BENARKAH BULAN ITU INDAH?

“Wajahmu bagai bulan dipagari bintang”

“Bagai pungguk rindukan bulan.”

 

Bila merindui kekasih hati, bulan purnama jadi tatapan sang hati. Ah! Indahnya bulan itu. Ya! Bulan memang nampak indah daripada bumi. Sangat cantik. Namun, adakah sesuatu yang cantik dan indah itu benar-benar rupa asli?

Sepintas lalu, saiz bulan lebih kecil dari bumi. Ibarat sebutir sagu dan sebiji guli perlambangannya. Jarak dari bumi ke bulan dianggarkan 30 kali ganda diameter bumi, atau lebih kurang 250,000 batu.

Macam mana dengan permukaan bulan? Ia tidak mempunyai atmosfera dan air, membuatkan tiada kehidupan yang hidup atas permukaan bulan. Suhunya antara 100 darjah Selsius hingga -173 Selsius pada waktu malam.

Tiada sebarang bunyi boleh kedengaran di bulan kerana keadaannya yang tidak berudara. Juga, tiada angin yang bertiup. Kerana itu tapak kaki angkasawan yang mendarat di permukaan bulan boleh kekal sehingga beberapa juta tahun akan datang.

Indahkah bulan seperti yang kita lihat dari bumi?

Kalau korang nak tahu, permukaan bulan terdiri daripada kawah-kawah, gunung ganang, lembah dan daratan yang kering kontang. Kebanyakan kawah ini terbentuk akibat hentaman meteor lebih kurang 4.5 bilion tahun yang lalu. Lapisan bulan pula lebih banyak terdiri daripada batu-batuan dan pepejal.

Bulan tampak bersinar dari bumi. Tapi, hakikatnya bulan tidak menghasilkan sebarang cahaya pun. Sebaliknya, ia nampak terang kerana memantulkan cahaya matahari, ibarat sebuah cermin yang memantulkan cahaya mentol.

Hakikatnya, bulan itu hanya dataran yang kusam, tidak bermaya. Tiada nyawa, tiada sinaran. TETAPI… bulan berjaya ‘menyembunyikan’ identiti sebenarnya kepada manusia. Mengaburi mata kita dengan keindahan palsunya, secara tidak langsung membuatkan manusia mengaguminya dan menjadikannya sebagai sumber inspirasi.

Metafora gambaran bulan ini mudah. Sesuatu yang buruk dan tiada nilai bukan bermakna ia tidak mampu berjasa untuk orang lain. Dan sesuatu yang tampak tiada nilai itu barangkali menyimpan sesuatu yang paling berharga. Sesuatu yang tersembunyi yang hanya diketahui oleh sang Pencipta.

Firman Allah S.W.T, “Dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui. Dan Kami tetapkan bagi bulan beredar melalui beberapa peringkat sehingga di akhir peredarannya kembali seperti bentuk tandan yang tua. Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang, dan masing-masing beredar pada garis orbitnya.” (Yasin 38 – 40)