ALANGKAH BERTUAHNYA JIKA…

Badar dan Abdul, dua lelaki yang sakit, ditempatkan bersebelahan dalam bilik wad yang sama. Kedua-duanya menghidap penyakit serius. Sepanjang waktu mereka hanya terbaring di katil memandang siling. Cuma, nasib Abdul sedikit baik apabila setiap hari dia berpeluang duduk bersandar di katilnya.

Setiap hari jam 12.00 tengah hari, jururawat akan datang membantu Abdul untuk duduk bersandar untuk proses rawatan. Walaupun sakit tapi Abdul menanti saat itu dengan gembira kerana ketika itulah dia dapat duduk dan memandang keluar tingkap.

Nasib Badar tidak sebaik Abdul. Dia hanya mampu terbaring di atas tilam, tidak mampu lagi untuk duduk.

Sejak terlantar Badar selalu bercerita mengenai kisah keluarga, rumah, pekerjaannya dahulu dan kisah-kisah kenangannya bersama keluarga dan kawan-kawan.

Tapi berbeza dengan Abdul. Setiap hari dia akan duduk dan memandang ke luar tingkap sepuasnya, sementara jururawat akan memasukkan ubat ke dalam badannya.

“Hari ini cuaca cerah. Tasik besar kat tengah-tengah taman tu airnya biru. Banyak itik dan angsa berenang,” beritahu Abdul.

“Eh! Kesian budak tu, bot mainannya tenggelam. Untung anak-anak sekarang, kapal mainan pun dah macam kapal betul. Dulu aku hanya buat daripada kertas,” cerita Abdul sambil ketawa.

Badar tersenyum mendengar cerita Abdul. Matanya dipejamkan rapat-rapat dan membayangkan kanak-kanak sedang gelak ketawa berlumba bot. Kawanan itik dan angsa mematuk-matuk ikan di air.

“Hmmmmmmm, indahnya di luar sana,” keluh Badar yang tidak berpeluang menikmati pemandangan yang diceritakan oleh Abdul. Kenangan manis zaman kanak-kanak menyerbu fikirannya.

“Ceritalah lagi,  apa yang kau nampak,” pinta Badar tidak sabar untuk mendengar selanjutnya.

“Ada merpati dua sejoli sedang berpimpin tangan. Eeeee, romantiknya. Ada bunga ros yang mekar di sudut jalan. Jauh di belakang sana aku nampak sebuah menara berlatarbelakangkan langit biru,” cerita Abdul bersungguh-sungguh.

Badar tersenyum puas. Dia tidak dapat melihat tetapi dapat membayangkan setiap yang disampaikan Abdul, teman di sebelahnya itu.

Hampir sejam Abdul tak putus-putus bercerita tentang peristiwa yang dilihatnya melalui tingkap. Rawatan selesai, Abdul dibaringkan semula sehinggalah tengah hari esoknya.

Pada suatu hari yang panas, Abdul duduk merenung ke luar jendela sambil menjalani rawatan. Matanya bercahaya memerhati, kemudian dia menjengah ke kiri dan kanan lalu tersenyum.

“Hari ni ada apa di bawah tu?” tanya Badar.

“Ada kereta berhias penuh dengan bunga berwarna-warni. Ada budak-budak sekolah seronok berjalan, mungkin pergi lawatan agaknya,” cerita Abdul.

“Macam ada perarakan pula ye…” ujar Badar. Di ruang matanya terbayang warna-warni perbarisan Hari Kebangsaan yang selalu dilihatnya di TV sebelum terlantar.

Hari berlalu dan minggu bertukar. Setiap tengahari, Abdul tidak pernah lupa bercerita apa yang dilihatnya melalui tingkap itu kepada Badar.

Suatu pagi, seorang jururawat datang membawa sebesen air mandian ke bilik mereka.

“Selamat pagi pakcik…” jururawat yang biasa datang untuk mengelap badan Abdul. Biasanya apabila dengar pintu dibuka Abdul sudah tersenyum kemudian dengan ramah dia akan bertanya khabar jururawat itu. Tapi pagi itu kelihatan Abdul masih tidur.

“Pak cik…” panggil jururawat sambil menyelak selimut Abdul apabila tidak ada jawapan. Kemudian dia perhatikan pesakit tua itu tidak bergerak dan dadanya tidak lagi berombak seperti selalu.

Jururawat bertugas memeriksa nadi Abdul, tidak ada denyutan. Kaki dan tangannya juga sejuk. Dalam keadaan kelam-kabut jururawat berlari memanggil doktor.

“Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun…”

Abdul disahkan meninggal semasa tidur. Satu per satu wayar yang berselirat pada badannya ditanggalkan. Jenazah Abdul diusung keluar.

Dengan pandangan sayu Badar mengiringi jenazah rakan sebiliknya itu. Tinggallah dia bersendirian dan tidak ada lagi siapa yang akan bercerita padanya tentang keindahan di luar sana. Badar mengesat air mata yang jatuh ke pipinya.

“Nurse, boleh tukarkan katil saya ke tepi tingkap?” tanya Badar petang itu.

Jururawat memenuhi permintaan Badar. Setelah semua wayar disambungkan ke tubuhnya, Badar ditinggalkan sendirian.

Perlahan-lahan Badar cuba menggerakkan badannya. Walaupun terlalu sakit tapi dia tidak putus asa untuk menjengah ke luar tingkap. Cukuplah kalau dapat melihat dunia luar dari tingkap itu walau seminit.

Tapiiii… hanya dinding bangunan sebelah yang dapat dilihat!

“Nurse, kenapa saya tak nampak taman, tasik dan bunga-bunga yang selalu diceritakan Abdul sebelum ni?” tanya Badar.

“Taman, tasik, bunga?” jururawat terkejut.

“Ya, seperti yang Abdul selalu ceritakan,” beritahu Badar.

Lalu jururawat menjawab, “Encik, Pakcik Abdul tu hilang penglihatan sejak jatuh sakit empat tahun lalu. Malah dia tak tahu pun tingkap tu menghadap dinding bangunan.”

“Habis, yang diceritakannya tu…?” soal Badar terkejut.

“Encik, mungkin Pakcik Abdul mahu menghiburkan hati encik yang jauh lebih muda daripadanya. Dia mahukan encik sembuh dan dapat kembali pulang ke pangkuan keluarga. Dia pernah beritahu saya, encik adalah sahabat yang paling disayanginya,” kata jururawat itu.

Tergamam Badar. Perlahan-lahan air matanya meleleh. Bahunya terhinggut-hinggut menahan sedu. Padahal semasa jenazah Abdul diusung keluar, dia tidak sesedih itu.

Alangkah bertuahnya kita jika memiliki sahabat seperti Abdul…