ISRAK MIKRAJ DAN TEORI KERELATIFAN EINSTEIN

Setiap kali tiba 27 Rejab, umat Islam akan menyambut Israk Mikraj, satu peristiwa penting yang wajar diingati. Umumnya, kita tahu apa itu Israk Mikraj. Setiap perkara berkaitan peristiwa itu dikhabarkan dalam ceramah Israk Mikraj sepanjang tahun.

Cuma kali ini, apa kata kita cuba lihat penerangan peristiwa penting ini dari sudut saintifik pula. Belum ada ulama dengan jelas mampu menerangkan peristiwa tersebut dari sudut sains. Namun, ada sebuah rencana yang ditulis pengkaji bernama OwaisUr-RehmanKhan dari Pakistan yang memberikan penerangan Israk Mikraj dari sudut sains. Lebih menarik, dia cuba mengaitkannya dengan teori kerelatifan Einstein. Berikut antara catatan kajian Owais…

Orang Islam amat arif bahawa peristiwa Mikraj adalah mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. Dalam perjalanan Mikraj, baginda mengembara ke seluruh pelosok alam semesta, bertemu Allah s.w.t, melihat syurga dan neraka serta bertemu para rasul dan nabi-nabi.

Sejak dahulu, orang bukan Islam tidak mempercayai dan bercanggah pendapat mengenai peristiwa Mikraj. Mereka menimbulkan persoalan bagaimana mungkin Nabi Muhammad s.a.w. dapat mengembara ke segenap pelosok alam semesta dalam tempoh yang amat singkat?

Era sewaktu peristiwa itu berlaku, adalah amat sukar untuk memahaminya, atau untuk meyakinkan orang bukan Islam. Pada hari ini, peristiwa Mikraj boleh dibuktikan mengikut kaedah fizik moden dan Teori Kerelatifan yang diterima di seluruh dunia.

Teori Kerelatifan adalah satu daripada  teori-teori terhebat yang dihasilkan oleh Albert Einstein pada 1905. Teori ini mempunyai berbagai kesimpulan memeranjatkan yang sukar diterima logik akal manusia.

Pada peringkat awal teori ini, orang tidak memahaminya kerana tidak ada bukti pemerhatian. Kejadian Mikraj juga satu bukti pemerhatian untuk ‘Teori Kerelatifan Khas’. Menariknya, peristiwa Mikraj berlaku pada tahun 622 Masihi sedangkan Albert Einstein mengemukakan teorinya pada tahun 1905. Berkemungkinan besar Albert Einstein membangunkan ideanya mengenai ‘Teori Kerelatifan Khas’ dengan merujuk pada peristiwa Mikraj. Lagipun, Albert Einstein mengemukakan ‘Teori Relativiti Umum’ hanya pada tahun 1917.

Para saintis menganggap ‘Teori Kerelatifan Umum’ adalah teori terbaik sepanjang zaman dan itulah juga yang mendorong saintis menganggap Albert Einstein `The Genius’. Sebab itu dalam kajiannya, Owais tertanya-tanya, kenapa Albert Einsten mengemukakan ‘Teori Relativiti Khas’ sebelum mengambil masa 12 tahun untuk mengemukakan ‘Teori Relativiti Umum’?

Boleh jadi Albert Einstein tahu mengenai peristiwa Mikraj, lalu dia cuba membangunkan idea asas ‘Teori Kerelatifan Khas’ dari peristiwa Mikraj. Selepas itu, Einstein membuat kajian mendalam selama 12 tahun dan akhirnya mengemukakan Teori Kerelatifan Umum, yang merupakan teori paling hebat sehingga masa kini.

Bagaimana mungkin Nabi Muhammad s.a.w. mengembara ke segenap alam semesta dalam tempoh waktu yang amat singkat?

Memandangkan Teori Kerelatifan Khas mempunyai pelbagai kesan yang sukar dijana akal logik manusia, jadi bagaimana pula kita mampu mengesahkan kesan-kesan ‘Teori Kerelatifan Khas’ yang dikemukakan Einstein, jika tidak ada apa-apa benda yang boleh bergerak mengikut kelajuan cahaya?

Persoalan terpenting mengenai peristiwa Mikraj yang menjadi perdebatan ialah, Nabi Muhammad s.a.w. mengembara ke segenap alam semesta dan apabila baginda kembali ke biliknya seperti di mana baginda berada sebelum pengembaraan Mikraj, rantai pada pintu itu masih berada pada kedudukan yang sama seperti mana ia berayun sebelum itu. Mustahil untuk kita fahami bahawa baginda s.a.w. mengembara ke seluruh alam semesta, tetapi di bumi, hanya satu waktu yang sangat singkat berlalu atau seakan masa telah berhenti.

Mengikut ‘Teori Kerelatifan Khas’, jika sesuatu benda bergerak pada halaju cahaya maka regangan masa dan keserentakan relatif berlaku. Nabi Muhammad s.a.w. menaiki Buraq, dan kelajuan Buraq adalah sama atau lebih dari  kelajuan cahaya. Oleh itu, kini kita dengan mudah boleh memahami bahawa regangan masa dan keserentakan relatif berlaku semasa peristiwa Mikraj. Maka itu, masa seakan-akan terhenti atau hanya satu tempoh masa yang amat singkat telah berlalu.

Jarak antara bumi ke hujung alam semesta adalah kira-kira 46.5 bilion tahun cahaya dalam semua arah, yang dipanggil alam semesta yang nyata. Ia kadangkala dipetik sebagai diameter 92.94 bilion tahun cahaya. Cahaya bergerak sejauh 9.46 trilion (juta bilion) kilometer setahun. Ini bermakna, jika cahaya bergerak tanpa henti maka ia akan sampai ke hujung alam semesta dalam masa 46.5 bilion tahun. Sebenarnya alam semesta adalah lebih besar dari alam semesta yang dapat dilihat, yang mana para saintis belum mengetahuinya. Tambahan pula, halaju cahaya ialah 3 x 108 m/s. Ia merupakan halaju paling pantas yang termungkin buat apa-apa pun.

Persoalan kedua ialah, untuk mengembara dalam satu jarak yang amat jauh, berbilion tahun diperlukan, jadi bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. mengembara dalam jarak sedemikian jauh dalam masa yang amat singkat?

Jawapan paling mudah pada persoalan itu ialah Allah Maha Kuasa. Allah berkuasa terhadap segala-galanya. Namun, jawapan  pada persoalan itu juga boleh difahami. Satu kesan ‘Teori Kerelatifan Khas’ ialah ‘Pemendekan Lorentz’ yang menyatakan bahawa sesuatu yang panjang seakan mengecut (lebih pendek) pada seorang pemerhati yang bergerak pada kelajuan cahaya. Oleh itu, adalah mungkin baginda s.a.w. merasakan jarak yang teramat pendek sedangkan ia sebenarnya adalah jarak yang teramat jauh (sesungguhnya Allah Maha Mengetahui).

 

Persamaan jisim dan tenaga

Kesan terakhir Teori Kerelatifan Khas ialah persamaan jisim dan tenaga, E = mc2 yang menyatakan jika sesuatu benda bergerak dengan kelajuan cahaya, maka jisimnya akan ditukar pada tenaga.  Apabila tenaga ini diubah semula menjadi jisim, disebabkan oleh kecacatan jisim, sebahagian dari  jisim ini akan hilang. Lagi pun, jisim sesuatu benda tidak akan bersatu seperti mana asalnya. Ini bermakna, barang kali mungkin tangan akan bercantum dengan telinga, telinga akan bercantum dengan kaki dan kaki bercantum dengan kepala. Tidak ada bahagian badan yang akan bercantum kembali ke kedudukan asalnya.

Menurut E=mc2 , pasti ada variasi jisim (kecacatan jisim), tetapi badan Nabi Muhammad s.a.w., tidak berlaku sebarang kecacatan seperti disebut di dalam teori tadi. Kenapa tidak ada kecacatan jisim berlaku pada badan Nabi Muhammad s.a.w.? Kerana Allah memelihara badan Nabi Muhammad s.a.w. dari  segala kecacatan.

Tiada jawapan yang tepat  pada soalan di atas dalam istilah fizik kerana kita tidak mengetahui faktor-faktor, bentuk dan keadaan yang boleh gagal, berubah atau mencabuli kesan-kesan Teori Kerelatifan Khas. Mungkin juga E=mc2 dicabuli semasa peristiwa Mikraj. Malah peristiwa Mikraj bukan satu cerita fiksyen. Ia adalah satu fakta dan satu mukjizat menakjubkan. Oleh itu, kita perlu mengubah dan memperbaiki Teori Kerelatifan Khas untuk memahami dan meneroka fenomena peristiwa Mikraj.

Lebih tepat mengapa tidak ada kecacatan jisim berlaku pada badan Nabi Muhammad s.a.w. adalah kerana sebelum memulakan perjalanan Mikraj, malaikat Jibrail a.s. telah mengisi badan Baginda dengan misteri, kebijaksanaan dan cahaya istimewa `nur’. Jisim Nabi Muhammad telah dipenuhkan dengan cahaya dan ia bukan lagi seperti jisim biasa kerana tidak ada kecacatan jisim berlaku pada badan Baginda yang selamat kembali ke bumi tanpa sebarang kecacatan, sesungguhnya Allah maha mengetahui.

Begitulah yang dicatat Owais dalam kajiannya.

Menurut Sayid Qutub dalam kitabnya, Fi Zhilal al-Quran, “Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa adalah perjalanan yang menakjubkan yang menghubungkan akar sejarah agama-agama terdahulu dari zaman Nabi Ibrahim, Nabi Ismail hingga Nabi Muhammad s.a.w. Ia juga menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid. Hikmahnya adalah untuk memberi tahu manusia bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah rasul yang terakhir dan menjadi pewaris agama terdahulu. Israk Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas dan mendalam.”