HABIS, APA JADI PADA AWAK?

Kadir bersiul menyanyi lagu kegemarannya. Sambil itu tangan kanannya cekap mengawal stereng kereta manakala tangan kirinya dikejapkan pada bahagian gear.

Sebentar saja lagi, dia bakal menyusuri sebatang jalan raya berhampiran sebuah hospital di Johor Bahru, Johor. Destinasinya untuk memintas ke jalan utama semakin hampir. Tempuh saja lampu isyarat di depan sana nanti, sampailah. Tujuan Kadir mahu ke sebuah restoran di Danga Bay untuk bertemu rakan-rakannya.

Sebaik memasuki laluan berdekatan kawasan hospital tersebut, Kadir menoleh ke arah kanannya. Ratusan batu nisan terpacak kaku di kawasan perkuburan yang terletak bertentangan dengan kawasan hospital tersebut. Huh! Kawasan kubur, dengus Kadir.

Pemandangan itu langsung tidak menarik perhatiannya. Kawasan perkuburan itu memang luas. Jika berjalan kaki, hampir satu kilometer panjangnya. Bagi Kadir, itu pamandangan biasa. Sebuah kawasan perkuburan yang menempatkan jasad-jasad yang telah diambil nyawa oleh sang Pencipta, sama saja seperti di tempat lain.

Srettt…!

Kadir menekan brek.  Entah dari mana, tiba-tiba ada seorang gadis melambai-lambai menahan keretanya di sebuah hentian bas berdekatan kawasan perkuburan tersebut.

Kadir memandang ke arah belakang menerusi cermin. Gadis tadi masih ada. Kadir melihat jam di tangannya. Sudah hampir pukul 11.00 malam. Segera Kadir bertukar gear. Perlahan-lahan kereta diundurkan.

Gadis itu menghampiri cermin sisi di bahagian penumpang. Setelah Kadir menurunkan cermin kereta, gadis itu bersuara lembut minta ditumpangkan hingga ke persimpangan lampu merah tidak jauh dari situ. Kadir terus setuju. Sekadar tumpang ke depan sana, apa salahnya. Memang Kadir akan melalui jalan itu juga.

Gadis itu masuk dan duduk di sebelah Kadir. Wajahnya putih bersih, rambutnya lurus, sedikit panjang melepasi bahu. Kadir mula mengatur perbualan, sekadar mengisi masa sementara sampai di simpang traffic light di depan sana.

Rupa-rupanya gadis yang berusia awal 20-an itu bekerja di sebuah kilang elektronik di Singapura dan mahu pulang ke rumahnya di Kampung Melayu, Majidee. Sepatutnya teman lelakinya datang mengambilnya tapi entah kenapa masih belum muncul. Cerita gadis itu lagi, teman lelakinya akan mengambilnya dengan motosikal.

Gadis itu mengeluh bercerita pada Kadir. Katanya, teman lelakinya itu seperti mat rempit. Kalau bawa motor kalau tidak laju, tidak sah. Belum ditambah mencelah ke sana sini.

“Kan bahaya bawa motor laju-laju, dik. Kalau kemalangan, nanti susah,” Kadir sekadar mengusik gadis tersebut.

Gadis itu hanya melemparkan pandangan menerusi ke luar cermin kereta di sisinya. Dalam nada perlahan, gadis itu bercerita dia dan teman lelakinya pernah kemalangan beberapa tahun lalu. Kali pertama, mereka terperosok di celah pokok-pokok yang ditanam di tepi tepi jalan selepas motosikal yang ditunggang teman lelakinya itu terbabas ketika memotong sebuah kereta. Kebetulan jalan di kawasan tersebut beralun dan berlubang. Ketika mengelak lubang itulah motosikal berkenaan terbabas.

“Apa yang terjadi pada awak berdua?” Kadir bertanya.

Nasib mereka baik, kata gadis itu. Hanya luka-luka kecil dan terseliuh sahaja. Tetapi teman lelakinya itu masih tidak serik. Cerita gadis tersebut, beberapa bulan lalu mereka terlibat dalam satu lagi kemalangan. Kedua-dua mereka terpelanting di atas jalan setelah motosikal yang ditunggangi teman lelakinya tidak sempat membrek sewaktu tiba di persimpangan lampu merah lantas merempuh sebuah kereta yang berhenti di persimpangan tersebut.

Kadir menggeleng-gelengkan kepala. Tak sangka pasangan itu mengalami kemalangan ngeri begitu. Lantas, apa yang berlaku? Kadir terus bertanya pada gadis tersebut.

Dua-dua mati!

Jawapan gadis itu membuat Kadir terkejut. Kalau dua-dua mati, bukankah itu ertinya gadis yang duduk di sebelahnya itu…?

Kadir mula ketakutan. Darahnya terasa kering. Bayangan-bayangan menakutkan  terus menerpa fikiran Kadir. Apa saja ayat yang terlintas di fikiran, Kadir membacanya dengan kuat. Jantungnya seakan berhenti berdegup, tangannya menggigil. Kadir tidak berani memandang ke arah gadis di sebelahnya.

Heee heee heeeee…..

Tiba-tiba terdengar suara hilaian tawa gadis di sebelahnya. Kadir kuatkan semangat, cuba melihat siapa sebenarnya gadis di sebelahnya itu. Diiringi dengan ayat Kursi yang tidak putus-putus, Kadir menoleh.

Ya Allah! Hanya Tuhan saja yang tahu betapa takutnya Kadir saat itu. Gadis yang tadinya tersenyum manis kini bagaikan hilang wajah asalnya. Wajahnya penyek, dahinya hancur dan darah meleleh-leleh mengenai bajunya. Dan serentak itu sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat, Kadir menyedari gadis tersebut telah ‘meninggalkannya’ bersama bau yang amat memualkan.

Kerana kejadian itu, Kadir batalkan rancangannya untuk ke Danga Bay. Dia pulang semula ke rumah bapa saudaranya di Pontian.

Akibat tumpangkan gadis itu juga, Kadir demam seminggu!

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!