HAMPIR 3 DEKAD, IBU INI TERUS SETIA MENANTI ANAK YANG HILANG

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Kehilangan anak yang pernah menumpang di dalam rahim pasti menyayat hati si ibu. Begitulah keadaannya dengan wanita bernama Luo Xiangzhen dari China.

Dahulu, walaupun hidup sudah, namun Xiangzhen bahagia dengan kehadiran sepasang cahaya mata. Anak pertama perempuan bernama Hu Hualan berusia 7 tahun, manakala anak kedua lelaki bernama Hu Huabai yang berusia 5 tahun.

Anak-anak ini adalah penguat semangat dan penyeri kehidupan Xiangzhen dan suaminya. Hubungan mereka sangat rapat. Xiangzhen dan anak-anak sukar untuk dipisahkan. Dia tidak mahu berenggang dengan anak-anaknya, malah sanggup membawa mereka ke mana sahaja termasuklah ketika bekerja.

Xiangzhen bekerja sendiri sebagai tukang membaiki kasut. Beliau melakukan pekerjaan itu dari gerobak kecil miliknya. Seawal pagi, dia akan menolak gerobak tersebut ke jalan-jalan sekitar bandar Duyun di wilayah Guizhou. Tiba di sebuah persimpangan kecil yang sibuk, wanita ini akan memberhentikan gerobaknya dan mulai bersiap-siap membuka perniagaan sambil ditemani anak-anak kesayangannya.

Begitulah rutin beliau setiap hari bersama anak-anaknya. Walau sesukar mana sekalipun, menjaga anak sambil membaiki kasut pelanggan, si ibu ini tetap melakukan pekerjaan itu dengan senang hati. Kerana baginya, berada di samping anak-anak dan dapat melihat kelibat mereka ketika bekerja ialah saat paling membahagiakannya.

Namun, kebahagian itu direnggut pada tahun 1993, satu tragedi yang tidak pernah diduga telah terjadi pada keluarga ini. Pada tahun itu, kedua-dua anak kesayangan Xiangzhen telah hilang di sebuah persimpangan sibuk di bandar Dungu, tidak jauh dari lokasi di mana dia mencari rezeki. Dan kelibat kedua-dua anaknya itu tidak pernah lagi dilihat selepas itu.

Kedua-dua anaknya hilang diculik.

Media tempatan, South China Morning Post melaporkan, anak perempuan dan anak lelaki Xiangzhen telah diculik ketika wanita itu sedang sibuk bekerja. Bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan bahawa kedua-dua mangsa terbabit dilihat telah dilarikan oleh beberapa orang individu tidak dikenali berhampiran lokasi di mana ibu mereka bekerja.

Sebenanrya, kes culik kanak-kanak telah meresahkan ramai ibu bapa di China sejak sekian lama. Rekod menunjukkan, setiap tahun tidak kurang dari 300,000 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan yang kebanyakannya dari keluarga miskin di negara itu dilaporkan hilang.

Faktor kepada peningkatan kes tersebut dikatakan berpunca daripada sikap sebahagian warga tempatan yang mahu mendapatkan wang dengan cara mudah dan membawa keuntungan besar. Ini kerana, sebahagian besar mangsa culik akan dijual ke pasaran gelap dan terbuka melalui talian kepada golongan kaya di sekitar wilayah Fujian.

Bayi lelaki dikatakan menjadi pilihan utama di China kerana mereka bakal mengekalkan keturunan keluarga. Disebabkan itu, ada yang sanggup membeli kanak-kanak lelaki dengan harga mencecah 10,500 pound seorang.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan pendirian kebanyakan pasangan yang ingin mendapatkan anak angkat tetapi tidak mahu melalui prosedur yang ditetapkan kerana dianggap terlalu rumit. Ditambah pula dengan masalah ketidaksuburan dalam kalangan pasangan berkahwin menjadikan beribu-ribu keluarga terpisah setiap tahun.

Kementerian Keselamatan China menyatakan, seramai 4,000 orang bayi dan kanak-kanak yang diculik telah berjaya diselamatkan pada tahun 2014. Sepanjang tahun 2009 dan 2012, pihak polis turut berhasil menemukan kira-kira 35,000 orang kanak-kanak sekali gus menangkap lebih 9,000 orang yang terlibat dalam sindiket memperdagangkan manusia. Usaha untuk menangkap ahli sindiket juga ditingkatkan dengan mendirikan pangkalan data. Beberapa kumpulan aktivis anti penyeludupan kanak-kanak juga ditubuhkan dengan menyeru orang ramai untuk melaporkan individu yang mencurigakan.

Namun, peluang untuk menemukan kesemua anak yang hilang menemui jalan buntu. Difahamkan ramai ibu bapa yang kehilangan anak terpaksa menghabiskan bertahun-tahun bahkan beberapa dekad untuk mencari anak mereka termasuklah Xiangzhen dan suaminya. Pencarian mereka telah membawa ke setiap penjuru China, tetapi tetap gagal menjejaki kedua-dua anak mereka.

Akhirnya, Xiangzhen memutuskan untuk sentiasa berada di gerai membaiki kasutnya sejak lebih 22 tahun lalu. Harapannya, beliau dan suami dapat bertemu semula dengan dua anak mereka yang hilang lebih dua dekad lalu.

Xiangzhen akan membuka geroboknya di tempat yang sama dan tidak pernah berganjak sejak lebih 2 dekad yang lalu.

Xiangzhen bimbang, jika dia ke tempat lain dan satu hari nanti mungkin anak-anaknya mencarinya di tempat dia berniaga itu, mereka mungkin tidak akan dapat menemuinya. Disebabkan itu, beliau ingin sentiasa berada di gerai tersebut bagi memudahkan anak-anaknya datang mencarinya semula.

Kerana itu juga, dia tidak kisah untuk terus menjalankan perniagaan membaiki kasut di tempat yang sama, mungkin hingga ke hujung nyawa selagi dia mampu untuk menunggu kepulangan anak-anak yang dirindukan. Begitulah kasihnya seorang ibu.

Xiangzhen tidak pernah jemu untuk menanti anak-anaknya kembali selagi dia masih bernafas.

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!