GERBANG KE NERAKA

Darvaz, sebuah kota kecil di Turkmenistan yang dihuni kira-kira 350 orang penduduk. Di sini, terdapat satu fenomena alam yang digambarkan sebagai ‘NERAKA’. Ia sebuah kawah berapi yang membakar gas tanpa henti sejak hampir empat dekad lalu. Penduduk setempat menggelarkannya sebagai ‘The Door to Hell’ atau ‘Gerbang Neraka’.

‘Gerbang Neraka’ ini terletak di bahagian timur Laut Kaspia di Turkmenistan yang kaya dengan sumber alam. Lokasinya secara tepat ialah di tengah-tengah padang pasir Kara-Kum, kira-kira 260 kilometer ke utara Ashgabat, ibu negara Turkmenistan. Tetapi, ramai orang keliru dan menyangka gerbang neraka ini terletak di Uzbekistan. Sebenarnya, lokasi ‘lubang neraka’ ini di sempadan Uzbekistan, tetapi masih di dalam wilayah Turkmenistan.

 

Mengikut anggaran, terdapat lebih kurang 11 bilion tan minyak, dan 5.5 trilion kubik meter gas dalam kawasan ini. Ahli geologi menjumpai tempat ini secara tidak sengaja ketika proses cari gali sumber asli pada tahun 1971. Ketika itu Turkmenistan masih berada di bawah jajahan Soviet, sebelum diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat pada 1991.

Tempat di mana pelantar gerudi diletakkan telah runtuh dan meninggalkan sebuah lubang besar dengan diameter kira-kira 50-100 meter. Ia adalah sebuah kawah gas raksasa!

Lubang tersebut dipenuhi gas asli yang tak terhitung kuantitinya dengan ketumpatan yang amat tinggi. Bagi mengelakkan gas-gas beracun keluar dari lubang itu, ahli geologi telah membakar gas-gas tersebut. Pembakaran itu telah menyebabkan kota Darvaz diselimuti asap toksik yang tebal.

Ketika lubang itu mula dibakar, mereka menyangka api akan padam selepas beberapa hari. Namun, hari bertukar minggu, bersilih bulan dan berganti tahun, api terus menyala. Sehingga kini, hampir 50 tahun, api masih menyala tidak pernah padam. Fenomena ini membingungkan para saintis kerana tidak dapat menjangka bila api akan berhenti membakar.

 

Lubang gergasi yang dipenuhi api ini digambarkan penduduk bagaikan pintu ke neraka. Sebab itu ia mendapat jolokan demikian. Terasa gerun melihat julangan-julangan api yang membakar gas di dalam lubang ini.

Waktu malam, ‘Gerbang Neraka’ ini boleh dilihat dari jarak tiga kilometer. Bahagian dalamnya berwarna hitam yang terdiri dari karbon-karbon hasil pembakaran gas.

Kepanasannya dahsyat, lebih kurang 500 darjah Selsius. Benda hidup hanya mampu bertahan beberapa minit saja berdiri di tepi tebing kawah ini. Bahangnya boleh dirasai dalam jarak satu kilometer persegi walaupun pembakaran gas itu berlaku di dalam lubang yang dalam.

Tidak jelas apakah fenomena ini kebetulan ataupun disebabkan oleh hukum alam. Ada juga pihak berpendapat, kerana kekayaan sumber asli inilah, ia jadi penyebab utama kuasa besar Amerika Syarikat cuba menakluk negara-negara Asia tengah untuk membolot sumber kekayaan yang terpendam di sana.

Kalau lubang begini pun kita sudah gerun melihatnya dan tidak tertahan dengan bahangnya, apatah lagi jika neraka yang sebenar.