GUDANG BERDARAH POTOCARI

Kami berada di daerah Srebrenica, Bosnia. Atau lebih tepat lagi, di gudang Potocari. Sudah pukul 1.30 tengah hari. Matahari baru sahaja tergelincir dan menyenget ke arah Barat.

Dari jauh, saya lihat seorang gadis berkulit mulus, duduk termenung di muka pintu gudang tinggalan yang kelihatan sudah berkarat itu. Berdasarkan raut wajah, kami mengandaikan gadis berambut perang keemasan itu adalah seorang warga tempatan. Kehadirannya mungkin untuk mengimbas kembali sejarah dan mengenang saudara-mara atau ahli keluarganya yang terbunuh ketika perang Bosnia yang berlaku lebih dua dekad lalu.

Ya, gudang berkarat ini menyimpan seribu satu memori hitam untuk seluruh warga Bosnia. Lebih 20 tahun lalu, di gudang usang inilah ribuan umat Islam Bosnia dikumpulkan dan seterusnya diperlakukan dengan kejam oleh tentera Serbia.

Sebaik melangkah masuk ke dalam, perasaan serta-merta berubah. Ya, di sinilah kejadian penghapusan etnik Bosnia itu bermula…

Gudang itu lengang dan kosong. Mata kami liar memandang sekeliling. Beberapa kesan peluru,  lakaran dan tulisan tangan di dinding gudang menyentap naluri. Tulisan dan lakaran itu cukup menggambarkan betapa perit keadaan yang ditanggung umat Islam warga Bosnia ketika era Perang Bosnia.

Semua lakaran-lakaran itu sengaja dibiarkan tanpa diperbaiki untuk menjadi tatapan generasi hari ini. Ia kesan sejarah yang perlu diingati oleh seluruh warga dunia tentang peristiwa berdarah di Potocari. Kesan peluru dan lakaran-lakaran ini akan menjadi bukti bahawa gudang ini pernah bermandi darah suatu ketika dahulu.

Salah satu lakarannya tulisannya berbunyi begini; “No teeth…? A mustache…? Smell like shit…? Bosnian girl!” Sudah tentu, lakaran tersebut ditinggalkan oleh tentera Serb sebagai satu penghinaan kepada gadis-gadis Bosnia.

Hakikatnya gadis-gadis Bosnia tidak hanya dihina, tetapi mereka juga diperkosa. Di sebalik gambaran gadis Bosnia yang tiada gigi, bermisai dan bau seperti ta**, kehormatan mereka telah diragut tanpa belas kasihan, bahkan turut dibunuh kejam.

Kisah di gudang Potocari ini bukan sekadar tentang kekejaman terancang tetapi turut menceritakan kisah pengkhianatan yang didalangi oleh pasukan pengaman antarabangsa, pertubuhan United Nations (UN).

Di gudang ini juga, dipertontonkan satu dokumentari pendek tentang tragedi Srebrenica 1995. Sebuah pawagam kecil telah dibina di tengah-tengah gudang Potocari oleh kerajaan Bosnia untuk menayangkan dokumentari peristiwa berdarah ini yang telah meragut lebih 8,000 nyawa.

Melalui tayangan dokumentari ini, kami mendapat jawapan mengenai bas putih biru yang dilihat tersadai di sebuah kawasan lapang, di luar gudang ini.

Suatu ketika dahulu, bas-bas inilah yang digunakan oleh tentera Serbia untuk mengangkut lelaki-lelaki Bosnia yang tidak bersenjata, termasuk kanak-kanak ke kawasan padang, dewan atau sekolah. Mereka dikumpulkan, kemudian ditembak dan disembelih secara rambang.

Sungguh, apa yang berlaku di sini sangat memilukan. Amat pedih untuk membayangkan keperitan dan kesengsaraan umat Islam Bosnia yang terpaksa dilalui oleh mereka pada tahun 1995.

Kejam? Ya, memang kejam. Inilah sorotan sejarah memilukan yang boleh ditatap apabila berkunjung ke Bosnia.