AJAIBNYA PANGGILAN SUBUH

Solat Subuh difardukan dengan dua rakaat sahaja, kerana ia adalah sebagai ‘ilah yang diberikan Allah swt kepada hambanya. Waktu Subuh diketahui sebagai waktu yang paling berat bagi hambaNya untuk bangun. Terkadang rasa mengantuk dan malas menyelubungi diri. Dengan sebab itulah ia diberikan keringanan.

Dalam solat Subuh ini juga disunatkan untuk membaca doa Qunut di dalam rakaat yang kedua selepas ruku’ sebagaimana pandangan dari mazhab Syafie. Tiada solat sunat selepas solat Subuh kerana ia adalah waktu yang dilarang untuk mendirikan solat.

Berkata Bilal r.a, “Tidaklah solat itu dilarang kecuali ketika terbitnya matahari. Sesungguhnya ia terbit di antara dua tanduk syaitan.” (HR Ahmad dan at-Tabrani)

Solat Subuh banyak kelebihan. Menurut satu kajian, kandungan udara pada waktu Subuh mempunyai tahap gas oksigen yang paling tinggi sekali, dan ia akan semakin berkurangan apabila terbitnya matahari. Bahasa mudahnya, udara pada saat Subuh menjelma adalah yang paling bersih dan kurang tercemar.

Udara bersih inilah yang membantu meningkatkan fungsi jantung, menguatkan paru-paru, memperbaiki serta meningkatkan sel organ yang rosak, mengendurkan urat saraf, reumatisme dan penyakit asma.

Melalui kajian terapi perubatan yang dijalankan oleh sekumpulan doktor di Jerman, udara bersih ini mampu meneutralkan peredaran darah dan meringankan penyakit asma serta menguatkan sistem imunisasi tubuh.

Ada juga kajian yang mengatakan bahawa pada waktu Subuh, kesan kelenjar pineal akan mula menurun, dan mengurangkan hormon melatonin, serta mengaktifkan sistem saraf yang akan bekerja pada waktu siangnya.

Sabda nabi saw, “”Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isya’ dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi keduanya (berjamaah di masjid) sekalipun dengan merangkak” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menyatakan kelebihan bagi mereka yang berjamaah di masjid pada waktu Isyak dan subuh. Walaupun tidak dinyatakan secara khusus apakah kebaikan melaksanakannya, namun perkataan merangkak itu membawa signifikan yang amat besar terhadap hikmah jika dilaksanakan. Mungkin ia merujuk juga kepada kajian yang dilakukan itu.

Ini kerana apabila mereka keluar ke masjid untuk berjamaah sudah semestinya mereka akan menghirup udara segar, dan ini yang akan melancarkan sistem tubuh untuk berfungsi dengan baik.

 

Kelebihan Subuh

Terdapat banyak kelebihan dan ganjaran yang disediakan Allah swt untuk hambaNya rebut saat solat Subuh dilakukan. Antara ganjaran yang disebut dalam hadis-hadis nabi saw ialah:

 

  • Memperoleh cahaya ketika melalui titian sirat. Hadis nabi saw berbunyi, “Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan ke masjid-masjid di waktu gelap bahawa dia akan mendapat cahaya yang sempurna di akhirat kelak.” (HR Abu Daud dan Tirmidzi)

 

  • Rasulullah saw mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh seperti mana hadis baginda saw, “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (HR Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)

 

  • Solat subuh adalah pengukur keimanan kepada Allah Rab al-Jalil. Bersabda nabi saw, “solat yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh. (HR Ahmad)

 

  • Pahalanya seperti melaksanakan solat sepanjang malam. Dari Usman bin Affan, berkata nabi saw: Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.”(HR Muslim)

 

  • Bebas daripada terkena air kencing syaitan. Daripada Abdullah ibn Mas’ud r.a, “telah diceritakan kepada Rasulullah saw mengenai satu kejadian di mana seseorang yang tidur sampai pagi hari sehingga menyebabkan dia tidak boleh mendirikan solat. Rasulullah saw bersabda, “syaitan sudah kencing di telinganya”. (HR Bukhari)

 

  • Mendapat pahala seperti mengerjakan haji dan umrah. Bersabda Rasulullah saw, “Barangsiapa yang menunaikan solat subuh berjamaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah swt sehingga terbit matahari, kemudian solat dhuha, maka dia akan beroleh pahala seperti pahala haji dan umrah secara sempurna, sempurna dan sempurna.” (HR Tirmizi)

 

  • Selain itu bagi mereka yang mendirikan solat Subuh, maka Allah telah menjanjikan ganjaran yang lebih besar dari keindahan dunia sebagaimana hadis nabi saw, “Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah S.A.W., dua rakaat solat Fajar (solat Subuh) pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya”. (HR at-Tirmizi)

 

  • Dijanjikan syurga seperti hadis dari Imarah b. Ru’aibah, bersabda Rasullah saw, “Sekali-kali tidak akan masuk neraka seseorang yang menunaikan solat sebelum matahari terbit dan sebelum tenggelamnya.” (HR Muslim)

 

  • Malaikat penjaga malam dan siang berkumpul pada waktu solat Subuh”. “Kemudian naiklah para Malaikat yang menyertai kamu pada malam harinya, lalu Rabb mereka bertanya kepada mereka, padahal Dia lebih mengetahui keadaan mereka – ‘Bagaimana hamba-hambaKu ketika kalian tinggalkan ?’ Mereka menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan solat dan kami jumpai mereka dalam keadaan solat juga‘. ” (HR Al-Bukhari)

 

  • Mendapat perlindungan Allah swt sepanjang hari. Hadis nabi saw, “Barang siapa yang menunaikan solat Subuh maka ia berada dalam jaminan Allah. Solat Subuh menjadikan seluruh umat berada dalam jaminan, penjagaan,dan perlindungan Allah sepanjang hari. Barang siapa membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah akan menuntutnya, sehingga Ia akan membenamkan mukanya ke dalam neraka” (HR Muslim, At-Tarmidzi dan Ibnu Majah)

 

  • Firman Allah surah al-Isra: 78, “Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sehingga gelap malam dan dirikanlah juga solat subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan oleh malaikat”

 

  • Firman Allah dalam surah Huud: 81, “Sesungguhnya saat jatuhnya adzab kepada mereka ialah di waktu Subuh; bukankah Subuh itu sudah dekat?”