DI SUATU SUBUH YANG HENING

Pada Subuh yang hening, ketika manusia lena diulit mimpi, sejalur cahaya indah terpancar nun di kaki langit. Sadik namanya, dan ia tersenyum memandang sekalian penghuni bumi yang sedang berdengkur.

DAM! DAM! DAM! DAM!

Beduk dipalu menyambut kedatangan sadik yang indah kemilau cahayanya. Lebih kurang pukul 6.00 pagi, berkumandanglah suara muazin di sebuah surau di selatan tanah air, mengejutkan manusia yang masih lena;

ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR!

Pukul 6.01 pagi, muazin di surau dan masjid di daerah lain pula mengalunkan kalimah suci itu. Lantang, tapi menyejukkan dada. Wajah sadik semakin jelas.

Pukul 6.02, laungan yang sama bergema di daerah yang lebih utara, begitulah seterusnya, berganjak dan berganjak tanpa henti di wilayah yang lain pula. Pukul 6.05 pagi, berkumandang azan Subuh di kota metropolitan yang bernama Kuala Lumpur. Laungan suci mengajak umat-Nya menunaikan solat beralun sayu tingkah bertingkah, hampir serentak dari setiap corong pembesar suara dan masjid. Seluruh kota itu bergema dengan peringatan;

ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR!

Pukul 6.06, azan subuh beralih ke daerah lebih utara. Demikianlah aturannya, tidak berhenti-henti, bersahut-sahutan membuka lembaran pagi yang aman permai. Selepas azan berakhir di Perlis, ia berkumandang pula di selatan Thailand, kemudian terus berganjak dan berganjak, setiap saat, minit dan jam ke Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan serta Afghanistan.

Semasa penghuni sebuah negara permai bernama Malaysia sedang sibuk bekerja, azan Subuh berkumandang pula di Rusia dan Uzbekistan, kemudian menggegar bumi Asia Barat, dari Iran yang berselubung hitam dan Iraq yang sedang bergelut dengan pembunuh berkulit putih, hinggalah ke Turki, seterusnya Eropah.

Di saat matahari mula menuju ke ufuk barat di sebuah negara yang permai bernama Malaysia, azan Subuh bergema di bumi angkuh bernama Amerika Syarikat dan Kanada. Seruan suci itu bersambut di Jepun, kemudian disahut oleh masjid-masjid di Korea, China, Filipina, Vietnam, Laos dan Kemboja tanpa putus walaupun sesaat.

Ketika manusia sibuk bekerja di bumi angkuh bernama Amerika, sadik yang indah memancar lagi di kaki langit sebuah negara bernama Malaysia. Wajahnya tetap indah dan berseri, membawa khabar suci untuk yang mengerti.

Pukul 6.01 pagi, seruan azan Subuh berkumandang lagi di sebuah surau di selatan tanah air.

ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR! ALLAH MAHA BESAR! TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH! TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH!

Seruan suci di Subuh yang bening ini tidak pernah putus dilaungkan di setiap inci muka bumi, walaupun sesaat. Namun berapa ramaikah yang sanggup meninggalkan katilnya untuk beberapa minit demi menyembah yang Maha Pencipta?