BILA MALEBOLGIA KELUAR ‘MERAYAU’…

Aku salah seorang peminat dan pengumpul koleksi figura karakter komik, terutama dari Barat. Setakat karakter Superman, Batman, Spider Man, Captain America, Wonder Women, X Man, Hulk, Thor, dan sebagainya, ia karektor biasa yang diketahui umum.

Namun, nama-nama karakter seperti Sinestro, Riddler, Galactus, Witchblade, Vaporizer, Green Arrow, Brutalizer, Vaporizer, Vandalizer, Squeamish, Cogliostro dan berpuluh-puluh karakter lain, mungkin hanya golongan pengumpul koleksi yang lebih arif.

Bagi pengumpul dan peminat tegar macam aku, figura protagonis dan antagonis sudah semestinya ada dalam simpanan. Aku ada berpuluh karakter komik yang aku simpan sebagai koleksi. Kebanyakannya dibeli di US. Ada juga yang dihadiahkan oleh saudara-mara.

Salah satu figura kegemaran aku adalah Malebolgia yang merupakan salah satu watak antagonis dalam siri komik Spawn. Ssesiapa yang lihat rupa Malebolgia ni pasti dapat agak, ia berwatak jahat.

Biar aku terangkan sikit tentang fizikal Malebolgia, karektor antagonis ini. Dagu dan rahangnya panjang seperti Alien dan filem Alien. Di bawah rahangnya itu pula ada gigi jarang-jarang tajam. Gigi tajam atasnya pula terkeluar terjulur daripada mulut. Bayangkan muka yang menyeringai itu sentiasa menampakkan gusi keras yang hodoh.

Kedua matanya sepet merah menyala, terletak di bawah bonggolan seakan dua kening keras dengan kulit menggerutu. Di atas kedua keningnya itu pula terdapat sepasang tanduk besar yang meruncing bengkok ke belakang.

Malebolgia juga mempunyai rambut putih panjang yang terletak di antara dua tanduk besar tadi. Di belakang kiri kanan pipinya terdapat tanduk tajam meruncing bengkok menghala ke arah depan. Sekali pandang, ia seakan taring yang melengkapkan lagi wajah ganas Malebolgia.

Badan figura kegemaran aku ini kurus macam orang sakit, namun berotot. Badannya langsung tidak disaluti kulit.  Di hujung punggung terdapat ekor yang panjang dan berduri hingga ke hujung ekor. Pernah lihat dinosour yang mempunyai ekor berduri? Macam itulah gambarannya.

Tapak tangannya panjang dan memiliki empat jari. Setiap jari mempunyai kuku keras yang besar dan panjang. Di bahagian bawah tangan, dari siku hingga ke arah jari, ditumbuhi duri-duri seakan tanduk-tanduk kecil tajam. Bermula dengan duri bersaiz agak besar di bawah siku, ia berjajar semakin mengecil hingga berdekatan dengan pergelangan tangannya.

Di bahagian atas pergelangan tangan hingga ke bahagian pelipat atas tangan, juga ditumbuhi sebaris duri-duri tajam  seakan tanduk-tanduk halus. Bahagian lengan atas tangannya turut ditumbuhi seakan tanduk. Bayangkan kalau Malebolgia itu melibas, habis musuh-musuhnya.

Setiap kakinya mempunyai tiga jari sahaja. Ia bukan seperti kaki biasa yang bertapak dan berjari, tetapi jari-jarinya besar, keras dan kuat. Itulah merupakan asas kakinya.

Sesuai dengan karakternya, fizikal Malebolgia juga menakutkan. Usahkan budak, orang dewasa pun mudah terkejut bila melihatnya. Fizikalnya menakutkan dan nampak ganas. Tapi itulah yang menarik minat aku. Malebolgia ni salah satu watak kegemaran aku.

Aku masih ingat, suatu malam aku tersedar dari tidur. Dalam bilik yang samar-samar terang, aku perasan macam ada sesuatu di atas almari. Aku perhatikan betul-betul, tapi tak berapa jelas sebab cahaya bilik yang suram. Aku menggonyoh-gonyoh mata biar penglihatan jelas sedikit. Sama juga. Tak nampak jelas. Cuma aku macam perasan sesuatu yang aku lihat itu bentuknya seakan-akan figura Malebolgia.

Malebolgia? Di atas almari? Mengapa figura itu berada di atas almari aku? Siapa yang meletakkannya di situ?

Bila aku terfikir tentang Malebolgia di atas almari, aku bingkas bangun. Sempat aku menyelak skrin handphone untuk melihat waktu. Pukul 2.30 pagi.

Kemudian aku pandang semula bahagian atas almari. Eh, mana perginya Malebolgia yang bertenggek tadi? Hilang! Untuk memastikannya, aku pasang lampu. Tak ada. Memang tak ada apa-apa atas almari itu. Jadi, apa yang aku nampak tadi?

Aku keluar menuju bilik yang menempatkan semua koleksi watak-watak komik aku. Di situ, aku nampak Malebolgia ada di tempatnya, elok saja menyeringai diapit oleh figura Violator dan Redeemer.

Kalau diikutkan logik, memanglah Malebolgia itu ada di situ. Tak mungkin ia boleh bergerak apatah lagi sampai ke dalam bilik aku, bertenggek pula atas almari. Mustahil.

Kejadian itu aku ceritakan pada Zek, rakan sekolej aku. Dia juga pengumpul figura macam aku, malah koleksinya jauh lebih banyak dari aku. Zek kata aku tak cukup tidur sebab nak siapkan tugasan yang lecturer kami bagi. Sebab tu nampak yang bukan-bukan. Memang sebenarnya aku tak cukup tidur, tapi… entahlah.

Disebabkan risau Malebolgia ‘keluar’ dari bilik koleksi dan bertenggek lagi di atas almari, aku masukkannya ke dalam sebuah almari berkaca dalam bilik koleksi aku. Untuk memastikan Malebolgia itu ‘tidak boleh keluar’, aku siap kunci dengan mangga almari kaca itu untuk memastikan Malebolgia itu ‘tidak mampu keluar’. Dalam almari kaca itu juga tersimpan beberapa koleksi figura lain.

Bila difikirkan, kelakar juga. Aku pun tak percaya sangat dengan apa yang aku nampak samar-samar malam itu. Tapi entah kenapa, aku tetap pindahkan Malebolgia ke dalam almari kaca.

Usaha aku itu berkesan. Selepas itu, tiada lagi bayang Malebolgia yang bertenggek di atas almari dalam bilik aku. Tapi, tak lama pun. Lebih kurang seminggu kemudian, untuk kali kedua Malebolgia muncul di bilik aku waktu malam.

Masa tu aku baru nak lelapkan mata. Aku terasa nak buang air kecil, lalu bangun untuk ke bilik air. Waktu itu, aku tidak pasangkan lampu. Bila keluar dari pintu bilik air, aku terpandang sesuatu seakan-akan susuk Malebolgia berdiri di atas meja study.

Betulkah itu Malebolgia? Alamak, takkan sekali lagi! Bukankah aku dah masukkan dalam almari kaca? Berkunci lagi!

Ketika aku kehairanan bertanya-tanya sendiri, susuk Malebolgia itu tetap berada di tempatnya. Pegun! Tidak berganjak!

Aku segera meraba dinding yang memisahkan bilik air dengan bilik aku untuk mencari suis lampu. Dalam masa yang sama, mata aku tetap memerhatikan susuk tadi. Mana suis ni? Dalam samar-samar cahaya, memang sukar untuk nampak kedudukan suis walaupun dah biasa dengannya.

Aku memalingkan muka ke arah dinding dan meraba mencari suis tadi. Bila teraba suis, aku terus memetiknya. Apabila lampu terpasang, aku pandang semula ke arah meja study. Susuk Malebolgia setinggi 210 sentimeter itu sudah tiada. Ghaib!

Tanpa membuang masa aku terus berlari menuju ke bilik simpanan koleksi barang-barang aku. Ada, Malebolgia yang aku simpan dalam almari kaca itu ada di situ. Kedudukannnya sama seperti yang aku letakan. Habis tu, macam mana dia boleh keluar dan ‘lepak’ di bilik aku tadi?

Kali ini, apa yang berlaku malam tadi aku ceritakan kepada keluarga. Daddy cadangkan agar aku pasang CCTV dalam bilik koleksi aku, agar boleh nampak apa yang berlaku. Tapi aku tolak cadangan itu. Rasanya tak perlulah sampai nak pasang CCTV bagai.

Tidak lama kemudian, sekali lagi berlaku kejadian aneh, juga waktu malam. Kejadian kali ketika ini berlaku ketika  aku sedang meniarap di atas katil sambil melayari Internet di laptop. Lampu bilik memang terpasang, terang.

Ketika aku asyik dengan laptop itu, aku perasan macam ada sesuatu di depan dalam jarak kira-kira satu meter. Perlahan-lahan aku angkat muka dan mata aku memerhati ke arah yang aku rasa bagai ada sesuatu tadi.

Tak ada apa-apa pun. Aku sambung melayan Internet semula. Pun demikian, mata aku tetap sesekali melirik ke kawasan di sekitar bilik. Beberapa minit kemudian, perasaan bagai ada sesuatu itu datang lagi. Mata aku terpandang-pandang ada sesuatu di depan laptop. Kalau tadi aku angkat muka perlahan-lahan, kali ini aku alihkan pandangan dari skrin laptop ke arah depan dengan cepat.

Hah! Malebolgia di depan aku!

Disebabkan terkejut, aku terus melompat sampai terjatuh dari atas katil. Bila aku toleh semula ke arah Malebolgia tadi, ia sudah ghaib.

Aku terus berlari mengejutkan daddy dan mummy. Mereka terkejut mendengar cerita aku. Keadaan yang bising-bising turut membuatkan kakak dan adik perempun aku terjaga. Hanya adik lelaki aku saja yang tak bangun.

Kami semua menuju ke bilik aku. Disebabkan semua nak tengok, aku tunjukkan kedudukan Malebolgia yang muncul tiba-tiba di bilik aku tadi. Selepas aku terangkan itu dan ini, kami menuju ke bilik koleksi figura aku. Kali ini apa yang kami lihat benar-benar mengejutkan. Malebolgia yang aku simpan dalam almari kaca berkunci itu telah hilang. Malebolgia tak ada di situ. Kami semua kehairanan. Memang sahlah Malebolgia yang cuba bermesra dengan aku di bilik tadi, dapat keluar dari ‘bilik kurungannya’.

Kalau Malebolgia itu berjaya lepas, susahlah. Parah aku dibuatnya. Kalau dia kacau semua orang macam mana? Habislah orang lain terperanjat melihat fizikalnya. Budak-budak mungkin boleh pengsan. Orang tua pun boleh kena serangan jantung bila terpandangnya.

Cuba korang bayangkan, karektor Malebolgia yang mengerikan itu masuk ke rumah, mahu tak huru hara dibuatnya. Boleh buat yang dewasa pengsan, tak pun yang budak menangis tak henti-henti. Semuanya kerana susuk fizikal yang maha hodoh dan brutal itu.

Dua hari selepas kejadian itu, adik bongsu aku (yang tidak bangun semasa kali ketiga Malebolgia mengganggu aku) masuk ke bilik. Dia tunjukkan Malebolgia.

Laaa… selama ini aku ingatkan Malebolgia aku hilang. Rupanya dia yang buat main. Eh, macam mana dia ambil dari dalam almari berkunci itu?

Adik aku jawab, dia tak ambil pun Malebolgia aku. Dia datang ke bilik aku sebab nak tunjukkan yang dia dapat kiriman figura Malebolgia dari sepupu kami di Michigan, US.

Bila aku kata Malebolgia koleksi aku hilang, adik aku tak percaya. Dia kata Malebolgia aku ada saja dalam almari kaca. Biar betul? Selepas kejadian ketiga itu, aku tak nampak lagi Malebolgia tu. Macam mana adik aku boleh nampak? Aku tak percaya.

Kami bergegas menuju ke bilik yang menyimpan koleksi figuran komik aku. Sampai situ, aku terkejut. Betul kata adik aku, Malebolgia itu ada dalam almari kaca yang berkunci itu. Aik, macam mana dia masuk balik dalam almari tu?

Semasa kisah ini aku tulis, aku masih lagi tertanya-tanya dengan keanehan si Malebolgia ini. Ia masih dalam almari kaca itu. Aku masih lagi berbelah bahagi, sama ada mahu pasang atau tidak CCTV menghadap ke almari tersebut. Mungkin dengan cara itu aku boleh dapat jawapannya, macam mana Malebolgia itu berjaya keluar daripada almari itu.

Perlu tak aku pasang CCTV?

 

Kiriman : Harry Azman Ainsworth      

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!