HEBATNYA TENTERA KECIL INI…

Makhluk ini kecil, tapi memang mudah buat manusia jadi bengang. Siapa yang mahu berteman dengan makhluk penghisap darah ini. Sebab itu ia mudah mati, ditepuk atau disembur dengan racun.

Tetapi, makhluk kecil ini sebenarnya haiwan yang hebat. Metamorfosis kehidupannya sentiasa penuh cabaran.

Seekor nyamuk betina mampu menghasilkan ratusan telur dalam satu masa. Namun, cabarannya adalah memastikan telur-telur ini bersatu dalam satu kelompok sampan yang terapung pada permukaan air supaya tidak tenggelam.

Dalam tempoh seminggu, telur-telur itu akan menetas, mengeluarkan larva yang dipanggil jentik-jentik. Cabaran baru bermula lagi. Untuk bernafas di dalam air, si jentik-jentik ini kena guna tiub khas yang berada pada hujung badannya untuk menghirup udara agar ia boleh terus kekal di dalam air. Kalau tak cukup udara, ia akan mati.

Daripada jentik-jentik, ia berubah menjadi pupa sebelum akhirnya berkembang menjadi nyamuk dewasa. Apabila tiba masa untuk keluar dari dalam air, pun cabaran sukar kerana tubuhnya yang basah akan menyukarkan ia untuk terbang.

Tetapi, ada keistimewaan yang diberi Tuhan untuk makhluk ini. Di hujung kakinya terdapat satu senyawaan kimia yang membantu meningkatkan tegangan pada permukaan air. Dan inilah yang membantu nyamuk keluar daripada kepompongnya lalu berdiri di atas permukaan air tanpa kakinya tenggelam.

Bila dah berjaya terbang, cabaran hidupnya berterusan. Ia kena belajar untuk mengenali pembuluh darah manusia terutama dalam kepekatan malam agar mampu menghisap darah. Kalau tidak, mati kebulur tak makan nanti. Dan haiwan kecil ini dianugerahkan lagi keistimewaan dengan sistem inframerah yang membantunya untuk mengesan pembuluh darah hanya berdasarkan suhu tubuh manusia.

Sistem pengesan inframerah amat peka. Ia mampu mengesan pelbagai haba panas yang dipancarkan oleh benda-benda bernyawa di sekelilingnya. Sebab tu ia boleh cari pembuluh darah walaupun pada waktu malam tanpa memerlukan daya penglihatan yang tinggi.

Lagi satu, makluk ini juga diberi kelebihan hingga ‘tiub’ yang lebih kecil daripada tubuhnya amat mudah untuk menembusi kulit manusia lantas menyedut darahnya.

Organnya berfungsi bagaikan gergaji yang mampu menusuk masuk ke dalam pembuluh darah dengan mudah. Malah, darah yang dihisapnya juga tidak akan membeku kerana tubuhnya menghasilkan satu enzim yang mencegah pembekuan darah.

Wow, hebat betul makhluk ciptaan Allah ini walaupun kita membencinya. Ia kecil tapi dilengkapi dengan kesempurnaan agar ia mampu mengharungi kehidupan yang serba sukar. 

Malah, telah dibuktikan makhluk yang kita anggap lemah ini mampu menjadi askar-askarNya. Dalam kisah Nabi Ibrahim telah diceritakan tentang tentera nyamuk yang dihantar bagi memusnahkan 700 ribu tentera berkuda raja Namrud.

Begitu ramainya tentera yang lengkap bersenjata ini, kesemuanya tewas di tangan tentera yang paling kecil dikirim Allah untuk membantu hambaNya. Bahkan Raja Namrud yang ego itu juga tewas hanya dengan seekor nyamuk yang masuk melalui hidungnya.

Hebatnya tentera kecil ini!

 

#xmastika