Asyik nak kait buah pokok rendah je,” keluh Pian. Sambil itu tangannya mengambil batang pengait buah kelapa sawit yang disandarkan di tepi stor kebun itu.

Begitulah rutin bulanan dua sahabat karib itu yang kerjanya mengambil upah mengait buah kelapa sawit di kebun penduduk kampung sementara menunggu keputusan SPM keluar tidak lama lagi.

Kadangkala, mereka turut mengambil upah meracun di sawah padi milik Felda. Tak pun memotong rumput di tepi jalan mengikut Pak Seman AJK kampung itu. Tak kisah apa saja kerja kampung mereka buat, janji boleh menjana duit.

“Yalah, yalah. Asyik membebel je kau Pian. Kau kait buah dekat sini, biar aku kait dekat sana. Ni dah pukul 5 petang ni. Lambat-lambat karang pukul 10 malam pun tak turun-turun buah sawit tu dari pokok. Cepatlah kita buat, biar cepat habis,” balas Zul.

Zul dan Pian sudah berkawan sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Mereka sudah masak dengan perangai masing-masing. Kalau pun hari ini bergaduh, esok lusa mereka tetap macam belangkas semula, bergurau senda seperti tiada apa yang berlaku.

“Jelmaan yang mendatang, meragut menggoda, membenam binasa cinta…” suara Pian yang mengalunkan bait lagu dari penyanyi Shima sambil mengait setandan sawit yang sudah masak dari celahan pohon mengisi suasana kebun itu.

****

Kawasan ladang itu kembali tenang dan sunyi. Dua anak muda itu tekun melakukan kerja tanpa sedar waktu kian berlalu. Sehingga bunyi suara riang unggas seakan memberitahu seisi ladang bahawa hari akan bertukar gelap.

Matahari kian terbenam. Pepohonan sawit yang tinggi di ladang itu menghadang kebanyakan cahaya mentari sampai ke tanah. Walaupun baru pukul 6.30 petang, keadaan di ladang itu sudah mulai gelap.

Seketika kemudian, kelihatan Zul berlari laju ke arah Pian yang baru sahaja selesai menyusun pelepah-pelepah sawit yang luruh.

“Kau lari laju-laju ni nak ke mana? Mana batang pengait kau? Jangan letak merata-rata, nanti hilang tak berbaloi upah kita dapat nak beli pengait baru,” tegur Pian kepada sahabatnya yang tiba-tiba berlari dari seberang kawasannya.

“Tuuu… Kat sana tu. Kau nampak tak ada awek pakai baju kurung hijau bunga-bunga tu? Tuuu… yang sandang beg Garfield tu. Nampak tak?” Zul menuding jari ke arah satu kelibat perempuan di sebalik pohon kelapa sawit di tempat dia mengait tadi kepada Pian.

“Adui kau ni Zul, buat saspen je. Aku ingatkan ada babi hutan ke, harimau ke, ular ke yang kejar kau tadi. Alah, tu mesti makwe seberang yang kerja kontrak tu. Itu yang kau takutkan. Kan kat dalam sana tu memang ada rumah kongsi pekerja asing. Yang kau menggelupur sangat ni kenapa?” bebel Pian.

“Tapi, lain macam je awek tu aku tengok,” balas Zul, masih nampak ketakutan.

“Macam-macamlah kau ni. Biar aku pergi tegur awek tu.Kau tunggu aku kat motor. Jangan pergi mana-mana pulak. Benda macam ni pun nak takut,” kata Pian dengan angkuhnya.

Pian perlahan-lahan pergi ke arah kelibat perempuan di sebalik pohon sawit itu.

“Hai awak, nak pergi mana dah senja macam ni? Dengan beg bagai, nak lari dari rumah ke? Bas tak masuk dalam ladang sawit ni tau. Bus stop ada dekat simpang keluar ladang nun. Jauh kalau nak berjalan. Nak saya tolong hantar ke?” tanya Pian kepada perempuan yang separuh berselindung di sebalik sebatang pohon sawit itu.

Perempuan yang lengkap bertudung litup, berbaju kurung hijau berbunga besar itu tidak menjawab. Dia hanya menundukkan wajahnya seolah-olah mencari sesuatu di tanah.

Pian masih lagi tidak dapat melihat dengan jelas wajah perempuan itu dalam samar senja yang kian menghitam.

“Awak cari apa dalam gelap ni? Esok siang la cari. Hari dah gelap ni, mana nampak cari barang. Jangan kata barang, muka awak pun saya susah nak nampak ni,” ujar Pian yang masih berharap wanita itu memberi reaksi kepadanya.

Tiba-tiba perempuan itu bersuara…

“Kau nampak tak kat mana kaki aku?” soalnya.

“Laaa.. Kaki sendiri pun tak nampak ke?” balas Pian semula.

“Tu bukan kaki awak?” kata Pian yang menyangka perempuan itu bergurau.

“Eh, mana kaki awak…” baru Pian perasan wanita itu tidak berkaki, seolah-olah terapung-apung.

Belum sempat Pian menghabiskan kata-katanya, perempuan tadi terus bertukar rupa. Hilang sudah tudung dan baju kurungnya. Yang muncul adalah rambut panjang mengerbang menutupi sebelah wajahnya yang ngeri dan hodoh. Taringnya tersembul keluar dengan mata merah, kuku tajam kehitaman.

Serentak juga muncul bau yang amat busuk.

Hee hee heeee…..

Makhluk itu mengilai. Di hadapan Pian yang sudah kaku, makhluk itu terbang melayang dari pohon ke pohon sawit yang berdekatan sambil terus mengilai-gilai.

Tidak lama kemudian, makhluk itu hilang dalam kegelapan senja di celahan pelepah-pelepah sawit.

Pian yang ketakutan terasa jantungnya bagai berhenti berdenyut. Dia berpaling, mahu berlari ke arah Zul yang menunggu di motor. Tapi, kakinya terasa begitu berat, bagai dipaku ke bumi.

Dalam kejauhan senja itu, Pian nampak sahabat baiknya Zul, memecut motor dengan laju keluar dari kebun itu.

“Tak guna kau Zul,” bisik Pian dalam hati sebelum pandangannya bertukar gelap.

Pian jatuh terjelepuk, tidak sedarkan diri.

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!