BINTANG KEJORA PUJANGGA MELAYU

“Sinaran mata mu bak kejora, di tengah malam menyuluh kedamaian hati.

Halusnya lengan mu sehalus sutera cina, melembutkan setiap kata…”

 

RANGKAP di atas adalah sebahagian lirik lagu KEJORA, nyanyian kumpulan SEARCH.

‘Bintang Kejora’ antara perkataan lama yang sering diungkapkan dalam bait-bait madah puitis. Apa itu bintang kejora?

Kalau anda sangka ia adalah bintang, anda salah. Memang namanya bermula sebagai bintang, tetapi sebenarnya KEJORA yang sering disebut-sebut dalam pujangga Melayu bukanlah sebuah bintang. Sebenarnya, ia adalah sebuah PLANET.

Planet apa?

Planet Zuhrah! Itulah sebenarnya bintang kejora.

Dalam bahasa Inggeris, Zuhrah disebut sebagai Venus.

Orang zaman dahulu menyebut bahawa bintang kejora adalah yang paling terang antara semua bintang. Ia juga dianggap bintang paling indah kerana paling cerah berkerlip di angkasa pada waktu malam.

Dari sudut saintifik, planet Zuhrah akan muncul dua kali di dada langit dalam sehari. Pertama, ia akan muncul di sebelah timur semasa waktu Subuh. Kedua, ia muncul lagi di sebelah barat sewaktu senja dan selalunya akan hilang daripada pandangan menjelang waktu Isyak.

Cuba anda perhatikan di dada langit ketika matahari mulai terbenam, akan ada satu cahaya paling terang di langit. Cahaya itu tampak seperti bintang, tetapi ia tidak berkedip-kedip seperti kelaziman bintang. Itulah planet Zuhrah.

Zuhrah merupakan objek ketiga paling cerah yang dapat kita lihat di dada langit selepas matahari dan bulan. Ia dianggap sebagai kembar bumi kerana saiz, jisim, isi padu dan ketumpatannya hampir sama dengan bumi.

Zurah juga merupakan planet kedua paling dekat dengan matahari selepas Utarid. Sebab itu Zuhrah mencapai kecerahan maksimum sebelum matahari naik ataupun terbenam. Kerdipannya dahulu bukan saja jadi salah satu petunjuk di laut, bahkan menandakan saat matahari akan terbit atau terbenam.

Zuhrah – itulah dia bintang kejora.

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!