DI ATAS BATU ITU…

20 tahun lalu ketika saya berusia 9 tahun…

 

Di rumah berhampiran sawah itulah saya tinggal bersama ayah, ibu dan kakak. Rumah kami terletak jauh dari jiran-jiran sekeliling. Jarak itu membataskan hubungan kami dengan mereka. Selain bersawah, ayah dan ibu mengusahakan kebun sayur-sayuran dan buah-buahan.

 

Seawal 5.30 pagi, saya dan kakak akan bangun untuk ke sekolah yang terletak kira-kira 2.5. kilometer jauhnya. Dalam perjalanan kami akan membuka kasut kerana tidak mahu kasut sekolah kotor. Masih saya ingat suatu hari ketika berkaki ayam, kaki kakak berdarah kerana terpijak duri. Kakak berjalan terjengket-jengket hingga ke sekolah.

 

Pada waktu cuti pula, kami akan menolong ayah dan ibu di sawah atau di kebun. Petang, saya dan kakak sering bermain di atas sebuah batu besar yang agak rata permukaannya. Seronok apabila berdiri atas batu itu. Kami dapat melihat pemandangan sawah padi yang luas terbentang. Di situlah juga kami membuat kerja-kerja rumah dan membaca buku yang dipinjam dari perpustakaan sekolah.

 

Ada kalanya kami baring di atas batu itu memandang awan yang berarak, memerhatikan awan yang bermacam-macam bentuk, kadangkala seperti orang, kadangkala seperti haiwan. Di atas batu besar itulah juga kami merenung langit biru yang terbentang saujana mata memandang. Ketika hampir senja, kakak akan bercerita tentang si kancil, si monyet, si gagak, si Luncai, Pak Pandir, Lebai Malang dan sebagainya. Semuanya di atas batu itu. Saya terhibur mendengar cerita kakak.

 

Masa berlalu. Kakak hampir mencecah 13 tahun usianya dan akan berhijrah ke sekolah menengah pula. Sunyilah saya nanti, sebab kakak akan tinggal di asrama. Sekolahnya terletak agak jauh dari kampung. Saya masih kecil lagi ketika itu, tetapi saya amat sedih. Tiada lagi teman saya bermain, membuat kerja-kerja rumah dan bercerita di atas batu besar itu. Saya akan keseorangan, bersendirian di atas batu besar itu. Tiada lagi suara kakak bercerita kisah si gagak, si kancil, si monyet dan si Luncai. Awan yang berbagai-bagai bentuknya dan langit biru yang terbentang luas hanya untuk saya tatap sendirian.

 

Pada hari kakak pergi, saya berdiri di atas batu itu dengan perasaan sedih. Saya berasa kehilangan yang besar. Saya memerhatikan kakak melangkah menyusur tebing sawah. Tangan kanannya menjinjing beg, manakala tangan kiri mengesat air mata yang jatuh luruh membasahi pipi.

 

Seperti saya, ayah dan ibu juga turut sedih dengan perpisahan tersebut. Di atas batu itu, air mata saya mengalir. Jauh di sudut hati, saya tidak merelakan pemergian kakak. Semakin lama, langkah kakak semakin jauh. Sesekali dia memaling ke belakang dan melambaikan tangan kepada saya yang masih berdiri di atas batu besar itu.

***

Tiga bulan berlalu. Saat yang ditunggu-tunggu pun tiba. Saya gembira kerana cuti sekolah akan bermula dan ini bermakna saya boleh berjumpa dengan kakak. Saya mahu menunggu kepulangan kakak di atas batu tempat kali terakhir saya melihatnya pergi.

 

Saya membayangkan kami akan bermain di atas batu besar itu lagi dan sebelum senja, kakak akan bercerita kisah binatang lain pula. Mungkin si beruang, mungkin si harimau, atau si nyamuk, apa saja. Saya ingin mendengarnya sambil baring di atas batu besar itu memandang awan dan langit yang membiru.

 

Namun, sehari sebelum kepulangan kakak, tiba-tiba kami didatangi oleh 3 orang lelaki berpakaian kemas dan segak. Mereka memperkenalkan diri sebagai guru di sekolah tempat kakak belajar. Tidak disangka kedatangan tiga orang tetamu itu membawa berita pahit untuk ditelan. Kami dimaklumkan bahawa kakak telah terlibat dalam satu kes keracunan makanan di asrama.

 

Apa???!!!

 

Mendengarkan berita itu, seolah-olah jantung saya disentap kuat. Tambah membuatkan hati saya terhiris apabila mereka memberitahu kakak tidak dapat diselamatkan. Seperti ayah dan ibu, dunia ini bagaikan gelap-gelita. Hati saya hancur berkecai seiring gugurnya butir-butir jernih dari kelopak mata.

 

Saya sama sekali tidak menyangka langkah pemergian kakak 3 bulan yang lalu merupakan pemergiannya yang terakhir. Kami tidak akan dapat berjumpa dengannya lagi, sedangkan di dalam hati saya berharap detik-detik indah kami bersama berulang semula.

 

Hati saya sering bertanya mengapa kakak terlalu awal meninggalkan kami sedangkan perjalanan yang harus kami tempuhi masih terlalu jauh. Teringat saya pada kata-kata kakak. Dia pernah memberitahu saya bahawa dewasa nanti, dia ingin menjadi seorang guru.

 

Setelah ketiadaannya, kata-kata itulah yang mendorong saya untuk berusaha kuat dalam pelajaran. Hasrat kakak yang tidak kesampaian itu telah berjaya saya penuhi biarpun itu bukan cita-cita saya pada awalnya.

 

Saya cuba sedapkan hati dan menganggap kakak cuma melayari lena yang panjang, tapi sering kali saya tewas.

 

Batu besar itu masih di situ. Setiap kali memandangnya akan terbayanglah kenangan-kenangan indah bersama kakak dan tanpa saya sedar titis-titis jernih air mata gugur lagi…

 

NUKILAN

Adiwill, Kota Belud, Sabah.