HARI ARAFAH, HARI SINGKAT DENGAN 1,000 NIKMAT

Wukuf  di Arafah itu begitu penting. Hinggakan Rasulullah s.a.w. mengatakan , “Al-hajju Arafah” maksudnya kemuncak haji adalah wukuf di Arafah.  Kemudian banyak lagi hadis yang menceritakan tentang kehebatan hari Arafah yang menawarkan ganjaran lumayan pada pertimbangan pahalanya.

Itulah harinya diampunkan dosa, dibebaskan dari api neraka, sebaik-baiknya doa, ketika Allah paling hampir dengan hambaNya, ketika tidak ada hijab lagi antara hamba dengan Maha Pencipta. Hari yang tidak banyak menggunakan tenaga fizikal kecuali solat, berzikir dan berdoa. Namun itulah harinya yang paling penting bagi jemaah haji. Nikmatilah ia sepuasnya selagi ada kesempatan menjadi tetamu Allah.

Terdapat banyak dalil hadis dan al-Quran yang membicarakan tentang kepentingan hari Arafah. Terdapat juga hadis qudsi bahawa Allah bangga dengan kehadiran mereka yang mengerjakan haji di Arafah. Ia disebut secara jelas di dalam hadis dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya Allah s.w.t. memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penduduk langit dan berkata kepada mereka; “Lihatlah kepada hamba-hamba Ku yang datang kepada Ku. Mereka datang di dalam keadaan kusut masai, berdebu dan mereka berdoa pada hari tersebut. Dan, Allah mengatakan hendaklah kamu menjadi saksi wahai para malaikat bahawa Aku ampunkan mereka,” (HR Ibnu Hiban).

Walaupun malaikat itu hambanya yang paling taat namun Allah lebih bangga dengan manusia yang wukuf di Arafah. Biasanya apabila kita menyebut tentang bangga tentunyalah ditujukan untuk orang yang paling hebat. Tapi apabila Allah bercakap dengan makhluk yang hebat seperti malaikat bahawa Dia bangga dengan manusia, apa maksudnya? Itulah tandanya Allah melihat jemaah haji yang wukuf di Arafah adalah lebih hebat daripada malaikat.

Dari Aisyah, Rasulullah bersabda, “Tidak ada satu hari yang Allah lebih banyak membebaskan seorang hamba dari api neraka melainkan hari Arafah. Sesungguhnya Allah amat hampir dan membanggakan mereka di hadapan malaikat-Nya seraya berkata, “Apa yang mereka inginkan? (tentu Aku kabulkan).” (HR Muslim).

Dikatakan penting kerana hari itu adalah kemuncak dan merupakan satu masa yang mana Allah berbangga dengan jemaah haji yang menjadi tetamu Allah dan Allah ampunkan dosa semua hambanya yang memohon keampunan pada hari tersebut. Itulah yang dikatakan bahawa hari Arafah itu amat penting.

Memang benar wukuf di Arafah tidak memerlukan tenaga fizikal yang banyak tetapi itulah hari yang paling penting. Ramai tidak bermasalah dengan ibadat yang memerlukan tenaga fizikal tetapi tidak ramai yang  boleh fokus dengan ibadat kerohanian.

Ketika di Arafah itulah masanya untuk bercakap, berbisik, merintih dan merayu kepada Allah. Tanpa kekuatan rohani kita akan cepat rasa jemu dan letih untuk berdoa, berzikir serta beribadat tanpa banyak melakukan pergerakan. Di situlah kekuatan rohani dicabar sejauh mana kita mampu bertahan dan menumpukan sepenuh perhatian untuk berdoa dan berzikir.

Mereka yang mengharapkan rahmat dan keampunan dari Allah itu semuanya memerlukan kekuatan rohani bukannya dengan tenaga fizikal.  Kerana mengharapkan rahmat dan keampunan bukannya dengan melompat-lompat tetapi dengan berdoa dan duduk bertafakur. Walaupun doa dan zikir itu bukan perkara yang meletihkan tetapi orang yang rohaninya lemah akan merasa cepat bosan.  Pastikan sebelum sampai hari Arafah kita kena kuatkan rohani dengan ibadat dan penghayatannya. Kekuatan rohani tinggi, itulah yang menyebabkan apabila solat kita akan rasa senang.

Ada lagi contoh lain yang menunjukkan bahawa tenaga rohani yang kuat amat penting di dalam ibadat malah untuk menundukkan syaitan. Hal itu disebut di dalam surah al-Nisa ayat 74, “Sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”

Kenapa syaitan yang lemah seperti yang disebut di dalam al-Quran, itu boleh mengganggu manusia? Sebabnya, rohani kita lemah. Ambillah contoh Umar al-Khattab yang amat ditakuti syaitan. Sebab apa syaitan takut dengan Umar al-Khattab?  Kerana, keimanannya tinggi dan itulah yang dimaksudkan dengan rohani yang kuat.

Disebutkan di dalam sebuah hadis yang menceritakan tentang syaitan dan Umar, Rasulullah bersabda; “Syaitan sangat takut kepada kamu dan di mana saja kamu lalui, jalan itu tidak akan dilalui oleh syaitan.” (HR Bukhari).

 

Hari disempurnakan agama  

Imam Ahmad meriwayatkan  dari Thariq bin Syihab, ia mengatakan,  seorang Yahudi datang kepada Umar al-Khattab lalu berkata, “Ada satu ayat yang biasa kalian baca dalam kitab kalian. Seandainya ayat tersebut turun pada kami, kaum Yahudi nescaya kami akan menjadikan hari tersebut sebagai hari raya. Umar tanya, “Ayat  yang mana?” Maka Yahudi itu menjawab, “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu  dan Aku telah cukupkan nikmat Ku kepada kamu dan Aku redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” Surah al-Maa’idah ayat 3. Maka Umar mengatakan, “Demi Allah sesungguhnya kami telah mengetahui hari dan waktu di mana ayat itu turun kepada Rasulullah s.a.w. iaitu pada petang hari Arafah pada hari Jumaat?

Ayat tersebut yang turun pada hari haji Akbar dan ketika ia turun Umar menangis. Lalu Rasulullah bertanya, apa yang menyebabkannya menangis? Umar menjawab, “Yang membuatkan aku menangis bahawa sebelumnya (penganut) agama kita ini terus bertambah. Ada pun jika sudah sempurna maka tidaklah sesuatu itu sempurna melainkan selanjutnya akan berkurang (kualiti keimanan penganutnya).

Jika dilihat pada maksud ayat itu memang secara perundangannya agama Islam sudah cukup sempurna, tidak boleh ada penambahan dan pengurangan. Tidak ada penambahan di dalam bilangan amalan yang telah ditetapkan seperti yang Rasulullah amalkan.  Namun dari sudut kualiti keimanannya perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Misalnya solat waktu tetap lima dengan bilangan rakaat yang telah ditetapkan, kuantitinya tetap sama  namun dari segi kualiti solat itu tidak sama seperti yang Nabi lakukan.

Ayat itu menunjukkan nikmat Allah yang paling besar kepada umat Muhammad, di mana Allah sempurnakan agama Islam hingga kita tidak memerlukan lagi agama lain dan seorang nabi lain selain Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian diturunkan pula pada hari Arafah yang hebat juga menunjukkan ayat itu begitu agung.  Tidak ada kehalalan kecuali apa yang dihalalkan dan tidak ada pengharaman kecuali yang diharamkan dan tidak ada agama kecuali apa yang telah disyariatkan. Itulah nikmatnya.