‘BLACK DECEMBER’ – LUMPUHNYA SEBUAH KOTA ANGKARA SANG JERUNG

Insiden Black December, salah satu fasa siri serangan jerung terhadap manusia pada abad ke-20. Serangan itu bukan saja meragut nyawa, bahkan menjadi penyebab tercetusnya krisis ekonomi yang dahsyat di bumi Afrika Selatan.

Pada era 1950-an, Durban merupakan bandar pesisir pantai di Afrika Selatan yang menjadi lokasi peranginan terunggul di benua Afrika. Lokasinya yang strategik menghadap Lautan Hindi telah menjadikan Durban antara destinasi pelancongan pantai yang popular ketika itu.

Lokasi Durban yang bertentangan Lautan Hindi

 

Statistik menunjukkan lebih tiga juta pengunjung membanjiri bandar pinggiran pantai ini setiap tahun. Puratanya meningkat lebih sekali ganda di antara bulan November hingga Mac. Kebanyakannya adalah pelancong dari benua Eropah yang ingin melarikan diri daripada kedinginan musim salji.

Sektor pelancongan adalah penyumbang utama ekonomi kota Durban. Lebih 80 peratus penduduk di wilayah Kwazulu-Natal bergantung harap kepada industri ini. Atas kapasiti itulah, Durban telah diiktiraf antara lokasi pelancongan paling selamat di dunia pada ketika itu.

Durban menjadi lokasi pelancongan popular pada tahun 1950-an

 

Namun, pada 18 Disember 1957, hiruk pikuk kota Durban telah dikejutkan dengan serangan jerung yang telah membunuh seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, Robert Wherley. Beliau terbunuh akibat pendarahan yang teruk selepas kakinya putus digigit jerung.

Dua hari selepas itu, seorang remaja perempuan, Allen Green turut mengalami nasib serupa. Green terbunuh akibat serangan jerung ketika bermandi-manda hanya pada kedalaman paras pinggang sahaja.

Menjelang tahun baru, satu lagi siri kejadian serangan jerung dilaporkan. Seorang gadis bernama Julia dikatakan telah diserang berkali-kali oleh sekumpulan ikan bersaiz besar. Gadis tersebut terselamat, tetapi kedua-dua lengannya hilang akibat insiden itu.

Seminggu kemudian, dua lagi kematian akibat serangan jerung dicatatkan. Insiden kali ini melibatkan lelaki dewasa bernama Vernon Berry dan Deryck Prinsloo. Apa yang membimbangkan ialah kesemua serangan tersebut berlaku pada paras kedalaman air yang sangat cetek.

Berdasarkan kepada kesan gigitan ke atas mangsa, Pusat Marin Durban mengesahkan serangan tersebut telah dilakukan ikan jerung dari spesies Zambezi. Ia adalah sejenis karnivor lautan yang mempunyai saiz yang sama besar dengan manusia dewasa dan sering dilihat di sekitar kawasan berhampiran.

Jerung spesies Zambezi

 

Kesemua siri serangan itu telah menimbulkan suasana panik di kota Durban. Pelancong sudah tidak berasa selamat untuk menikmati suasana pantai di situ. Lebih separuh pengunjung meninggalkan kota tersebut.

Tersentak dengan keadaan itu, pemodal serta pengusaha resort telah mendesak pihak berkuasa tempatan melakukan sesuatu bagi memulihkan keadaan. Sekiranya keadaan itu berterusan, sudah pasti akan menyebabkan kerugian yang berlipat ganda kepada golongan pengusaha pelancongan. Situasi itu turut akan memberi kesan kepada penduduk-penduduk tempatan yang mencari makan dalam sektor berkenaan.

Pada 6 Januari 1958, pihak berkuasa tempatan Durban yang diketuai oleh Kapten Terry-Lloyd telah melakukan kaedah pencegahan yang kontroversi untuk menghalau jerung dari pesisir pantai. Mereka telah memasang enam butir bom berskala besar di dasar laut dan meletupkannya. Letupan tersebut telah menggegarkan kota Durban sehingga menghasilkan percikan air setinggi 15 meter dan boleh didengari sejauh beberapa kilometer dari situ.

Dalam sekelip mata, letupan itu telah menyebabkan pantai keemasan di daerah Kwazulu-Natal berubah menjadi lautan berdarah. Saki-baki pelancong yang masih lagi menghuni kota tersebut melihat sendiri bagaimana ekosistem semula jadi pantai berkenaan telah dirobek dan dimusnahkan secara total oleh pihak berkuasa tempatan. Hanya untuk mengusir beberapa ekor jerung, puluhan ribu hidupan laut yang lain turut terkorban.

Akibat letupan itu, puluhan ribu hidupan laut mati termasuk beberapa ikan jerung spesies Zambezi. Bangkai-bangkai ikan timbul di permukaan air dengan kesan kecederaan yang teruk. Ada yang terburai isi perut dan ada juga yang hancur berkecai. Sementara ikan-ikan yang masih hidup pula telah ditembak oleh skuad penembak pihak berkuasa tempatan Durban yang bersedia menanti di permukaan.

Tindakan tersebut telah mendapat reaksi di kalangan pencipta haiwan. Mereka menganggap ia sebagai satu tindakan bodoh kerana telah menyebabkan hidupan lain yang tidak bersalah seperti penyu turut terbunuh. Ekoran itu, satu demonstrasi telah diadakan sebagai bantahan terhadap tindakan itu. Keadaan ini telah menambahkan lagi ketegangan di kota Durban.

 

Tunjuk perasaan yang membantah tindakan pihak berkuasa meletupkan pantai

Sekalipun Kapten Terry-Lloyd tampil mempertahankan tindakan mereka dengan alasan untuk menjaga keselamatan pengunjung, ia sukar diterima para demonstran yang menganggap itu semua hanyalah alasan untuk menjaga poket-poket kaum pemodal yang telah banyak melabur di dalam sektor pelancongan di daerah berkenaan. Dalam masa yang sama, penunjuk perasaan turut mengecam pemodal dan kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan kelangsungan ekosistem semula jadi alam.

Lanjutan daripada tunjuk perasaan itu, ekonomi kota Durban yang telah lesu menjadi semakin parah. Pelancong beredar dari daerah berkenaan. Kelembapan ekonomi menjadi semakin meruncing dan kejatuhan kota ini dilihat semakin hampir.

Bagaimanapun, seminggu selepas letupan pengusiran ikan jerung itu dilakukan, pihak berkuasa tempatan telah mengumumkan bahawa pantai Kwazulu-Natal telah bebas daripada ancaman jerung. Pengumuman tersebut telah melegakan banyak pihak, terutamanya pemodal dan saki baki pelancong yang masih menetap di Durban.

Sungguh pun begitu, persepsi negatif tentang bahaya serangan jerung di pantai ini masih lagi tersebar luas. Tahap kebimbangan orang ramai untuk melakukan aktiviti air masih belum reda sepenuhnya. Ia sedikit sebanyak telah merencatkan usaha kerajaan tempatan untuk memulihkan semula sektor pelancongan di ibu kota Durban ini.

Walaupun perkembangan ekonominya dilihat bergerak sedikit ke hadapan dengan pengumuman berkenaan, tetapi keadaan itu masih lagi membimbangkan. Justeru, pelbagai strategi pelancongan telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan swasta untuk menggamit semula pelancong ke kota itu, termasuk mengadakan pelbagai promosi di luar jangkaan.

Dalam tempoh dua bulan, ekonomi kota Durban mulai pulih. Sekalipun tidak dapat menyamai kemasyhuran seperti sebelum ini, sekurang-kurangnya ia mampu menjaga periuk nasi pekerja-pekerja yang terlibat secara langsung di dalam sektor ini.

Sehinggalah pada 3 April 1958, seorang remaja, Nicholas Francois Badenhorst dilaporkan telah diserang oleh jerung ketika sedang melakukan aktiviti snorkel. Beliau mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan. Dua hari selepas itu, seorang ibu kepada empat orang anak, Fay Bester yang berusia 28 tahun turut maut dibaham jerung ketika sedang mandi di gigi pantai yang hanya sedalam paras lutut sahaja.

Siri kedua serangan jerung ini sekali lagi telah menggegarkan kota Durban dan menimbulkan suasana panik.  Bagaikan dilanda histeria, hampir kesemua pengunjung telah angkat kaki meninggalkan kota itu.

Fasa serangan kedua ini telah menyebabkan suasana di sini menjadi semakin parah. Ekonominya merudum teruk kerana sektor pelancongan telah lumpuh sepenuhnya.

Kota Durban kini ibarat seperti sebuah kota hantu. Tiada lagi hiruk pikuk seperti dulu. Yang tinggal hanyalah deretan-deretan kedai, hotel dan chalet yang lengang tanpa pengunjung. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, banyak perniagaan telah jatuh muflis. Keadaan menjadi bertambah genting apabila sebahagian besar anak tempatan berhijrah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan.

Bagi menyelamatkan semula keadaan, pihak berwajib telah menuntut penjelasan ahli akademik untuk menjawab persoalan bagaimana serangan jerung ini boleh berlaku. Ini kerana, sekalipun jerung merupakan spesies karnivor, tetapi haiwan ini tidak akan menyerang manusia kerana manusia bukan makanannya. Apatah lagi serangan tersebut berlaku pada paras air yang sangat cetek, secara tak langsung ia diklasifikasikan sebagai sesuatu yang mustahil untuk berlaku. Justeru, pasti ada faktor lain yang mendorong mereka berbuat demikian.

Seorang ahli biologi marin tempatan, Dr. Harris mendapati, serangan tersebut bukan dilakukan oleh seekor atau dua ekor jerung sahaja, tetapi mungkin lebih daripada itu. Berdasarkan data-data yang diperoleh, terdapat beratus-ratus ekor jerung berkeliaran di sepanjang pantai Kwazulu-Natal ketika musim itu. Persoalannya, apa yang menyebabkan kawanan jerung itu berlegar berhampiran pantai?

Dalam kajiannya, Dr. Harris merumuskan ia berlaku disebabkan beberapa faktor. Kehadiran ikan paus serta laluan kapal dagang yang sibuk telah menyebabkan sumber makanan ikan jerung bergerak ke tepi pantai. Keadaan ini telah mengubah ekosistemnya dan jerung-jerung tersebut tiada pilihan lain selain mengikut jejak sumber makanannya itu.

Dalam masa yang sama, bulan Disember adalah permulaan berlakunya ribut di kawasan berkenaan. Angin kencang telah membuatkan laut bergelora. Faktor ini menyebabkan air di pantai menjadi keruh kerana keladak pasirnya naik ke atas dan bercampur dengan air. Kehadiran jumlah pelancong yang meningkat berlipat ganda pada tahun berkenaan turut menjadi penyumbang kepada serangan ini. Disebabkan itulah jerung-jerung tersebut telah menyerang manusia kerana ia keliru di antara manusia dan sumber makanan sebenarnya. Dalam erti kata lain, faktor persekitaran telah menyumbang kepada perubahan tingkah laku haiwan ganas itu.

Ekoran daripada pendedahan itu, pihak berwajib telah mengambil tindakan dengan memasang jaring sejauh 400 meter dari gigi pantai bagi menghalang serangan ini berulang kembali. Dalam tempoh percubaan, strategi ini dilihat berjaya kerana tiada lagi data yang menunjukkan ikan jerung menghampiri pantai.

Selama hampir satu dekad selepas tragedi Black December ini, kota Durban seperti ‘hidup segan mati tak mahu’. Namun, beberapa tahun selepas itu, stigma masyarakat kembali berubah. Durban yang suatu ketika telah pincang secara perlahan-lahan mengukuhkan semula sektor pelancongan mereka. Kini, Durban kembali gah sebagai salah satu destinasi pelancongan terbaik di dunia.

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!