CINTA YANG MEMBUKA PINTU KOTA

Majlis perkahwinan baru sahaja berlangsung. Tetapi kota Damsyik dalam keadaan kelam kabut. Jonah Marcus, seorang lelaki Greek belum sempat bertemu isteri yang dicintainya. Majlis penyerahan pengantin perempuan tidak dapat disempurnakan kerana tentera Muslim sudah mengepung kota itu.

Jonah meminta pihak keluarga pengantin perempuan untuk menyerahkan isterinya, tetapi mereka enggan dengan alasan sibuk menentang musuh. Tetapi dalam hati dan fikiran Jonah hanya ada wanita itu. Dia tidak memikirkan hal lain!

September 18, 634 Masihi, selepas matahari terbenam, Jonah menuruni tembok kota menggunakan tali berdekatan pintu Timur. Dia tahu di sebelah sini, tentera Islam diketuai oleh Khalid al-Walid, dan meminta tentera Islam pertama ditemuinya, membawanya berjumpa jeneral perang yang terkenal itu.

Jonah menceritakan kisah sedihnya dan menjelaskan mengapa dia datang. Jika Khalid menolong mendapatkan isterinya, dia sanggup memberi maklumat yang boleh membantu tentera Islam menawan kota Damsyik. Jonah memberitahu Khalid bahawa pada malam itu, penduduk di dalam kota itu akan menyambut satu perayaan, dan mereka akan berpesta dan mabuk. Tidak ramai yang akan mengawal di pintu kota. Jika tentera Khalid boleh memanjat tembok kota, mereka tidak akan menghadapi banyak masalah untuk membuka mana-mana pintu, dan tentera Muslim boleh memasuki kota itu.

Jonah kelihatan seperti seorang yang jujur, dan Khalid berasa dia boleh mempercayainya. Kepada pemuda yang dilamun cinta itu, dia menawarkan Islam, dan Jonah menerimanya. Sejak beberapa tahun dia sudah mendengar mengenai agama yang dibawa oleh Muhammad itu dan hatinya memang cenderung. Jonah menerima Islam daripada Khalid yang kemudian menyuruhnya kembali ke dalam kota dan menunggunya.

Selepas pemuda Greek itu pulang,  Khalid mengarahkan tenteranya menyediakan tangga tali. Dia membuat keputusan untuk menyerang kota itu dari pintu Timur dengan bala tenteranya pada tengah malam itu.

Khalid al-Walid, panglima Islam yang mendapat julukan Pedang Allah, tidak pernah kalah perang. Di Damsyik dia mencatatkan rekod yang sama. Malam itu, Khalid berjaya menyusup masuk, membuka pintu kota dan membawa tenteranya  ke dalam kota yang sekian lama menjadi tanda kemegahan kerajaan Rom di Syam. Kota Damsyik sudah hampir jatuh ke tangannya…

Tetapi keselamatan kota itu dijaga oleh  Ketua Komander Rom, Thomas, menantu kepada Maharaja Heraklius. Beliau seorang yang kuat berpegang kepada ajaran Kristian, dan bukan sahaja dikenali kerana keberanian serta kemahirannya memimpin tentera, tetapi juga seorang yang bijak.

Mengetahui Khalid telah berjaya menembusi pintu Timur, Thomas tahu kota itu tidak mungkin dapat dipertahankan lagi, dan akan bermandi darah. Dia tahu Khalid bertindak sendirian tanpa diketahui jeneral Islam lain yang mengepung Kota Damsyik; Abu Ubaidah di pintu Jabiya, Yazid di pintu Keisan dan Syurahbil di pintu Thomas.

Sebelum Subuh, Thomas bertindak bijak. Dia memerintahkan saki baki tenteranya berhadapan dengan serangan Khalid, di samping itu menghantar utusan kepada Abu Ubaidah. Dia menyatakan hasrat untuk menyerahkan kota Damsyik secara damai dan membayar jizyah. Abu Ubaidah menerima tawaran pihak Rom untuk menyerah kalah, tanpa mengetahui bahawa Khalid sudah hampir menawan kota tersebut.

Selepas Subuh, Abu Ubaidah bersama tentera memasuki kota Damsyik menerusi pintu Jabiya. Beliau diiringi Thomas, timbalannya, Harbees dan pembesar lain. Mereka menuju ke tengah kota, di Gereja Mary, dan di sana menemui Khalid yang berjaya menembusi pertahanan tentera Rom.

 

Pedang terhunus & pedang tersarung

Abu Ubaidah dan Khalid saling berpandangan, kehairanan. Khalid dengan pedang terhunus dipenuhi darah, manakala Abu Ubaidah dengan pedang masing-masing tersarung dan diiringi pembesar Rom.

“Wahai Abu Sulaiman, Allah telah memberi kita kota ini dalam keadaan damai di tanganku, dan tidak memerlukan kaum muslim berlawan,” kata Abu Ubaidah.

“Damai apa! Aku telah menawan kota ini dengan kekuatan tentera. Pedang kami merah dengan darah mereka, dan kami mengambil harta rampasan perang dan hamba,” kata Khalid.

Berlaku perselisihan antara dua panglima perang Islam. Abu Ubaidah tidak sepatutnya membuat keputusan tanpa terlebih dahulu memberitahu Khalid kerana beliau adalah ketua panglima perang. Tetapi hubungan yang terjalin di antara kedua-dua mereka sudah sekian lama. Masing-masing saling menghormati. Khalid kerana kebijaksanaan dan kehebatan mengatur strategi perang, dan Abu Ubaidah sebagai sahabat yang sangat dihormati dan salah seorang daripada 10 yang dijanjikan syurga.

Akhirnya Khalid al-Walid, Ketua Panglima Perang yang digeruni terpaksa tunduk kepada suara ramai. Perbincangan antara panglima-panglima perangnya memutuskan bahawa mereka perlu menerima perdamaian dan memberi jaminan keselamatan seperti persetujuan yang dibuat oleh Abu Ubaidah. Jika musuh yang menyerah kalah dan dijanjikan keselamatan oleh tentera Islam terus dibunuh, tidak ada musuh lain yang akan mempercayai mereka dan mahu mengadakan perdamaian.

Pihak Rom diberi tempoh tiga hari (genjatan senjata) untuk keluar dari Kota Damsyik dengan membawa harta benda dan sedikit senjata untuk mempertahankan diri. Bagi yang mahu terus tinggal di kota itu, mereka diberi jaminan keselamatan diri dan harta, kebebasan mengamalkan agama, dan perlu membayat jizyah.

Melihat Thomas, para pembesar, tentera dan ribuan rakyat Rom meninggalkan kota itu dengan membawa harta benda mereka, Khalid dan sesetengah tenteranya masih menyimpan marah. Selayaknya harta-harta tersebut menjadi rampasan perang, tetapi kini mengalir keluar.

 

Wajah sedih Jonah

Menoleh ke belakang, Khalid melihat Jonah, lelaki yang dengan bantuannya terbuka pintu Kota Damsyik. Wajahnya sedih. Apakah dia belum bertemu isteri yang dicintainya?

Sudah, cerita Jonah. Isterinya itu pada awalnya bersetuju mengikutnya, tetapi apabila diberitahu Jonah telah memeluk Islam, dia bersumpah tidak akan bersamanya lagi. Isterinya memilih mengikut konvoi Thomas yang telah meninggalkan kota tersebut.

Jonah yang dilamun cinta meminta bantuan Khalid untuk mengejar dan membawa isterinya kembali. Tetapi mana mungkin Khalid berbuat begitu kerana rombongan itu diberi jaminan keselamatan selama tiga hari.

Jonah tahu rombongan Thomas menuju ke Antioch, dan tidak mungkin mereka akan sampai ke sana dalam masa tiga hari. Mereka boleh memintas rombongan itu selepas tempoh jaminan berakhir. Jonah tahu jalan menuju ke sana. Yang dia mahukan hanyalah buah hatinya!

Pada hari keempat, Khalid dan tentera bergerak bersama Jonah. Mereka menemui rombongan Rom itu tidak jauh dari Antioch dan sekali lagi berlakulah pertembungan tentera Islam dan Rom. Khalid akhirnya berjaya membunuh Thomas dan Harbees.

Jonah menemui isterinya dan cuba membawanya pergi, tetapi apabila melihat Jonah, wanita itu mengeluarkan pisau yang disorok dalam pakaiannya dan menikam dadanya sendiri. Tindakan wanita itu mengejutkan Jonah. Dia menangis di sisi jasad isteri yang menghampiri kematian. Jonah bersumpah akan setia kepadanya dan tidak akan memandang wanita lain.

Apabila Khalid mendapat tahu kisah yang menimpa Jonah, beliau menawarkan wanita lain sebagai isteri, tetapi Jonah menolak. Panglima itu juga ingin memberi sejumlah harta rampasan perang agar dia boleh mendapatkan isteri baru, tetapi itu juga ditolak oleh Jonah.

Pemuda itu mengotakan sumpah setianya kepada wanita yang dicintai. Jonah juga kekal setia kepada agama Islam yang baru dianutinya. Dia terus berjuang di bawah panji Islam selama dua tahun sebelum gugur syahid dalam Perang Yarmuk.