KISAH DOROTHY YANG ‘LAHIR’ SEMULA DARI ZAMAN MESIR PURBA

Anda percaya dengan fenomena ‘kelahiran semula’ atau juga disebut reinkarnasi? Ia sesuatu yang aneh dan tidak masuk akal, tetapi banyak kes-kes reinkarnasi yang telah berlaku di seluruh dunia. Individu yang mengalaminya mampu mengingati dengan tepat siapa mereka pada kehidupan masa lalu. Salah satu kes yang popular ialah kisah Dorothy Eady.

Dorothy dilahirkan pada 16 Januari 1904 di pinggir bandar Blackheath di London. Dia menjalani kehidupan sama seperti kanak-kanak normal lain sehinggalah terjadi satu kecelakaan pada dirinya. Pada umur tiga tahun, dia tergelincir dan jatuh dari tangga sampai terjelepok ke bawah. Oleh kerana gadis itu pengsan dan tidak bernafas, ibu bapanya panik lalu memanggil doktor. Doktor yang merawatnya kemudian mengesahkan bahawa Dorothy telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Selepas diisytiharkan mati di tempat kejadian, terjadi peristiwa mengejutkan apabilaDorothy tiba-tiba bangun dan hidup semula. Dia didapati duduk di atas katil dan bermain, seperti tiada apa yang berlaku.

Sejak itu, kehidupan gadis ini mula berubah daripada kebiasaannya. Dia mulai menunjukkan perangai aneh, suka melompat, bersembunyi di bawah meja dan belakang perabot serta mudah terkejut dengan hal-hal yang biasa. Tingkah laku dan tutur katanya juga tidak lagi kelihatan normal seperti kanak-kanak usia tiga tahun. Dia mula bercakap perkara-perkara pelik dan selalu mengajak ibu bapanya untuk ‘membawanya pulang’, walaupun ketika berada di rumah.

Tanpa mengenal masa, Dorothy kerap menunjukkan rasa takjub dan bingung terutama pada barang-barang harian tertentu yang tidak pernah dia minati sebelum ini.  Pada waktu malam pula, dia selalu sahaja terbangun daripada tidur dan mendakwa bermimpi melihat bangunan purba dengan tiang-tiang besar.

Suatu hari, ketika gadis ini membelek buku bergambar kanak-kanak, dia terlihat gambar Mesir kuno. Sebaik sahaja terpandang, matanya tidak kalih daripada merenung foto tersebut dan menyatakan bahawa itu adalah ‘rumahnya’. Hal pelik itu membuatkan ibu bapanya bingung dan berasa bimbang.

Kelakuan Dorothy dilihat semakin aneh apabila ibu bapanya membawa dia ke Muzium British di London untuk melihat khazanah Mesir purba. Di sana, dia seolah-olah bertemu dengan apa yang dimimpikannya sebelum ini. Keterujaan makin tidak dapat dibendung lagi apabila melihat patung dewa dewi Mesir kuno. Sebaik terpandang, dia terus sahaja  berlari-lari memeluk peti mumia dan mencium kaki berhala dengan penuh hormat.

Pada usia masih kanak-kanak, Dorothy mampu menterjemahkan segala tulisan dan simbol zaman Mesir kuno sedangkan dia tidak pernah mempelajarinya sebelum itu.

Paling tidak masuk akal, apabila melihat foto-foto runtuhan kuil Seti I, gadis ini mendakwa bahawa itu ialah kediamannya. Namun, dia bingung dengan keadaan sekarang yang tidak lagi seperti dulu, tiada taman mahupun pokok-pokok. Dia bertanya, mengapa semua itu sudah tidak ada di sana.

Agak mengejutkan, anak ini juga dengan berani mengaku bahawa dia secara peribadi mengenali Seti dan menggelarnya sebagai ‘lelaki tua yang baik’. Selain itu, dia gemar menjerit dengan kuat tanpa sebab sambil mengucapkan kata-kata asing yang tidak dapat difahami. Melihat keadaan si anak yang semakin berperangai pelik, dia segera diajak pulang oleh ibu bapanya. Akan tetapi, Dorothy berkeras tidak mahu pulang kerana ingin tinggal bersama patung-patung tersebut.

Difahamkan, itu bukanlah kunjungan yang terakhir dia ke situ. Ketika berumur 10 hingga 12 tahun, dia sering berulang-alik ke muzium tersebut dan menghabiskan sebahagian besar masa terluangnya di sana.

Di muzium itu, Dorothy bertemu dengan seorang pakar sejarah Mesir purba bernama EA Wallis Budge. Ilmuwan ini kagum dengan pengetahuan Dorothy berhubung pemerintahan kuno itu. Betapa tidak, dia bukan sahaja menguasai kemahiran menterjemahkan huruf hieroglif, malah mampu membaca simbol-simbol kompleks dengan lancar sekali. Sedangkan Dorothy tidak pernah mempelajari bahasa kuno tersebut.

Ilmuwan sejarah EA Wallis Budge.

Kemahiran itu membuatkan Dorothy begitu terkenal dalam kalangan para peneliti dunia terutama pakar sejarah dan ahli arkeologi. Sehinggakan dia mendapat kepercayaan tinggi untuk menjadi pembantu peneliti dari beberapa orang pengkaji tersohor.

Ketika berusia 15 tahun, Dorothy mengaku bahawa dirinya merupakan penjelmaan semula roh seorang wanita bernama Bentreshyt. Bentreshyt pernah menjadi paderi di kuil Seti I di Abydos, pada zaman Firaun Seti I sebelum mati secara tragis. Malah, dia berupaya menceritakan dengan tepat kehidupan masyarakat pada masa itu termasuk ritual-ritual yang dilakukan.

Kuil Seti I

Pada usia 27 tahun, Dorothy mula bekerja untuk sebuah majalah di London. Ketika itulah, dia bertemu dengan suaminya, Eman Abdel Meguid. Setelah bernikah, mereka berpindah ke Mesir dan dikurniakan seorang anak lelaki dan diberi nama Sety. Selepas bercerai, Dorothy yang ketika itu berusia 52 tahun berpindah ke Abydos pada tahun 1956. Sejak itu, dia hanya mahu dikenali sebagai Omm Sety, bermaksud ‘ibu seti’.

Dorothy mampu memberi gambaran tepat bagaimana rupa asal Kuil Seti I dan pengkaji sejarah juga banyak menemui bukti berdasarkan cerita Dorothy.

Tidak jauh dari Abydos, dia mendirikan sebuah rumah. Di sana, wanita yang semakin dimamah usia ini sering mengunjungi kuil Seti I dan menjaganya setiap hari. Saat berusia 69 tahun, pada 1973, Dorothy memohon kepada pihak pemerintah Mesir supaya dia dikebumikan di kuil berkenaan jika dia mati. Hasratnya itu menjadi kenyataan. Akhirnya, ketika dia meninggal dunia pada 21 April 1981 pada usia 77 tahun, mayatnya disemadikan di belakang kuil Firaun Seti I di Abydos.

Dorothy menghabiskan usianya di Abydos berdekatan kuil Seti I sehingga ke nafas terakhir.

Walaupun Dorothy sudah lama tiada, kisahnya masih terus jadi sebutan dan dikaji hingga sekarang. Semakin kes Dorothy berkaitan reinkarnasi diteliti, semakin banyak persoalan yang timbul. Dan segala teka-teki itu tetap tidak mempunyai jawapan dan kekal misteri sampai ke hari ini.

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!