KISAH 16 – SIAPA BUNUH PAK WAN & DOLLAH?

Karya : Engku Ajai

 

Mee Rebus Pak Wan, satu nama yang tidak asing lagi di kampung aku pada tahun 90-an. Nama Pak Wan memang glamour. Ini kerana gerai mee rebusnya yang dikira antara tersedap di daerah kami. Pak Wan membuka gerainya dari pukul 9.00 pagi dan tutup pukul 9.00 malam. Pelanggannya bukan saja penduduk kampung tapi juga dari daerah luar.

Pak Wan ada seorang pekerja. Namanya Dollah Ayam, seorang pemuda kampung yang sudah bertahun-tahun setia berkhidmat di gerai Pak Wan. Memang itu nama gelaran Dollah Ayam. Lucu didengar tetapi pada zaman itu adalah perkara biasa bila seseorang itu ada gelaran lain di belakang namanya.

Suatu malam, Pak Wan masih di dapur kedainya sambil membancuh teh O panas untuk dua orang pelanggannya yang baru tiba. Jam ketika itu pukul 8.30 malam. Dua orang pelanggan itu berpakaian seperti anggota hospital dan datang menaiki sebuah van. Ia van hospital, tapi warnanya gelap.

Pak Wan keluar sambil membawa 2 cawan air menuju ke meja pelanggan tadi. Hatinya terdetik untuk bertanya. Lalu Pak Wan pun duduk bersama petugas itu.

“Anak berdua ni dari hospital ke?” sapa Pak Wan.

“Ha ah, ya…” jawab mereka sambil menghulur salam.

“Dari mana nak ke mana?” Tanya Pak Wan lagi.

“Kami ni dari kampung sebelah, hantar jenazah. Mati kat hospital petang tadi. Saya yang handle mayat tu. Nama saya Ajai, yang ni pemandu saya, Osman,” jawabnya.

“Oh, begitu… eh kamu berdua ni nak makan apa?’” soal Pak Wan lagi.

“Mee rebus Pak Wan la. Apa lagi…” jawab mereka sambil tertawa.

Pak Wan bangkit dan ke dapur semula menyiapkan dua mangkuk mee rebus. Kelihatan masih ada lagi stok mee rebus di dapurnya. Ada tiga bungkus besar mee kuning yang setiap satu seberat satu kilogram. Pak Wan melihat kuah dalam periuk, masih banyak lagi.

Setelah selesai makan dan membayar harga makanan, dua petugas hospital itu meminta diri dan bergeraklah van itu menuju ke jalan besar. Barulah Pak Wan dapat melihat rupanya van itu adalah van jenazah hospital. Patutlah gelap, bisik hati Pak Wan.

“Dollah, kemaskan mangkuk cawan ni. Boleh tutup kedai,” laung Pak Wan.

Dollah Ayam datang dan mengemas meja tersebut. Sambil membuat kerjanya, entah kenapa Dollah berasa lain macam. Dia terasa seram sejuk. Dollah melihat jam di tangannya, baru pukul 9.45 malam.

Tidak semena mena di mata Dollah, terlihat seorang wanita berbaju kurung kuning berjalan laju menuju ke arah gerai Pak Wan. Dollah kaget seketika melihat liuk lentok wanita yang entah dari mana munculnya itu.

Masuk ke dalam gerai, wanita itu terus duduk di meja berhadapan kaunter sambil merenung Pak Wan. Tanpa sepatah perkataan, dia menuding jari menunjuk ke arah mee rebus di dapur sambil mengangguk-angguk kepalanya kepada Pak Wan.

“Ya, ya baiklah. Pak Wan buatkan. Err… anak ni nak minum apa?”

Wanita itu menunjukkan teh O sisa minuman yang telah diminum tadi oleh dua petugas hospital tadi.

Tanpa banyak bicara, Pak Wan terus membuat pesanan wanita tersebut. Terdetik juga dihati Pak Wan, siapa wanita itu? Dari mana datangnya malam-malam begini? Anak siapa? Setahunya dia tidak pernah melihat wanita ini di kampungnya mahupun kampung sebelah.

“Nah, makanlah. Pak Wan nak tutup kedai ni. Tapi kerana mee rebus ada lagi, anak makanlah. Inya-Allah, puas hati,” kata Pak Wan.

Tiba tiba wanita itu seolah tersentak dan merenung tajam kepada Pak Wan, tatkala Pak Wan menyebut ‘Allah’ tadi. Pak Wan yang serba salah segera memohon maaf andai tersalah kata.

Wanita itu tunduk dan memakan mee rebus itu dengan lahap sekali. Seolah olah tidak mengunyah dan dan terus menghirup dan menelan mee rebus itu dengan rakusnya.

Dollah Ayam curi-curi menjeling juga sambil mengemas meja lain. Dollah mengenyit mata ke arah Pak Wan agar beliau tidak mempedulikan wanita itu yang sedang makan. Tetapi dalam samar samar cahaya lampu, Dollah perasan ada yang tidak kena dengan wanita itu.

Apabila Dollah mengemas meja di belakang wanita itu, Dollah tercium seperti bau kemenyan dan kadangkala seperti bau bangkai tikus. Wanita itu pula duduknya seperti tidak bergerak langsung. Kaku.

Selesai semangkuk mee rebus, wanita itu mengangkat mangkuk mee itu ke arah Pak Wan sambil menunjukkan lebihan mee dan kuah lagi.

“Oh, nak tambah ya. Ok, pakcik faham,” kata Pak Wan sambil menyediakan mee rebus lagi.

Selesai mangkuk yang kedua, wanita itu meminta lagi…dan lagi. Begitulah seterusnya hingga mangkuk yang ke 11.

“Dollah, dah kemas ke semua meja?” Tanya Pak Wan.

“Ya Pak Wan, tinggal akak ni je yang masih makan. Pak Wan, nak tanya sikit boleh?” Dollah berbisik ke telinga Pak Wan.

“Apa dia?”

“Pak Wan perasan tak, banyak betul mee rebus perempuan tu makan. Dekat tiga bungkus mee tu…” ujar Dollah Ayam.

“Biarlah, mungkin dia lapar sangat. Datang dari jauh agaknya,” jawab Pak Wan.

“Kau jangan balik dulu Dollah. Teman Pak Wan kejap. Lain macam malam ni sejuknya,” ujar Pak Wan. Dollah hanya mengangguk kepala.

Mata Dollah kemudian melihat wanita itu bangun dari tempat duduknya dan berpusing ke arah belakang Pak Wan. Dollah memberi isyarat mulut pada Pak Wan menyatakan wanita itu dibelakang nya.

Pak Wan pun berpaling. Ketika itu suasana agak sejuk. Entah mana datangnya bagaikan ada bau kemenyan bercampur bau kuah mee rebus yang kuat menusuk hidung Pak Wan dan Dollah Ayam.

Sambil tersenyum Pak Wan bertanya,” Selesai dah? Kalau macam tu semua sekali RM33 untuk 11 mangkuk tu. Terima kasih datang ke sini, habis juga mee rebus Pak Wan ni,” kata Pak Wan. Dollah Ayam diam sahaja.

Wanita itu hanya diam tegak berdiri. Tidak menjawab sepatah pun. Wanita itu merenung tepat ke muka Pak Wan dan Dollah Ayam. Saat itu wajah Dollah Ayam sebenarnya sudah pucat lesi. Pak Wan berpaling merenung Dollah yang sudah pucat.

“Kenapa kau ni Dollah?” Tanya Pak Wan.

“Tu.. tu… tengok tu Pak Wan. Bawah kerusi dia duduk tu,” kata Dollah makin tak keruan.

Pak Wan berpaling ke arah wanita tadi dan melihat kerusi tempat wanita itu duduk.

“Eh, apa kuning kuning berlendir selonggok bawah kerusi tu?” soal Pak Wan.

Serentak itu, wanita tersebut tersenyum, menampakkan giginya yang putih. Pak Wan mendekati wanita itu sambil melihat di bawah kerusi di mana tempat wanita tadi makan mee rebusnya.

“Ya Allah! Apa ni? Ini mee rebus! Apa engkau buang ke mee rebus aku ni?” soal Pak Wan yang terkejut lalu berpaling menghadap wajah wanita itu yang masih tersenyum.

Tiba-tiba wanita itu menunjukkan perutnya kepada Pak Wan dan terlihatlah perutnya yang tiba-tiba berlubang besar diiringi bau hanyir dan ulat-ulat berengga yang meliuk lentuk daripada celahan lubang itu.

Malahan mee rebus yang dimakannya tadi masih bergantungan, berjuraian pada organ dalaman perutnya yang amat busuk.

Keadaan wanita itu yang berubah bentuk begitu membuatkan Dollah pengsan di situ juga, manakala Pak Wan jatuh terduduk dan kemudian tidak sedarkan diri apabila wanita itu menyeringai, menampakkan taringnya yang tajam.

Keesokkan harinya, kecoh sekampung akan kehilangan Pak Wan dan Dollah Ayam kerana tidak balik ke rumah malam tadi. Orang kampung mulai mencari di gerainya dan mendapati gerai Pak Wan bersepah dengan mee rebus dan meja makan berselerak.

Pencarian diteruskan dan akhirnya orang kampung menemui Pak Wan dan Dollah dalam keadaan yang menyayat hati.

Mayat Pak Wan dan Dollah Ayam dijumpai tergantung di sebatang pokok di kawasan hutan di belakang kedainya dengan keadaan perut mereka yang berlubang. Mereka digantung dalam keadaan terbalik dengan kaki di atas, kepala di bawah.

Siapa yang menggantung mereka begitu?

Dan siapa pula yang begitu kejam merobek perut mereka?