HALAL UNTUK KAMI, HARAM UNTUK TUAN

Setelah selesai menjalani ibadah haji, Abu Abdurrahman Abdullah Bin al-Mubarak al-Hanzali al-Marwazi (seorang ulama terkenal) berehat seketika lantas tertidur. Lalu dia bermimpi melihat dua malaikat turun dari langit, dan mendengar perbualan mereka.

“Berapa orang datang haji tahun ini?” tanya malaikat pertama.

“Lebih kurang 700 ribu jemaah,” jawab malaikat kedua.

“Berapa ramai yang diterima ibadah hajinya?” tanya malaikat pertama lagi.

“Tidak ada seorang pun yang diterima,” jawab malaikat kedua.

“Tapi ada seorang lelaki walaupun dia tidak datang menunaikan ibadah haji, namun ibadah hajinya tetap diterima malah seluruh dosanya telah diampuni. Dan berkat lelaki itulah, seluruh ibadah haji yang dikerjakan jemaah kali ini diterima oleh Allah,” ujar malaikat kedua lagi.

“Siapa lelaki tersebut?”

“Dia ialah Sa’id bin Muhafah, seorang tukang kasut di kota Damsyik.”

Habis perbualan malaikat tersebut, Abdullah al-Mubarak terjaga dari tidur dan tertanya-tanya siapa lelaki tersebut.

Abdullah al-Mubarak tidak pulang ke rumah, sebaliknya menuju ke kota Damsyik dan mencari tukang kasut seperti yang disebut malaikat dalam mimpinya. Akhirnya, dia temui lelaki bernama Sa’id bin Muhafah, seorang tukang kasut berpakaian lusuh.

Setelah memperkenalkan diri, Abdullah menceritakan perihal mimpinya sebelum bertanya kepada Sa’id, “Aku ingin tahu, apa yang telah engkau lakukan sehingga engkau mendapat pahala haji mabrur?”

Mendengar cerita itu, Sa’id menangis sehingga pengsan. Setelah sedar, barulah dia bercerita.

“Setiap tahun apabila tiba musim haji, aku selalu mendengar ungkapan ‘Labbaika Allahumma labbaika, Labbaika la syarika laka labbaika, Innal hamda wanni’mata laka wal mulka, laa syarikalaka’. Setiap kali aku mendengar lafaz itu, aku menangis. Ya Allah, aku rindu Mekah, aku rindu melihat Kaabah. Izinkan aku datang Ya Allah.

“Selama 40 tahun aku rindu untuk melakukan perjalanan haji. Aku telah sisihkan wang hasil kerja ku sebagai tukang kasut. Sedikit demi sedikit sehingga tahun ini simpanan ku ada 350 dirham, cukup untuk aku mengerjakan haji. Aku sudah bersedia untuk menunaikan haji,” kata Sa’id.

Tetapi, di saat akhir dia tidak jadi mengerjakan haji. Abdullah bertanya, apa yang berlaku?

Kata Sa’id, isterinya hamil. Bila sampai waktu dia harus berangkat ke Mekah, ketika itu isterinya mengidam. Isterinya terhidu bau makanan yang sedang dimasak oleh jiran tidak jauh dari rumah mereka. Isterinya teringin sangat merasa makanan yang dimasak jirannya itu.

Sa’id keluar mencari dari mana bau masakan itu datang dan membawanya ke sebuah pondok usang yang hampir roboh. Di situ tinggal seorang wanita bersama enam anaknya.

Sa’id mengetuk pintu dan menjelaskan niat kedatangannya. Tetapi, wanita itu hanya mendiamkan diri. Setelah berulang kali bertanya, wanita itu menangis memberitahu dia tidak boleh memberi apa yang dimasaknya untuk isteri Sa’id.

“Maka, juallah, Aku akan beli,” pujuk Sa’id.

“Makanan ini bukan untuk dijual tuan,” balas wanita itu lagi.

Sambil menangis, wanita itu berkata kepada Sa’id, “Daging yang dimasak ini halal untuk kami, tetapi ia haram untuk tuan!”

Sa’id bingung mendengar jawapan wanita itu. Lalu Sa’id bertanya mengapa dia tidak boleh memakannya.

Wanita itu menjawab, “Sudah beberapa hari kami tidak makan kerana tiada makanan. Hari ini, kami nampak seekor keldai yang sudah mati. Lalu kami ambil sebahagian daging bangkai itu untuk dimasak. Bagi kami, daging ini halal kerana jika kami tidak makan, kami akan mati kelaparan. Namun bagi tuan, daging ini haram. Ia bukan makanan yang halal untuk tuan.”

Sa’id menangis mendengar pengakuan wanita itu. Dia pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada isterinya yang juga menangis mendengarnya. Akhirnya, mereka memasak makanan lalu dibawa ke rumah wanita miskin itu.

“Aku turut menyerahkan wang simpanan ku 350 dirham untuk mengerjakan haji kepada wanita itu untuk mereka gunakan supaya tidak kelaparan lagi. Ya Allah, di sinilah hajiku, di sinilah Mekah ku. Inilah perjalanan haji ku,” kata Sa’id menceritakan peristiwa yang dialaminya kepada Abdullah.

Mendengar kisah itu, Abdullah al-Mubarak turut tidak dapat menahan air matanya.

“Ternyata malaikat bercakap nyata di dalam mimpiku, dan Pemerintah syurga adalah benar dalam keputusan-Nya,” ujar Abdullah.