API YANG TIDAK PERNAH PADAM

Siapa pernah pergi ke daerah Madura di Jawa Timur, Indonesia? Tahukah anda, di desa Larangan Tokol di Madura, wujud satu fenomena alam yang amat unik. Ia dikenali fenomena ‘api abadi’ yang muncul dari dalam tanah.

Peliknya, api ini sentiasa menyala tanpa bahan bakar. Ia hanya terpadam jika ditimpa hujan atau ditiup angin ribut. Dan selepas itu, api itu akan menyala semula, dengan sendirinya. Proses ini berlaku secara automatik.

Justeru masyarakat di kawasan ini menamakan api ini sebagai ‘Api Tak Kunjung Padam’ atau ‘Jengkah’ dalam bahasa Madura. Kawasan api ini dipagarkan untuk tujuan keselamatan, namun pengunjung dibenarkan untuk melihat api ini secara dekat.

Di dalam kawasan berpagar tersebut, terdapat lebih kurang 50 tompokan api yang menyala. Api abadi ini berwarna biru oren dan tekanannya sama dengan api daripada dapur gas memasak.

Api ini akan menjadi besar apabila tanah di kawasan tompokan ini digali. Dan saiz api akan berubah menjadi kecil apabila lubang yang digali itu ditimbus semula. Lazimnya, pengunjung memanfaatkan sumber api tersebut dengan memanggang jagung, ayam dan ikan.

Api Abadi di desa Larangan Tokol ini pernah menjadi sumber api untuk menyalakan obor Pekan Olahraga Nasional (National Sports Week) Indonesia ke-15, pada tahun 2000.

Setiap malam semasa bulan mengambang, pertunjukan pencak silat akan di adakan di kawasan ini. Oh ya, kawasan api abadi ini merupakan milik peribadi seorang penduduk tempatan bernama Haji Ali. Dan di sini juga terdapat sebuah kolam belerang.

Apa yang menyebabkan api tersebut boleh menyala sepanjang masa?

Daripada sudut saintifik, kejadian ini berlaku disebabkan oleh kemunculan gas asli (gas metana) dari dalam Bumi yang keluar ke permukaan. Apabila gas ini bertemu dengan oksigen (O2) di permukaan atas tanah maka api ini akan terhasil.

Besar kemungkinan, api abadi di desa Larangan Tokol ini disebabkan lelehan gas Bumi (metana) di kawasan itu. Lelehan metana ini berlaku akibat penguraian bahan organik dalam tanah ataupun mungkin wujud telaga petroleum di kawasan berkenaan.

Di kepulauan Indonesia memang terdapat banyak tempat yang mengandung gas Bumi, misalnya di Mrapen, Jawa Tengah. Dipercayai, api di kawasan ini telah menyala sejak 1500 tahun lalu. Mengikut pemerhatian saintifik yang dijalankan, gas Metana di situ sangat kuat hinggakan ia tidak mudah padam walaupun ditiup angin kencang atau ditimpa hujan lebat.

Cuma, kadangkala pelbagai aktiviti eksplorasi di kawasan begini boleh mengakibatkan bencana alam. Misalnya, di desa Sidoarjo, Jawa Timur, pernah berlaku kejadian banjir lumpur akibat proses cari gali yang tidak terancang

Secara umumnya, kemunculan api sebegini bukanlah sesuatu yang baru di dunia. Sejak ratusan tahun lalu, api-api sebegini telah banyak muncul di pelbagai wilayah di seluruh dunia.

Berdasarkan beberapa manuskrip lama, api abadi telah muncul pada zaman Yunani dan Parsi. Malah semasa kelahiran Nabi Muhammad S.A.W., api abadi di berhala Majusi yang terletak di Parsi telah terpadam.

Pada zaman moden ini, kawah api yang sentiasa menyala masih boleh dilihat di Uzbekistan. Gerbang kawah api ini dikenali sebagai ‘Gerbang Neraka’ atau ‘Gate of Hell’.