ARWAH MAK AJAK IKUT KE ALAM BARZAKH…

Kejadian ini sudah lama berlaku, namun masih segar dalam ingatan saya. Kisahnya begini…

Abang saya, Mohd Daud Ibrahim diserang penyakit semput. Suatu hari saya datang menjenguknya. Saya duduk di sebelah abang yang dadanya turun naik. Bila penyakit lelahnya datang, abang tercungap-cungap. Bila semputnya berkurangan, saya mengambil peluang berbual-bual dengan Abang Daud. Saya nasihatkannya supaya banyakkan rehat. Penyakit semput abang Daud memang tiada ubatnya. Sudah lama abang menderita penyakit tersebut. Dulu, arwah ayah kami, Ibrahim Dahaman juga meninggal kerana semput.

Selain abang Daud, seorang lagi kakak saya iaitu Hajah Bedah turut menderita penyakit yang sama. Hanya saya, adik Muhamad  dan abang Abu Bakar tidak ada penyakit tersebut.

Pagi itu, saya berbual-bual agak lama dengan Abang Daud. Usianya sudah menjangkau 64 tahun. Abang masih boleh bercakap seperti biasa. Cuma, apabila penyakit semputnya menyerang, abang terdiam seketika dan kurang bercakap.

Semasa berbual-bual pagi itu, Abang Daud memberitahu sesuatu yang mengejutkan saya. Kata Abang Daud, malam tadi dia didatangi arwah ayah. Bila Abang Daud cerita bertemu ayah, saya terus terbayangkan arwah.

Ayah sudah meninggal kira-kira 50 tahun lalu ketika saya berusia sembilan atau sepuluh tahun. Usia saya sekarang sudah 60 tahun. Tapi, apabila abang sebut nama ayah, saya masih dapat mengingati wajah ayah dengan jelas. Tubuh ayah besar dan tingginya enam kaki. Kulit ayah putih, wajahnya segak.

“Adik Sudin, malam tadi ayah datang jumpa Pak Lang. Ayah peluk, cium Pak Lang. Ayah kata rindukan Pak Lang…” beritahu abang Daud yang membahasakan dirinya sebagai Pak Lang.

Selepas berjumpa, ayah ajak Abang Daud mengikutinya ke alam barzakh. Di sana arwah ayah beritahu dia dan mak seronok dan bahagia. Saya lihat Abang Daud tunduk sambil mengesat air matanya.

Saya percaya apa yang diceritakan Abang Daud. Abang selalu bersembahyang berjemaah di Masjid Bumbung Lima. Semasa didatangi ayah malam itu, abang bukan bermimpi tetapi menatap wajah ayah di alam nyata ketika jaga.

Abang Daud beritahu, ayah datang dalam keadaan muda dan segak. Wajah ayah tidak dimamah usia. Semasa berjumpa, ayah sentiasa senyum dan berseri-seri.

Apabila mendengar cerita abang saya teringat kisah-kisah yang saya dengar sebelum ini. Ada orang mengatakan jika seseorang ada melihat arwah ayah, ibu, saudara mara terdekat itu petanda…

Saya ingin mendengar apa cerita selanjutnya. Lalu, saya bertanya lagi, apa pesan arwah ayah kepadanya?

“Arwah pesan supaya adik Sudin jaga Pak Su Mat (Muhamad), Wa (Abu Bakar) dan Kak Bedah,” beritahu Abang Daud lagi.

Saya mengangguk. Hanya itulah saja pesan ayah kepada abang Daud. Saya berjanji akan menjaga abang, adik  serta kakak seperti pesan arwah ayah. Tapi, saya pelik juga kenapa arwah ayah tidak berpesan supaya menjaga Abang Daud sekali.

*****

Sejak bercerita bertemu arwah ayah, kesihatan Abang Daud semakin merosot. Penyakit semputnya menjadi-jadi. Abang hanya terlantar di katil. Saya cuba juga berikhtiar mencari ubat bagi meringankan penyakitnya tetapi keadaan Abang Daud tidak banyak berubah.

Suatu petang, saya datang lagi ke rumah Abang Daud. Keadaannya semakin tenat. Waktu itu sudah lebih sebulan Abang Daud sakit. Abang Daud bisikkan kepada saya keadaannya semakin kritikal. Abang Daud mengadu sendi-sendinya habis sakit. Belakang badannya berasa lenguh yang teramat sangat.

Semasa berbual-bual itu Abang Daud beritahu saya dia kerap ternampak suatu makhluk besar datang memeluk badannya. Apabila makhluk besar itu datang memeluk, Abang Daud meronta-ronta, kemudian tercungap-cungap.

Saya tidak tahu apakah makhluk yang memeluk Abang Daud. Setahu saya Abang Daud tidak memiliki apa-apa ilmu salah. Abang Daud sering bersembahyang jemaah di masjid sewaktu masih sihat dulu.

Selepas bercerita melihat makhluk besar memeluknya, Abang Daud tidak lagi boleh membuka matanya. Kami berempat beradik selalu datang membaca surah Yasin. Anak-anaknya juga mengaji al-Quran siang dan malam.

Masuk hari ketiga, Abang Daud menghembuskan nafas terakhirnya. Abang meninggal dunia pukul 10.00 pagi pada hari Sabtu, 2001. Tengah hari itu mayat abang dimandikan, dikafan serta disembahyangkan di masjid Bumbung Lima. Selepas asar, jenazah abang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kepala Batas, Pulau Pinang. Alhamdulillah, abang meninggal secara baik.

Tapi, tidak lama selepas abang meninggal, Kak Bedah pula jatuh sakit. Selain menghadapi penyakit semput, Kak Bedah juga menghadapi masalah ketumbuhan dalam perut. Sudah dua tahun Kak Bedah menderita.

Suatu hari, Kak Bedah dimasukkan ke wad Hospital Sungai Petani. Selepas seminggu dirawat, anak perempuannya membawa tinggal bersama-sama di Sungai Petani. Ketika itulah, Kak Bedah memanggil saya dan adik bongsu berjumpanya. Kata Kak Bedah, ada perkara penting hendak diberitahunya kepada kami berdua. Saya dan adik (Pak Su) terus duduk dekat dengan Kak Bedah.

Kak Bedah beritahu malam tadi arwah mak ada datang berjumpanya. Ketika datang, arwah mak memakai telekung putih seperti orang bersembahyang. Mak peluk Kak Bedah. Mak beritahu rindukan Kak Bedah. Selepas berjumpa, mak terus ajak Kak Bedah ikut balik bersama-samanya di alam Barzakh.

Saya menitik air mata bila mendengar cerita Kak Bedah. Saya memang rindukan mak. Mak sudah berbelas-belas tahun meninggal dunia. Waktu mak meninggal saya sudah dewasa. Selepas itu, Kak Bedah berpesan agar saya menjaga Pak Su dan Wa (Abu Bakar).

“Kak pun tak lama dah…” beritahu Kak Bedah. Masa itu saya lihat Kak Bedah amat lemah.

Selepas mendengar cerita Kak Bedah, saya teringatkan arwah Abang Daud yang  meninggal dunia, sebelum itu. Arwah abang bermimpi bertemu ayah kira-kira 40 hari sebelum meninggal. Adakah ini petanda Kak Bedah juga akan…

Tidak lama selepas berjumpa, Kak Bedah dimasukkan sekali lagi ke Hospital Sungai Petani kerana keadaannya semakin tenat. Pada suatu pagi Jumaat, saya mendapat panggilan telefon dari salah seorang anaknya supaya datang segera. Anaknya memberitahu Kak Bedah nazak.

Pagi itu saya bersama Pak Su cepat-cepat datang. Tapi, bila sampai, Kak Bedah baru tiga minit meninggal dunia. Saya pun bacakan Al- Fatihah ambil tangannya dan kiam. Sudah tersurat, Kak Bedah meninggal pada hari Jumaat.

Kak Bedah meninggal selepas 40 hari bermimpi bertemu arwah mak. Kejadian itu sama seperti dialami arwah Abang Daud. Adakah kejadian ini secara kebetulan atau..?

Saya tidak mampu menjawab persoalan ini. Hidup dan mati adalah urusan Allah. Saya berdoa semoga roh Abang Daud dan Kak Bedah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Amin!

 

Pencerita: Shamsuddin Ibrahim