BILA ADA YANG MATI, MEREKA POTONG JARI!

Korang mesti biasa tengok pesakit kencing manis contohnya, yang kena potong jari kaki. Tapi di sebuah tempat, terdapat satu kaum yang wajib memotong jari kaki kerana budaya mereka.

Teruskan baca…

Dalam sebuah kawasan terpencil di Wilayah Papua, Indonesia, terdapat satu kelompok masyarakat dikenali sebagai suku Dani. Jumlah kaum ini lebih kurang 250,000 orang.

Salah satu budaya aneh kaum ini ialah tradisi mereka memotong jari. Dan ia dilakukan oleh kaum WANITA!

Mereka memotong jari bukan kerana cedera atau penyakit, sebaliknya kerana ada kaitan dengan kematian.

Budaya pelik ini mereka lakukan sebagai tanda ada kematian ahli keluarga atau individu tersayang seperti suami, ayah, ibu ataupun adik-beradik.

Kalau korang melihat wanita daripada kaum ini dalam keadaan tanpa jari tangan, ini bermakna mereka pernah kehilangan saudara terdekat. Bilangan jari yang dipotong adalah mengikut jumlah kematian yang dialami. Kalau dua, dua jari hilang. Kalau 10 kematian, 10 jari akan dikerat!

Tradisi ini dilakukan sebagai simbolik kesedihan dan kekecewaan akibat kematian orang yang dikasihi. Kesakitan jari yang dipotong juga melambangkan kepedihan dan rasa hormat ke atas kematian yang berlaku.

Tetapi ia hanya dilakukan oleh kaum wanita. Mengapa hanya wanita, tidak diketahui dengan jelas.

Sesetengah pendapat mendakwa, amalan ini turut dilakukan ke atas si mati. Ia bertujuan untuk memastikan sama ada mayat benar-benar sudah mati atau masih lagi bernyawa.

Jika si mati terbangun semasa jarinya dipotong, maka ia membuktikan jasad masih lagi dalam keadaan hidup. Namun jika sebaliknya, mayat akan terus disemadikan mengikut kepercayaan mereka.

Macam mana mereka potong?

Ada beberapa kaedah digunakan. Biasanya mereka menggunakan objek tajam seperti pisau, parang dan kapak untuk memutuskan jari. Kaedah lain, mereka akan mengikat jari bagi tujuan mematikan bahagian berkenaan.

Bagi mengurangkan kesakitan individu yang dikerat jarinya itu, jari yang hendak dipotong akan diikat dengan tali. Ikatan haruslah ketat dan dibiarkan lebih kurang setengah jam. Tujuannya untuk menjadikan jari kebas sebelum dipotong. Kemudian setelah selesai, jari akan dibiarkan pulih dengan sendirinya.

Pemotongan jari tidak dilakukan oleh diri sendiri. Ia dijalankan oleh ahli keluarga. Proses ini akan terus dilakukan selagi mana berlakunya kematian dalam kehidupan mereka.

Tradisi pelik ini ditemui secara tidak sengaja oleh seorang dermawan, Richard Archbold. Ketika itu, dia terlibat dalam satu ekspedisi ke wilayah ini pada tahun 1983.

Archbold yang melihat fizikal kaum wanita tanpa jari pada masa itu merasakan budaya tersebut sebagai zalim. Namun, hal berkenaan dianggap berbeza oleh suku Dani terutamanya golongan wanita.

Bagi mereka, kehilangan jari dianggap satu pengorbanan dan juga lambang betapa hebatnya kaum wanita suku tersebut kerana berani menjalani tradisi yang menyakitkan itu.

Kini, difahamkan budaya pelik ini tidak lagi diamalkan oleh suku Dani kerana telah diharamkan oleh kerajaan Indonesia.

Bagaimanapun, keadaan wanita tanpa jari masih lagi boleh dijumpai terutama golongan wanita yang sudah lanjut usia. Hal ini disebabkan oleh mereka telah menjalani tempoh hidup yang lama dan sempat terlibat dalam tradisi berkenaan.

Selain upacara potong jari, kaum ini juga dikenali dengan pemakaian ‘koteka’, sejenis alat yang disarung pada organ kelakian kaum lelaki.

Kedua-dua budaya aneh ini menjadikan suku Dani terkenal sebagai masyarakat asli unik meskipun tinggal di kawasan terpencil.

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!