AIR MATA SEORANG AYAH!

Pertengahan Julai, 2008

HUJAN masih lebat. Dari tengah hari hingga lewat petang, masih belum ada tanda-tanda ia akan berhenti. Saya mula risau kerana sudah pukul 7.15 malam, tapi anak sulung kami, Rafiqi, 16, dan Aisyah, 14, masih belum pulang dari sekolah.

Saya terus berdiri di tepi tingkap, menanti kepulangan dua anak kesayangan saya itu sambil melihat kenderaan yang melintasi persekitaran flat kediaman yang kami diami sejak 5 tahun lalu itu.

Sedang saya memerhatikan titisan hujan yang turun mencurah-curah membasahi bumi, tiba-tiba sebuah motosikal meluncur di jalan raya di hadapan flat kami.

Saya perhatikan motosikal itu. Ia ditunggangi seorg lelaki. Di hadapan lelaki itu, kelihatan seorang kanak-kanak duduk sambil menundukkan muka. Di belakangnya, seorang wanita duduk meriba anak kecilnya. Darah saya berderau!

Ya Allahhh…

Di saat itu hati saya menjadi hiba. Melihat langit gelap, angin yg bertiup kencang serta keempat-empat mereka dibasahi hujan, dada saya berasa sebak.

Kasihan…

Lantas, ingatan itu datang kembali. Ya, dalam hujan lebat begini…

Masih jelas di ingatan saya, ketika lewat petang beginilah, 12 tahun lalu, saya bergegas pulang dari tempat kerja apabila Seri menelefon supaya pulang cepat. Badan Aisyah panas, kata isteri saya itu.

Dalam lewat petang beginilah juga, ketika langit dtutupi awan hitam dan angin bertiup kencang, saya memecut motosikal menuju ke rumah sewa kami ketika itu, di sebuah kampung di Johor.

Pukul 6.50 petang, semuanya sudah bersiap. Rafiqi yang ketika itu berusia empat tahun, saya dudukkan di depan. Seri pula di belakang sambil mengendong Aisyah yang usianya hampir dua tahun.

Saya hidupkan enjin motosikal ketika langit semakin gelap dipayungi awan hitam. Hujan pasti turun sebenar lagi, saya berkata di dalam hati.

Ketika berpaling ke belakang, mata saya dan Seri bertembung. Saya mengerti perasaan isteri saya itu. Tentu dia resah kerana kami hanya ada satu pilihan saja, iaitu pergi ke klinik di bandar yang letaknya 20 kilometer dari rumah kami. Memang jauh, tapi kami tiada pilihan kerana klinik kerajaan di kampung kami sudah tutup.

Saya cium Aisyah yang sedang merengek dalam dukungan Seri. Dahinya panas, nafasnya juga panas.

“Duduk elok-elok ya, sayang…” kata saya pula kepada Rafiqi.

Perlahan-lahan motosikal meninggalkan pekarangan rumah kami itu. Sesekali saya terdengar suara Aisyah merengek. Mungkin tidak selesa kerana demam yang sudah dua hari tidak kebah itu semakin kuat.

Beberapa kilometer kemudian, awan hitam itu mula menurunkan rintik-rintik hujan. Aduh, saya teringat sesuatu. Saya terlupa bawa baju hujan! Lantas saya melajukan lagi motosikal. Kami mesti cepat sampai ke klinik. Mesti.

Di tengah perjalanan, mendung mula menurunkan rintik, kemudian rintik-rintik itu menjadi renyai. Saya suruh Rafiqi tunduk bagi mengurangkan terkena hujan.

Saya terus memecut motosikal kerana pertama, kami tidak boleh berteduh di mana-mana. Kiri dan kanan sepanjang jalan yang kami lalui itu tidak ada pokok walau kecil, atau pondok yang boleh kami bertumpang teduh. Kedua, hari semakin gelap, saya bimbang terlewat ke klinik.

Dari renyai, menjadi lebat, kami berempat kebasahan. Seluruh badan saya lencun. Saya dapat rasakan yang anak-anak dan isteri saya juga kesejukan. Namun, saya tidak boleh berhenti, saya mesti cepat sampai ke klinik. Mesti! Aisyah mesti dirawat segera kerana ruam-ruam merah sudah tumbuh di badannya.

Dalam kehujanan itu, hati saya terasa sebak. Rafiqi basah kuyup. Aisyah merengek kesejukan. Begitu juga Seri, isteri yang saya sayangi, yang sentiasa tersenyum dan sabar menghadapi hidup kami yang tidak semewah orang lain.

“Abah, cejuk…” kedengaran suara pelat anak sulung kami. Saya menyuruh  Rafiqi supaya tunduk lagi.

“Cejukkk…” sambungnya.

Ketika ini saya berasa benar-benar hiba. Ah, alangkah eloknya kalau saya punya kereta sendiri…

Saya cuba menahan air mata. Namun tidak berjaya. Air mata meronta-ronta untuk keluar. Lalu saya lepaskannya juga. Dari sedikit menjadi lebat.

Air mata terus mencurah bercampur air hujan yang telah sedia memenuhi muka saya ini. Rafiqi mula menangis. Begitu juga Aisyah. Seri? Saya tidak tahu. Mungkin…

Sepanjang jalan, beberapa kali saya kesat air mata itu, namun ia terus juga mengalir. Di saat itu saya merasa begitu bersalah. Saya sepatutnya mempunyai kereta, agar anak isteri tidak kesejukan dan basah begini. Tapi… saya tidak mampu. Saya hanya pekerja am.

Tiba di pekan hari sudah gelap. Hujan masih lagi lebat. Saya cepat-cepat kesat air mata dan berhentikan motosikal di hadapan klinik. Seri mendukung Aisyah dan saya mendukung Rafiqi. Kami bergegas menuju pintu klinik, tetapi…!

Ya Allah…!!!

Langkah kaki saya terhenti. Saya perhatikan betul-betul papan notis yang digantung pada tombol pintu kaca klinik itu… ‘TUTUP’.

Saya dan Seri berpandangan sesama sendiri. Mulut kami terkunci. Aisyah dan Rafiqi pula terus-terusan menangis…

 

Catatan,

Mohd. Razip Ahmad Salman

Ampang, Kuala Lumpur.

 

#xmastika