AYAM BERKOKOK KERANA MELIHAT MALAIKAT?

“Dari Abu Hurairah, katanya Nabi s.a.w. bersabda,  “Apabila kamu mendengar kokok ayam maka mohonlah kurnia kepada Allah kerana ayam itu (berkokok) melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar teriakan keldai maka berlindunglah kepada Allah daripada gangguan syaitan kerana keldai itu melihat syaitan.”(HR Muslim)

Kokokan ayam jantan atau orang Johor panggilnya ayam jago mempunyai pelbagai maksud yang ditafsirkan oleh orang tua-tua. Yang pertama sudah pastilah kokokan itu membawa maksud waktu bersahur sudah tiba. Atau mungkin juga sudah Subuh, bangunlah semua isi rumah. Ayam tidak pernah kesiangan hingga terlupa untuk  membangunkan tuannya supaya bersegera solat Subuh.

Lagi satu yang sering diterjemahkan dari kokokan ayam adalah pasang surut air laut. Orang tua-tua tahu membezakan nadanya yang mana satu kokokan petanda air laut pasang. Mereka arif dengan jenis bunyi kokokan ayam di tengah malam. Petandanya air pasang besar yang kadang-kadang boleh menyebabkan kawasan di pinggir sungai ditenggelami air.

Ada juga yang mengatakan bahawa kokokan ayam jantan  menandakan, inilah kawasan jajahannya atau kokokan sombong bunyinya lain sedikit.  Dan ada ketikanya kokokan ayam itu adalah menandakan bahawa malaikat lalu.

Ada satu hadis lagi yang disebut oleh Abu Daud, “Ketika kamu mendengar salakan anjing dan rengekan keldai pada waktu malam hendaklah kamu meminta kepada Allah kerana mereka nampak apa yang manusia tidak nampak.”

Ada tiga ekor haiwan yang disebut oleh hadis tersebut iaitu yang pertama ayam dan keldai manakala hadis berikutnya pula menyebut anjing. Kenapa ketiga-tiganya disebut oleh Rasulullah s.a.w. dan ketika itu juga kita dianjurkan agar meminta daripada Allah. Meminta di situ adalah sama maksudnya dengan berdoa. Apa istimewanya haiwan itu?

Tentang kokokan ayam dan teriakan keldai itu mungkin tidak ramai yang mengetahuinya. Namun tentang anjing ramai yang tahu jika bunyi lolongan anjing di tengah malam ia dikaitkan dengan hantu. Sebenarnya anjing itu bukan saja melihat hantu tetapi juga geng-geng yang seangkatan dengannya iaitu iblis, jin dan syaitan. Tapi bagaimana pula dengan ayam?

Hadis yang dinyatakan berada pada tahap sahih, kita wajib mempercayainya dan beriman dengannya. Memang benar seperti yang dikatakan oleh Nabi s.a.w bahawa ayam memang boleh melihat malaikat. Sebab itu apabila mendengar kokokan ayam jantan maka digalakkan kita untuk berdoa, begitu juga ketika mendengar rengekan keldai. Kita dianjurkan berdoa untuk kebaikan semasa kokokan ayam dan berdoa  untuk perlindungan daripada gangguan syaitan semasa teriakan keldai kedengaran.

 

Ayam nampak malaikat?

Kemampuan mata manusia terbatas hanya pada benda yang boleh dilihat dengan mata kasar dan mempunyai jasad.  Namun haiwan dijadikan amat istimewa walaupun tidak mampu berkata-kata tetapi cara komunikasinya adalah unik. Di situlah terletaknya kebesaran Allah, diletakkan sesuatu yang istimewa pada tempatnya yang sesuai.

Para saintis Arab pernah menjalankan kajian untuk melihat perbandingan kemampuan mata manusia berbanding dengan ayam. Kajian itu mendapati mata manusia hanya boleh melihat sinaran yang tertakluk di dalam spektrum cahaya tampak. Kemampuan manusia hanya boleh melihat sekadar jarak gelombang cahaya antara 380-750nm (nanometer) sahaja.

Berlainan dengan haiwan, unggas dan serangga yang mempunyai kebolehan untuk melihat sinaran yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar manusia. Sebenarnya ia telah diterangkan oleh sains bahawa perkara itu tidak mustahil. Itulah yang disebut  mukjizat  sains di dalam hadis.

Adakah ayam boleh melihat malaikat? Perkara itu adalah tidak mustahil kerana semuanya Allah yang menentukannya untuk memperlihatkan kekuasaan Nya.

Ada satu hasil kajian yang dilakukan oleh saintis Arab. Di dalam kajian itu disebutkan,  haiwan dari kategori burung termasuk ayam yang aktif  pada waktu siang mempunyai kebolehan untuk  melihat sinaran ultra violet (UV). Ini bermakna ayam boleh melihat cahaya ultra violet yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia.

Menurut kajian yang dilakukan, ayam boleh melihat sinaran ultra violet 300-400 nm manakala kemampuan manusia melihat adalah pada jarak gelombang 380-750nm.

Hal itu kerana struktur kompleks retina mata ayam yang membolehkan ia melihat lebih banyak warna yang tidak boleh dilihat oleh manusia.  Penglihatannya yang tajam adalah satu kelebihan baginya mengesan  mangsa melalui najis dan air kencing.  Begitu juga ia membantunya untuk mengawan dan berhijrah.

Mengikut kajian itu, UV itu sifatnya sejuk berbanding dengan infra red yang bersifat panas. Kalau difikirkan balik, malaikat itu dijadikan daripada nur (cahaya), ia bersifat sejuk dan gelombangnya terletak di dalam gelombang UV. Namun tidak ada kajian yang dijalankan secara terperinci mengesan kehadiran malaikat. Cuma berdasarkan kajian itu, boleh dikatakan ayam mampu untuk melihat malaikat kerana kedudukannya berada pada gelombang UV.

Lazimnya ayam jantan akan mula berkokok menjelang dinihari. Pada kebiasaannya kokokan itu saling bersahut-sahutan dari pukul 2.00 pagi hingga matahari terbit. Ini juga menunjukkan bahawa malaikat itu sentiasa berada di bumi untuk memakbulkan doa kita. Ia juga menunjukkan malaikat itu ramai dan berada di bumi ini setiap masa. Jadi jangan lepaskan peluang untuk berdoa ketika ayam berkokok.

 

Kaitan kokok ayam, malaikat dan makbul doa

Sebuah hadis riwayat Muslim, dari Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah turun ke langit dunia setiap malam iaitu ketika telah lewat sepertiga malam pertama. Lalu Allah berfirman, “Akulah Tuhan! Akulah Tuhan! Siapa yang memohon kepada Ku, Ku perkenankan  permohonannya. Siapa yang meminta kepada  Ku, Ku beri dia. Dan, siapa yang memohon ampun kepada Ku, Ku ampuni dia. Begitulah seterusnya hingga terbit fajar.”

Dari hadis itu sudah jelas bahawa lewat sepertiga malam itu adalah saatnya malaikat berada di bumi. Namun itu bukan bermaksud pada waktu lain malaikat tidak ada di bumi.

Di dalam sebuah hadis juga ada disebutkan, “Sesungguhnya ada malaikat yang sentiasa bersama-sama kamu dan tidak pernah meninggalkan kamu melainkan ketika membuang air dan berjimak. Oleh itu hendaklah kamu malu kepada mereka dan muliakanlah mereka.  Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang selalu berkeliling keliling di jalan-jalan dan mencari-cari majlis zikir.”  (HR Bukhari)

Ketika di keheningan sepertiga malam itulah kita berada begitu dekat dengan Allah. Itulah masa yang digalakkan untuk bangun solat tahajud dan bermunajat kepada Nya.  Malaikat turun pada waktu itu untuk mengaminkan doa orang yang beriman. Ia bukan bermakna pada waktu lain Allah tidak makbulkan doa kita. Ia memberi tip untuk merebut waktu makbul doa dengan mudah.

Allah berikan beberapa waktu yang paling makbul doa antaranya sebelum masuk Maghrib, di dalam majlis ilmu juga ketika tengah malam. Di antara waktu-waktu itu juga ditunjukkan tanda-tandanya ketika ayam berkokok dan sewaktu hujan turun, maka ketika itu berdoalah.

Kita kena beringat,  apabila terdengar kokokan ayam,  Nabi suruh kita berdoa kerana ketika itu malaikat turun. Seolah-olah ia seperti bonus kepada kita untuk merebut peluang untuk dimakbulkan doa.

Doa yang diaminkan oleh malaikat dan orang soleh akan diterima Allah. Berdoalah semahunya di samping melakukan ibadat yang lain seperti membaca Quran dan solat tahajud.  Seperti mana yang disebut di dalam hadis itu, “mintalah”, maksudnya Nabi menyeru kita agar meminta apa saja ketika itu tanpa ada syarat.

Bagi wanita yang sedang haid pun boleh berdoa untuk meminta kepada Allah tanpa ada halangan. Tidak ada syarat yang diletakkan iaitu untuk berdoa mesti solat dahulu kemudian barulah boleh berdoa. Bagi yang tidak mampu bolehlah terus berdoa walaupun tidak melakukan solat, ia bukan satu kesalahan.  Namun adalah lebih baik untuk yang suci agar berdoa dimulai dengan wuduk dan solat tahajud.

Kenapa perlu berdoa ketika malaikat berada di bumi?

Ketika ayam berkokok itu tandanya malaikat berada di bumi untuk mengaminkan doa kita. Makam malaikat itu  di sisi Allah adalah antara orang yang paling dekat dengan Nya, taat, tidak pernah menderhaka dan sentiasa beribadat. Maka, doa malaikat itu  adalah doa yang dimakbulkan Allah. Bayangkanlah doa kita diaminkan oleh malaikat, tidak ada sesuatu yang lebih hebat daripada itu. Doa yang diaminkan oleh malaikat akan terus disampaikan kepada Allah.

Kita tidak boleh merasai bahawa malaikat itu ada kerana ia adalah perkara yang ghaib. Namun Allah tidak membiarkan kita hidup di dalam dunia ini tanpa panduan. Jika ada haiwan yang boleh melihatnya maka deria mereka digunakan sebagai tip untuk manfaatnya kepada kita. Itulah yang Allah berikan kepada kita sebagi satu rahmat. Terserahlah kepada kita untuk menggunakannya sebagai manfaat untuk merebut rahmat Allah.

Kajian yang dijalankan oleh pakar perubatan Mesir, Dr. Hesham Ahmed Taha,  menunjukkan, kebolehan penglihatan manusia amat terbatas jauh berbeza dengan keldai dan ayam. Manusia tidak boleh melihat sinar infra red dan ultra violet tetapi keldai serta ayam mampu melihatnya.

Mata keldai dikatakan mampu melihat syaitan

Menurutnya, keldai boleh melihat sinar infra red dan syaitan pula dijadikan Allah daripada api. Menggunakan alasan itu maka boleh dihuraikan bahawa keldai boleh melihat syaitan tetapi tidak boleh melihat malaikat. Dari banyak kajian yang dijalankan, gelombang syaitan terletak di dalam gelombang infra red. Gelombang itu juga sifatnya panas.

Manakala ayam jantan mempunyai kebolehan untuk melihat sinar UV. Kemudian difikirkan semula asal kejadian malaikat adalah dari cahaya atau nur. Antara cahaya dan api adalah dua perkara yang berbeza kerana api sifatnya panas sedang cahaya itu sifatnya sejuk. Pun begitu, jika sinar UV bertemu dengan infra red maka infra red akan hilang. Walaupun dari segi kepanasannya infra red lebih panas tetapi boleh dilenyapkan dengan cahaya yang sejuk.

Secara tidak langsung keadaan ini menerangkan kenapa syaitan lari apabila kita selalu mengingati Allah. Apabila kita sering mengingati Allah maka malaikat akan sentiasa mendoakan dan mendampingi kita. Syaitan akan melarikan diri apabila bertembung dengan malaikat kerana syaitan akan musnah kerana cahaya malaikat. Ia adalah sama seperti mana sinar infra red termusnah apabila ada sinar UV.

Daripada kajian yang dijalankan, ada haiwan yang boleh melihat satu lagi sinar iaitu infra red. Sinar ini terletak pada jarak gelombang panjang 750 nm – 1 mm9 milimeter.  Syaitan yang pernah dikaji oleh saintis berada pada tahap gelombang infra red. Ada beberapa spesies binatang yang boleh melihat dengan jelas sinar infra red seperti anjing, keldai, ular, kumbang dan beberapa jenis serangga lain.

Anjing melolong dikatakan kerana melihat jin, syaitan dan iblis

Jadinya, tidak mustahil jika lolongan anjing adalah kerana ia melihat syaitan, iblis dan jin yang dijadikan dari api. Manakala ayam jantan tidak boleh melihat syaitan kerana penglihatannya berada pada gelombang pendek. Manakala keldai tidak boleh melihat malaikat kerana penglihatannya berada pada gelombang panjang.

Sebab itulah ada hadis yang menyebut tentang syaitan yang berkeliaran ketika waktu senja. Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bila hari telah senja, laranglah anak-anak keluar rumah kerana ketika itu syaitan berkeliaran. Satu jam sesudah itu bila telah malam biarkanlah mereka. Kuncilah pintu dan sebut nama Allah, kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang terkunci (dengan menyebut nama Allah). Tutup tempayan mu dengan menyebut nama Allah. Tutup semua bejana mu dengan menyebut nama Allah, sekalipun dengan membentangkan sesuatu di atasnya dan padamkan lampu (ketika hendak tidur).” (HR Muslim).

 

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!