KISAH 1 – SI LIDAH PANJANG PENGHISAP DARAH

Malam itu hujan turun lebat berserta angin kuat. Kilat, petir sambung menyambung. Di sebuah rumah yang terletak jauh di hujung kampung, terdengar suara merintih.

“Aduhhhh..sakitnya. Ya Allah, sakitnya.” Suria merintih menahan sakit untuk melahirkan anak sulungnya. Peluh memercik didahinya yang mulus.

Hassan, suami Suria dari tadi telah keluar untuk memanggil Bidan Pah, satu satunya bidan yang ada dikampung mereka. Hanya berjalan kaki, Hassan meredah hujan lebat dan angin yang menggila malam itu.

Demi isteri tercinta dan anak yang bakal lahir, dia sanggup biar nyawa galang gantinya. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 30 minit berjalan kaki itu terasa berliku apatah lagi didalam hujan ribut yang menggila.

Di rumah pula,Suria terus berperang menahan kesakitan. Kalimah suci Allah tidak putus bermain dibibirnya. Bawah punggungnya sudah basah dengan cecair merah.

Suria hanya bertemankan ibunya yang telah uzur dan lumpuh di rumah. Ibunya tidak berdaya untuk membantu, sementelah ibu tua itu pula stroke, lumpuh separuh badan dari pinggang ke bawah. Pertuturannya juga tidak sempurna.

Krekkkk….krekkkkk…

Kedengaran bunyi anak tangga dipijak orang. Begitulah rumah kampung yang diperbuat daripada kayu dan telah dimamah usia. Ada seseorang sedang naik ke rumah Suria.

Pasti sebentar lagi pintu utama yang tidak berkunci akan ditolak dari luar. Tapi… seminit, dua minit, tiga minit… masih belum ada sesiapa yang muncul. Hanya bunyi deruan hujan dan angin yang sedang menggila.

Tiba-tiba…

“Suriaaa…Suriaaa… mana kau? Ini aku Bidan Pah!” kedengaran suara seorang wanita yang tenggelam timbul memanggil nama Suria dari luar. Sebentar kemudian, daun pintu ditolak dari luar dengan perlahan.

“Disini Nek Pah. Dalam bilik,” terketar-ketar Suria menjawab kerana menahan kesakitan.

Sebaik masuk ke bilik itu, Bidan Pah terus saja duduk diantara kedua belah kaki Suria.Tangan tuanya menyelak tinggi kain batik yang dipakai Suria. Senyuman tidak lekang dari bibir bidan tua itu.

Lantai sudah dipenuhi air ketuban bercampur darah. Suria masih merintih menahan sakit yang tidak terperi. Nyawanya terasa bagai telur di hujung tanduk.

*****

”Assalammualaikum… Assalammualaikum…Nek Pah! Nek Pah.” Hassan memanggil lantang sebaik dia tiba di kaki tangga rumah Bidan Pah.

Krekkk!

Pintu dibuka dari dalam.

”Hah, kamu Hassan. Siapa nak beranak?” Soal Bidan Pah sebaik dia terjenguk di depan pintu.

Khidmatnya sebagai bidan di dalam kampung itu amat diperlukkan. Apatah lagi kampung mereka jauh di kawasan pendalaman, sedangkan hospital terletak di bandar.

Hendak diikutkan, tidak terhitung dek jari berapa ramai anak-anak di dalam kampung itu yang dibidankan dan disambut kelahiran mereka oleh tangan Bidan Pah. Terlalu ramai.

“Suria, isteri saya sakit nak bersalin Nek Pah. Sebab tu saya datang ni,” jawab Hassan sambil menahan sejuk.

“Kau tunggu sekejap, aku ambik barang-barang aku.” Bidan Pah menghilang ke dalam rumah. Sebentar kemudian, dia keluar sambil membawa beg berisi barang keperluan untuk menjalankan kerja perbidanannya.

Seusai mengunci pintu rumah, Bidan Pah berdiri di anak tangga sambil membaca doa. Dia berserah segalanya pada Tuhan agar dilindungi dari sebarang musibah.

Hassan mendahului perjalanan di malam yang kelam itu.

Walaupun umur Bidan Pah telah mencecah hampir 87 tahun, namun dia masih sihat berbanding dengan orang tua yang sebayanya.

*****

Suria terus menahan kesakitan untuk melahirkan anak sulungnya. Bidan Pah menyeringai memperlihatkan giginya yang tajam berkarat. Air liurnya berjejer melihat darah pekat yang semakin banyak keluar dari rahim seorang ibu yang sedang bertarung itu.

Bau darah yang hanyir itu membangkitkan selera Bidan Pah. Tiba-tiba lidahnya yang panjang, merah menyala menjulur keluar. Lidah itu menjilat-jilat darah yang melimpah di atas lantai penuh nikmat.

*****

Hassan dan Bidan Pah hanya seperlung sawah lagi untuk sampai ke rumah.

“Hassan, kita kena cepat. Firasat aku, ada sesuatu yang tak elok berlaku di rumahmu. Kita kena cepat! ” Bidan Pah memberi arahan. Sebagai seorang bidan yang sudah berpengalaman berpuluh-puluh tahun, dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak elok sedang berlaku.

Sampai sahaja mereka ditangga rumah, Hassan meluru naik ke atas. Sebaik pintu kamar ditolak luas, terlihat di depan mata Hassan seorang wanita tua yang berupa seperti Bidan Pah sedang menjilat darah yang melimpah. Tetapi jelmaan Bidan Pah itu matanya merah seperti saga. Giginya tajam menyeringai.

Suria sebaik sahaja melihat Hassan di muka pintu terus menjerit, “Abanggggg… sakittttt! Tolong Suria bang!”

Bidan Pah sampai di pintu bilik dengan keris pusaka sudah sedia di tangannya. Bukan sekali dua tugasnya sebagai bidan diganggu oleh makhluk begitu.

Berbekalkan bacaan ayat-ayat suci, Bidah Pah terus menerpa makhluk yang telah bertukar kepada bentuk asalnya itu.

“Jangan kau ganggu anak-anak Adam di atas muka bumi Allah ini. Nyah kau dari sini sebelum kau hangus aku bakar!” amaran Bidan Pah membuat makhluk hodoh itu menyeringai marah lalu melompat dan bertenggek di rambung atap.

“Hassan, laungkan azan!” jerit Bidan Pah.

Hassan melakukan apa yang disuruh. Bergema laungan azan di dalam rumah itu, membuatkan makhluk itu kepanasan. Ia menerpa ke ke jendela, sebelum melompat keluar dan hilang dalam kepekatan malam.

“Hassan, ambilkan air panas sebesen dan kain tuala. Juga kain sarung yang bersih, lekas!” Bidan Pah memberi arahan tegas.

Sebentar kemudian, dengan izin Allah, Suria selamat melahirkan seorang bayi perempuan, dengan berbidankan Bidan Pah yang sebenar.

“Syukur alhamdulillah, semuanya selamat. Mujur kita cepat sampai. Kalau tidak, entah apa nasib isteri dan anakmu.” kata Bidan Pah.

“Makhluk apa tu Nek pah?” Tanya Hassan, ingin tahu lebih lanjut.

“Itulah yang dipanggil pelesit. Kerjanya memang menghisap darah dan memakan tembuni bayi yang baru lahir. Sebab itu sebelum melahirkan, elok diletak duri mengkuang atau benda benda tajam di bawah tempat ibu yang akan melahirkan. Tempat baring ibu pula haruslah dilapik dengan tikar mengkuang agar darah meresap tidak melimpah. Kalau kita lambat tadi, mungkin kau tak dapat jumpa isteri dan anak kau lagi,” panjang lebar Bidan Pah menjawab.

“Syukur alhamdulillah. Terima kasih Nek Pah,” balas Hassan, lega.

Kredit: Group Poseidon Paranormal.

Karya : Firashaziq Firas

**********************************

Salah satu kisah yang dihantar untuk ‘200 HANTU’. Anda nak cuba? Jom sertai kami dalam cabaran menulis 200 hantu. Cuma 200 perkataan saja minimun. Emelkan karya anda ke ciptakarya200@gmail.com

#200hantu
#Xmastika

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!