INDAHNYA WANITA INI MENERIMA HIDAYAH

“Saya nampak diri saya bertelekung…”

Tengahari tadi, saya bertemu wanita berusia 32 tahun ini untuk mendapatkan khidmat urutan. Namanya, Syafiqah. Syafiqah tergolong dalam tukang urut buta. Retinanya matanya memang cacat sejak dilahirkan. Dia hanya mampu melihat sekitar 40 peratus sahaja daripada pandangan normal. Kalau hendak membaca mesej di telefon, dia terpaksa merapatkan telefon itu lebih kurang 3 sentimeter jarak dari matanya.

Syafiqah berasal dari Sungai Besar, Selangor. Kerana kekurangannya itu, Syafiqah dihantar bersekolah di sekolah pendidikan khas di Pulau Pinang. Oh ya, Syafiqah lahir bukan dalam keluarga Islam.

Ketika berusia 18 tahun, berlaku sesuatu yang dianggapnya sangat indah dalam hidupnya.

“Suatu malam, saya bermimpi. Dalam mimpi itu, saya lihat saya pakai telekung dan wajah saya berseri-seri. Bila saya terjaga, rasa sebak sangat kak,” cerita Syafiqah.

Katanya, sebelum itu dia memang ramai rakan-rakan Islam dan sudah biasa dekat dengan persekitaran orang-orang Islam. Dan bila dia mendapat mimpi itu, Syafiqah tidak tunggu lama. Dia pergi ke jabatan agama dan mengucap dua kalimah syahadah. Selepas itu, dia sendiri berusaha menghadiri kelas-kelas agama untuk belajar dan mendalami Islam.

Perjalanan Syafiah tidak mudah. Keluarga sukar menerima keputusannya menukar pegangan agama. Tapi Syafiqah kuatkan tekad dan sanggup hadap susah senang sendiri. Dengan bantuan jabatan agama Islam, dia ditempatkan di rumah saudara-saudara baru di Shah Alam. Tapi bagi Syafiqah, sampai bila dia hendak mengharap bantuan?

Jadi, dia ambil keputusan keluar dari rumah tersebut dan masuk Persatuan Orang2 Buta, belajar mengurut. Dengan kemahiran mengurut itulah, Syafiqah menampung hidupnya sejak lebih 10 tahun lalu.

Perjalanan hidupnya diwarnakan lagi dengan perkenalan seorang jejaka dari Sarawak bernama Roy. Mereka berkenalan di pusat orang-orang buta ketika sama-sama menjalani latihan kemahiran mengurut. Oh ya, ketika itu Roy juga bukan seorang Muslim.

Roy ini dilahirkan sepenuhnya buta. Memang tak dapat melihat walau sejalur cahaya sekalipun. Semasa di pusat orang-orang buta ini, Syafiqah yang banyak membantunya. Dan Roy tertarik dengan kisah hidup Syafiqah yang sabar dan kuat berdepan dugaan. Ketabahan hati Syafiqah itulah yang telah mencairkan hati Roy untuk memeluk Islam juga.

Syafiqahlah yang memimpin Roy ke JAWI untuk mengucapkan kalimah syahadah. Dan dia juga yang memimpin Roy untuk sama-sama ke kelas agama sebagai golongan saudara baru. Ditakdirkan Allah, jodoh mereka untuk bersatu sebagai suami isteri.

“Kami berdua ni sama2 mualaf kak. Keluarga bukan mudah terima keputusan kami. Tapi kami redha dan sentiasa doakan yang terbaik. Semasa kahwin pun, kami pergi ke JAWI untuk nikah. Kemudian, persatuan orang-orang buta buatkan sedikit majlis makan-makan untuk raikan kami bersama rakan-rakan lain. Itu pun sudah cukup membahagiakan kami,” tutur Syafiqah yang tak lekang dengan senyuman.

Sekarang, suami isteri yang sudah 6 tahun membina mahligai ini sama-sama memberi khidmat urutan di Hotel Prescott KL Sentral, Kuala Lumpur.

“Pendapatan kami berdasarkan jumlah pelanggan. Ada 5 orang pelanggan sehari, daripada situlah kami dapat hasil setelah tolak sewa bilik. Ramai customer, alhamdulillah murah rezeki kami. Kalau kurang, pun kami bersyukur juga. Kami percaya dengan rezeki Allah selagi kami berusaha,” kata Syafiqah.

Korang kalau nak segarkan urat-urat yang dah kematu dan sengal-sengal badan tu, bolehlah berurut dengan Syafiqah. Kalau datang suami isteri, boleh minta Syafiqah dan Roy urut. Ada bilik khas disediakan. Memang ada pusat massage yang dikendalikan tukang urut buta di hotel ini.

Tapi, sebaiknya call dulu Syafiqah atau Roy untuk buat temujanji. Sebab kalau terus datang, nanti bilik penuh, lama pula hendak menunggu.

Urut biasa dengan Syafiqah & Roy cuma RM50 sejam. Kalau nak lebih rileks, boleh ambil urut arometarapi, RM70 sejam. Tempat pun bersih dan selesa.

Apa pun, tabik dengan kesabaran suami isteri ini. Kata Syafiqah, mereka habis kerja tak tentu masa. Kalau habis pukul 11.00 malam, barulah mereka pulang ke rumah sewanya di Jalan Hang Tuah. Ketika itu, Syafiqah akan pimpin suaminya. Dengan tongkat, dia akan berjalan perlahan-lahan, naik kenderaan awam. Memang dia tak berapa nampak, kadangkala dia tanya pada orang sekeliling apa nombor bas atau kalau lewat sangat habis, mereka naik teksi.

Jika mereka yang kurang upaya ini pun tidak mengeluh dan tetap berusaha dan percaya pada rezekiNya, bagaimana pula kita yang cukup anggota tubuh badan ini?

Mereka buta mata, tapi dicelikkan hatinya oleh hidayah Allah. Moga kedua-dua suami isteri ini dilimpahi nikmat dan keberkatanNya.

*****

Kalau nak buat appoiment, boleh call Syafiqah (019-3060199) atau Roy (016-3181440). Kalau nak WhatsApp boleh, tapi elok korang guna Voice Record, sebabnya Syafiqah walaupun boleh baca, dia susah nak taip untuk reply mesej sebab masalah matanya tu.