HAIWAN GEGAK GEMPITA BERTEMPIARAN LARI, PETANDA GEMPA MENJELMA?

Tiga hari sebelum gempa bumi sekuat 7.8 skala Ritcher melanda silayah Sichuan di China pada 2008, ribuan katak ‘menguasai’ jalan raya dan menimbulkan kebimbangan penduduknya mengenai bencana alam.

Begitu juga beberapa jam sebelum gempa bumi sekuat 6.3 skala Richter melanda Christchurch, New Zealand pada 2011, turut dilaporkan burung kelihatan resah dan itik berkumpul secara berkumpulan di atas bumbung rumah.

Banyak lagi tabiat aneh haiwan lain yang pernah dilaporkan seperti ikan duri terapung di permukaan air, ayam berhenti bertelur, lebah dalam kumpulan besar meninggalkan sarang dan ular keluar dari sarang merayap-rayap di atas tanah.

Pemilik kucing dan anjing juga melaporkan binatang peliharaan mereka berkelakuan aneh beberapa jam sebelum kejadian gempa termasuk menyalak dan melolong tanpa sebab dan gelisah.

Malah, jauh pada zaman dahulu, rekod sejarah pada 373 Sebelum Masihi menunjukkan haiwan seperti  tikus, ular, cerpelai dan lipan secara berkumpulan meninggalkan bandar Helice, Greek lima hari sebelum gempa bumi berlaku.

Bolehkah haiwan membantu kita meramal gempa bumi?

Pada awalnya kebanyakan saintis di Eropah menyifatkan apa yang berlaku sebagai kebetulan. Tetapi berlainan bagi pengkaji di Jepun dan China yang melakukan kajian terperinci berhubung kaitan perilaku haiwan terhadap bencana alam.

Adakah haiwan mempunyai pancaindera yang lebih sensitif sehingga mampu  mengesan gerakan getaran dalam bumi dan gas tertentu yang dibebaskan sebelum gempa berlaku?

Sekumpulan saintis iaitu Dr. Racheal Grant, Profesor Jean Pierre Raulin dan Profesor Friedman Freund melakukan kajian pertama yang didokumentasikan tentang perubahan tingkah laku haiwan yang dimuatkan di dalam Jurnal Physics and Chemistry of the Earth (2015).

Kajian dilakukan dengan meletakkan kamera perakam di beberapa lokasi terpilih di Taman Negara Yanachaga, Peru. Saintis mendapati berlaku perubahan tingkah laku haiwan sepanjang tiga minggu sebelum gempa bumi  7 skala richter melanda Peru pada 2011.

Pada hari biasa, kamera merekodkan 5 ke 15 haiwan liar berkeliaran di kawasan tersebut. Namun dalam tempoh 23 hari sebelum gempa bumi berlaku, saintis merekodkan kurang daripada 5 ekor haiwan yang kelihatan berkeliaran. Dan 5 hari sebelum berlaku gempa, langsung tidak kelihatan pergerakan haiwan di situ. Kawasan Taman Negara itu seolah-olah kosong tanpa ada binatang liar.

Menurut Pensyarah Haiwan dan Persekitaran Biologi, Anglia Ruskin University, United Kingdom, Dr. Racheal Grant, kajian dilakukan untuk melihat kemungkinan ion positif dilepaskan ke udara yang dihasilkan apabila sekumpulan batu besar di bawah kerak bumi mengalami tekanan yang kemudian bertukar menjadi gempa.  Adakah ion positif yang dilepaskan itu menjadi punca perubahan tingkah laku haiwan tersebut?

Menurut Dr. Racheal, sepanjang dua tahun menganalisis data di kawasan sekitar tapak kajian, reaksi tingkah laku haiwan adalah sama, walaupun pusat gempa bumi itu terletak kira-kira 350 kilometer dari taman negara tersebut. Aktiviti haiwan akan menurun drastik beberapa hari sebelum gempa.

Dalam banyak-banyak haiwan yang terdapat di dalam hutan tersebut, mengikut kajian Dr. Racheal Grant, tikus adalah haiwan yang paling awal memberikan amaran.

“Suatu yang menarik apabila tikus tanah atau rodent adalah haiwan pertama yang melarikan diri. Lapan hari sebelum gempa berlaku, tidak kelihatan seekor tikus pun. Biasanya keadaan itu tidak berlaku terutama di hutan hujan tropika di mana tikus ada di merata-rata tempat. Tetapi sebelum gempa berlaku, seekor tikus tidak muncul. Ia menakjubkan.

“Inilah jawapannya betulkah tikus-tikus bandar bertempiaran  lari meninggalkan bandar sebelum berlakunya gempa seperti yang dikisahkan di dalam cerita dongeng. Apa yang berlaku pada haiwan itu sama dengan kisah dongeng,” ujar Dr. Racheal Grant.

Kajiannya itu disokong oleh kajian awal yang dilakukan di Jepun dan China bahawa tikus makmal menunjukkan masalah dengan ritma sirkadian (pola biologikal yang mengawal tidur) sebelum berlaku gempa.  Begitu juga dengan burung-burung yang tinggal di tanah atau burung yang lebih banyak tinggal di atas tanah walaupun boleh terbang seperti  burung puyuh, ayam, roadrunner dan banyak lagi. Kumpulan burung itu menunjukkan perubahan tingkah laku yang lebih sensitif. Begitu juga dengan tenggiling yang terus lenyap beberapa hari sebelum berlaku gempa dan muncul semula setelah kejadian gempa berlaku.

Pada masa akan datang kajian yang lebih meluas perlu dilakukan untuk meramal gempa terutamanya dengan melihat  perubahan paras air tasik. Hidupan laut juga boleh menjadi penunjuk amaran gempa kerana haiwan tersebut juga sensitif dengan perubahan bahan kimia yang berlaku di dalam air.

Dalam usaha itu, China telah mengambil langkah jauh ke hadapan dengan menjadikan Taman Ekologi Banqiao sebagai makmal semula jadi untuk memerhatikan tingkah laku haiwan. Pengkaji memerhatikan tingkah laku 200 ekor babi, 2000 ayam dan ikan di dalam kolam seluas 15 hektar untuk melihat sebarang perubahan bagi meramal gempa bumi.  Setiap hari selama 24 jam tingkah laku haiwan itu akan direkodkan dan dihantar ke jabatan seismological Nanjiang.

Malah, China telah menyenaraikan 58 spesies haiwan yang perlu dipantau termasuk ular, tikus dan kelawar kerana tabiat pelik yang ditunjukkan binatang itu kemungkinan besar petanda gempa bumi akan terjadi.

Buku kecil yang menyenaraikan kelakuan ganjil haiwan turut diedarkan kepada rakyat bagi memudahkan mereka membuat laporan kepada pihak berkuasa.

 

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!