KISAH 15 – JANGAN TOLEH!

Karya : Muhammad Aimin Mohd Jasuri

 

Farid termenung di bilik kawalan polis bantuan. Otaknya ligat berfikir, mencari akal bagaimana hendak mencari duit untuk belanja perkahwinannya nanti. Wajah tunangnya, Khalidah sering berlegar-legar di ruang matanya. Gusar, takut kenduri tak menjadi.

Farid masih kurang duit untuk belanja kenduri. Wang simpanannya hanya cukup-cukup untuk duit hantaran. Bagaimana pula dengan kos-kos lain seperti mas kahwin, barang hantaran, nak masuk rumah setelah kahwin dan sebagainya.

Pening Farid dibuatnya. Gajinya sebagai polis bantuan di sebuah universiti tidak seberapa. Bagaimana dia hendak mendapatkan wang dalam masa cepat, sedangkan majlis perkahwinannya hanya tinggal 3 bulan saja lagi.

“Hah! Menung apa tu?” Lamunan Farid dimatikan oleh sergahan rakan sekerjanya, Hanafi.

Terkejut Farid dibuatnya. Hanafi yang berkulit hitam manis itu hanya ketawa melihat Farid kekalutan bila disergah.

“Dah, jom minum,” ajak Hanafi. Mereka menuju ke sebuah gerai tidak jauh dari situ. Melihat wajah Farid yang murung, Hanafi bertanya apa masalah yang dihadapinya.

“Hmm.. aku pening macam mana nak carik duit ni,” jawab Farid, sambil menceritakan masalahnya.

“Itulah, dulu aku ajak kau tak nak…” kata Hanafi tersengih.

Ingatan Farid terjentik. Dia teringat kisah Hanafi dulu. Kalau ikutkan dahulu, tiada siapa mahukan Hanafi. Sudahlah kulit hitam, rupa pun tiada. Tak pernah Hanafi keluar dengan mana-mana wanita pun. Tup-tup tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba Hanafi berkahwin.

Calon isterinya pula bukan main cantik, bekas pelajar universiti tempat mereka bekerja. Bukan hanya berkahwin, Hanafi siap boleh tukar kereta baru lagi. Proton saga buruk yang sudah berusia belasan tahun itu digantinya dengan Honda City. Hish, mana Hanafi dapat duit banyak begitu, sedangkan gajinya dengan Farid tak jauh berbeza pun.

“Nanti aku ajar macam mana caranya. Kau ikut je aku,” kata Hanafi sambil tersenyum.

Setelah masa diatur, pada suatu malam, Hanafi membawa Farid bertemu seseorang. Lokasinya di sebuah kedai dobi, berdekatan sebuah pasar raya. Deretan kedai itu agak terselindung. Jam menunjukkan pukul 11.00 malam. Malam itu, bukan hanya Hanafi yang datang. Turut serta ialah Wan Speed, sepupu Hanafi.

Kisah si Wan Speed pun pelik juga. Dia bekerja sebagai pemandu bas di sebuah universiti. Gaji pun tak seberapa. Tiba-tiba dia dapat modal buka gerai burger dan char kuey teow. Gerainya pula walaupun baru tapi selalu penuh dengan pelanggan.

Farid hanya mengikut langkah Hanafi masuk ke dalam kedai dobi. Di hujung bahagian belakang kedai, ada seorang lelaki berusia lingkungan hujung 30-an. Matanya redup, namun tajam memerhati.

Sampai di depan lelaki itu, Hanafi memperkenalkan Farid kepadanya. Lelaki itu dipanggil sebagai Ramon. Kedai dobi itu kepunyaan bapa saudara Ramon, namun Ramon yang membantu menguruskannya. Hanafi kemudian membuka mulut, memberitahu Ramon tentang Farid yang kekurangan duit untuk berkahwin. Ramon hanya tersengih mendengarnya.

“Kau cuma perlu tikam nombor saja!” kata Ramon.

Berkerut dahi Farid mendengarnya. Tikam nombor? Apa gila mamat ni suruh aku main nombor ekor, bisik hati Farid.

Hanafi cuma ketawa melihat riak wajah Farid. Kemudian dia membuka cerita. Rupa-rupanya, Hanafi dan Wan Speed mendapat duit durian runtuh kerana mengikut arahan Ramon. Kata Hanafi lagi, ramai orang bermain nombor ekor di pekan itu termasuklah yang berkopiah putih. Tapi, ada cara kalau mahu nombor naik.

Nak dapat nombor bertuah untuk dimenangi, Farid kena ‘menjamu’. Wajib sediakan dulang perak yang diletakkan buah pisang sesikat, rambutan sekilo, pulut kuning dan rendang ayam.

Kemudian, dulang itu perlu diletak di sebuah kawasan, di pinggir hutan dekat Kuala Pilah. Syaratnya lagi, nak ‘menjamu’ itu harus dilakukan pada malam Selasa atau malam Jumaat. Tidak dibenarkan sama sekali ‘menjamu’ pada malam bulan mengambang penuh.

“Syarat ini paling penting, sama sekali tak boleh dilanggar. Apa pun jadi, kau jangan sesekali menoleh ke belakang tak kira apa saja yang kau dengar!” pesan Ramon dengan wajah serius.

Disebabkan mahu mendapat wang dengan cepat, Farid setuju untuk melakukannya. Soal halal haram sudah diketepikan. Farid hanya terbayang dia dan Khalidah duduk bersanding dengan gembira.

Tiba hari dijanjikan. Malam itu malam Jumaat. Farid sudah sedia untuk melakukan upacara ‘menjamu’. Kali ini dia ditemani Izzat, rakannya yang bertubuh gempal. Izzat juga bekerja di tempat yang sama dengan Farid. Cuma bezanya, Izzat bertugas dalam unit kewangan.

Izzat mahu sangat mengikut Farid kerana mahu melihat betul ke apa yang akan dibuat Farid boleh dapat durian runtuh. Jika berkesan, Izzat pula mahu berjumpa Ramon.

Tengah malam itu, mereka sampai di pinggir hutan. Keadaan sekeliling gelap. Hanya sedikit samar cahaya daripada lampu di tepi jalan. Dulang jamuan telah diletakkan di bawah sebatang pokok. Farid mengeluarkan sekeping kertas dan mula membaca mentera. Izzat yang berdiri di situ mula ketakutan.

Tiba-tiba saja angin kuat mula menerpa. Pokok-pokok di sekitarnya bergoncang, seperti ada sesuatu yang besar sedang bergayut dan melompat antara dahan ke dahan.

Farid juga mula gementar, tetapi dia tetap menghabiskan mentera yang diajar Ramon itu, langsung tidak memandang ke arah lain. Sebaik selesai membaca mantera, Farid terus berlari sekuat hati ke arah kereta yang diparkir di tepi jalan. Izzat turut sama berlari. Cuma lariannya tidak selaju Farid kerana saiz badan dan perutnya yang boyak itu melambatkan pergerakan.

Sebaik Izzat masuk ke dalam kereta, Farid terus memecut pulang. Sampai di rumah, Farid menggoncang satu tabung buluh yang diberikan oleh Ramon. Hanya selepas ‘menjamu’, barulah dia boleh menggoncang tabung buluh itu. Jika tidak, nombor tak menjadi. Itu pesan Ramon.

Setelah digoncang, perlahan-lahan timbul nombor 2 0 5 5 pada buluh tersebut. Itulah nombor yang dibeli Farid dan dia bagaikan tidak percaya apabila nombor itu naik first prize. Tersenyum Farid bila mendapat RM20,000 sekelip mata. Selesai masalah kekurangan duit untuk majlis kahwinnya nanti.

Melihat apa yang dilakukan Farid berhasil, Izzat mula berkobar-kobar dan percaya dengan Ramon. Dia juga mahu cepat kaya. Kalau dia dapat banyak duit sekelip mata, macam-macam hendak dibelinya. Perasaan tamak mula menguasai Izzat.

Izzat pula berjumpa Ramon. Pun sama, Ramon memberitahu syarat-syaratnya seperti yang diberitahu kepada Farid sebelum itu. Izzat tersenyum. Dia mahu dapat lebih daripada Farid. Rasa tamak dan iri hati mula menguasai hati, walaupun Izzat sebenarnya tidak menghadapi kesusahan.

Malam yang ditetapkan, Izzat pergi ke pinggir hutan itu untuk ‘menjamu’. Kali ini Farid pula yang jadi penemannya. Ketika Izzat membaca mentera, Farid terlihat suatu kelibat. Di sebalik pokok-pokok yang bergoyang itu, ada lembaga besar seakan beruk sedang menghampiri dulang jamuan.

Tak lama kemudian, lembaga itu mula tampak jelas. Wajahnya bengis dengan mata merah menyala. Ia menyeringai, menampakkan gigi taringnya yang panjang dan tajam. Lembaga itu menghampiri Izzat yang masih tekun membaca mantera.

Disebabkan takut, Farid lari tak cukup tanah meninggalkan Izzat. Manakala Izzat pula tidak mampu untuk terus menghabiskan bacaan manteranya. Sebaliknya, dia juga ikut lari kerana sedari awal dia sudah berasa takut.

Semasa sedang berlari itu, Izzat terdengar suara memanggil-manggilnya dari arah belakang. Izzat terlupa pesan Ramon. Apa yang terjadi, jangan toleh! Izzat lupa pesanan itu.

Akhirnya, Izzat menoleh ke belakang. Dan ketika itu juga lembaga itu menerkam Izzat, merobek dadanya. Ketika membaham Izzat, wajah lembaga itu bertukar-tukar diselangi wajah Ramon. Akhirnya, Izzat mati dan mayatnya ditemui dalam keadaan yang mengerikan.

Farid tidak berani menceritakan kepada sesiapa apa yang berlaku malam itu. Adakah itu akibatnya apabila menoleh ke belakang?

Siapakah Ramon sebenarnya? Syaitan yang menyesatkan manusia dengan memperalatkan rasa tamak dan gelojoh manusia?

Perkara itu terus menghantui Farid. Sejak itu, dia juga tidak berani menoleh ke belakang ketika meronda di kawasan tempatnya bertugas. Bukan apa, Farid selalu terdengar sayup-sayup suara Izzat yang memanggilnya dan merintih kesakitan sewaktu dia meronda itu.

“Tolong Farid, tolong aku… tolong…” mendayu-dayu suara itu menghantuinya.

Pun begitu, Farid tetap tidak menoleh!