AIN – PANDANGAN MATA YANG MEMBINASAKAN

Bagi masyarakat kita, AIN mungkin agak asing kerana ia jarang diperbincangkan. Walau bagaimanapun ia sangat penting untuk diketahui kerana ia boleh menyerang dengan mudah kepada sesiapa waima anak kecil hingga mendatangkan mudarat yang cukup besar.

Pernah dengar penyakit ‘AIN’? Atau pernahkah anda rasa tiba-tiba serba tak kena, lemah badan, hilang selera makan, gusar dan tidak tenang? Jika ya, mungkin itu adalah simptom penyakit AIN. Ia boleh menyerang sesiapa tanpa disedari.

Apa itu AIN? Ain adalah perkataan Arab yang bermaksud ‘mata’. Penyakit AIN disebabkan oleh pandangan mata seseorang terhadap sesuatu atau seseorang dengan perasaan kagum, bercampur perasaan hasad. Pandangan tersebut menyebabkan terjadinya kemudaratan terhadap sesiapa yang dilihatnya.

Pandangan mata ternyata bukanlah boleh dianggap remeh. Darinya muncul pelbagai kesan bahaya. Sekilas memang tidak masuk dek akal, namun itulah hakikatnya kerana ia pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w.

Dalam surah al-Qalam: 51, Allah S.W.T. berfirman, “Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka, tatkala mereka mendengar al-Quran dan mereka berkata, “Sesungguhnya ia (Muhammad) benar-benar orang yang gila.

Dalam ayat ini, Ibnu Kathir mentafsirkan daripada Ibnu Abbas, Mujahid dan lain-lainnya bahawa ayat ‘benar-benar hampir menggelincirkan kamu’ ialah mempengaruhi kamu. Manakala ayat ‘dengan pandangan mereka’ bermaksud memandangmu dengan mata-mata mereka iaitu mendengkimu kerana kebencian mereka kepadamu.

Di dalam ayat ini, jelas menunjukkan adanya al-ain dan pengaruhnya adalah haq (benar) dengan izin Allah. Selain itu terdapat juga beberapa hadis yang diriwayatkan dari beberapa jalan yang berbeza memperihalkan tentang bahaya al-ain antaranya…

Tirmizi daripada hadis Sufyan b. Uyainah, daripada Amru b. Dinar, daripada Urwah b. Amir, daripada Ubaid b. Rifa’ah az-Zuraqi bahawa Asma’ Binti Umais r.ha. berkata, “Wahai Rasulullah! Bani Jaafar diserang mata jahat. Bolehkah saya membacakan ruqyah untuk mereka?” Baginda s.a.w. bersabda, “Boleh seandainya ada sesuatu yang mendahului takdir, maka sesuatu itu adalah mata jahat.”

Abu Daud dalam sunannya pula menyebutkan, Aisyah r.ha. pernah berkata, “Apabila ada orang yang menderita mata jahat, maka kami diperintahkan untuk berwuduk dan orang yang diserang mata jahat mandi dengan air itu.”

Justeru itu, penyakit ain memang benar wujud hingga memberi kesan yang besar kepada seseorang sekiranya tidak dirawat sebagaimana yang disabdakan Baginda s.a.w.

AIN adalah sebahagian daripada sihir yang berkait dengan pandangan turun ke hati.  Apabila seseorang melihat seorang lain hingga terdetik di hatinya sesuatu yang berunsurkan negatif, secara tidak langsung dia telah ‘mengainkan’ orang yang dilihatnya tanpa disedarinya. Sihir ini boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu disengajakan atau sebaliknya sekalipun tanpa niat.

Setiap individu mempunyai kadar peratusan yang tinggi untuk terkena AIN atau ‘mengainkan’ orang lain. Ia bergantung sejauh mana bersihnya hati dan sekuat mana dalaman individu tersebut. Jika hatinya bersih sudah pasti ia tidak akan ‘mengainkan’ orang yang dilihatnya. Begitu sebaliknya, jika kuat dalaman seseorang, sudah semestinya ia dapat menangkis sihir ain tersebut.

 

Bagaimana AIN terjadi?

Sihir ain boleh berlaku dalam dua keadaan, iaitu dengan sengaja atau tidak. Sengaja bermaksud menghantar sihir ain melalui ritual, bacaan mantera atau melalui bantuan jin. Manakala keadaan tidak sengaja pula hanya melibatkan lintasan hati yang mempunyai hasad sama ada disedari atau tidak.

Dalam maksud yang paling mudah, melihat seseorang itu lebih cantik darinya, maka ia merasa iri tanpa sedar ia telah ‘mengainkan’ orang yang dilihatnya.

Dalam konteks melihat, ain boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu melihat secara fizikal, atau secara tidak fizikal. Melihat secara fizikal iaitu objek yang dilihat itu wujud secara jelas depan mata. Manakala secara tidak fizikal seperti melihat gambar atau di alam maya seperti instagram, facebook dan sebagainya.

Contoh paling mudah, memuat naik gambar diri, anak atau keluarga di facebook. Ia bukan sahaja dilihat orang terdekat bahkan turut dilihat seluruh dunia. Namun tidak semua yang melihat itu suka. Mungkin ada di kalangan mereka yang tidak suka.

Apatah lagi melihat anak-anak mereka mungkin lebih comel, kehidupan mereka bahagia hingga timbul iri hati atau cemburu. Dalam situasi ini ain boleh berlaku sama ada terhadap dirinya, anak atau keluarga. Sekalipun kedudukan mereka jauh, ia tetap boleh berlaku kerana gelombang tidak mempunyai ruang dan waktu untuk disekat.

Lintasan hati memang sifatnya jahat, maka itu perbanyakanlah zikir bagi menyucikan hati agar tidak mempunyai hasad atau bersangka buruk sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam surah al-Hujurat: 12, “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berprasangka kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa…”

Bisa sihir ain memberi impak dalam pelbagai bentuk sama ada ringan atau mudarat yang lebih besar hingga membawa kematian. Andai yang dewasa pun terkadang boleh jatuh, apatah lagi jika yang kena kanak-kanak. Antara kesan yang ringan biasa terjadi akibat sihir ain ialah rasa tidak sedap hati, gusar, lesu tidak bermaya, demam, tiada selera makan, pucat atau lainnya.

Bagi anak-anak kecil pula mereka akan menangis tanpa henti, tidak mahu menyusu dengan ibu tanpa sebab, demam, kejang, fizikalnya terjejas, kurus walau cukup makan dan sebagainya.

Simptom ini biasanya melibatkan sihir tanpa sengaja dan tanpa ada bantuan jin syaitan. Sebaliknya jika lebih teruk dari itu, ia sebenarnya terkait dengan sihir yang melibatkan jin dan syaitan yang disertai dengan mantera.

Jika terkena pada ibu yang mengandung, bayi dalam kandungan meragam atau ibunya menghadapi masalah untuk bersalin. Ini disebabkan ketika itu gelombang dalam diri mereka sangat lemah. Ia juga berkait dengan jodoh dan rezeki, kerana itu kadang-kadang kita lihat seorang wanita cantik masih tidak berkahwin. Ini kemungkinan besar juga disebabkan oleh AIN dek cemburu dan hasad.

Sihir ain, jika tidak dirawat akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kerana apabila seseorang terkena ain, bermakna syaitan telah masuk dalam saluran darahnya. Justeru itu syaitan yang masuk melalui saluran darah akan menuju ke jantung kerana di situlah pusat istananya berdiri megah. Di sini ia akan mengganggu sistem jantung yang tidak dapat mengepam darah dengan sempurna, hingga boleh menyebabkan seseorang itu rasa tidak selesa, pengsan dan sebagainya.

Apabila syaitan berada dalam diri dan darah kita, sudah tentu ia boleh berbuat apa sahaja. Katalah dalam keturunan kita ada kencing manis, syaitan akan pergi ke bahagian pankreas. Ia akan menyebabkan kesan yang lebih teruk.

Jika tidak dirawat dan mengeluarkannya, ia akan bertapak dalam diri dan boleh berbuat apa sahaja yang dia suka. Boleh jadi jangkitan kuman pada paru-paru, kanser dan apa juga jenis penyakit hingga membawa kepada kematian.

Sebagaimana yang Baginda s.a.w. bersabda, “Sihir ain adalah berpunca daripada bisikan syaitan yang membisikkan ke dalam hati. Oleh itu perlu ada perlindungan agar hati mampu melawan bisikan tersebut”.

Namun jika seseorang telah terkena sihir ain, antara rawatan yang perlu dilakukan sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda s.a.w. adalah dengan dibacakan ayat-ayat ruqyah atau dimandikan. Kaedah rawatan ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik.

Daripada Ibnu Syihab dari Abu Umamah b. Sahal b. Hanif bahawa Amir b. Rabi’ah pernah melihat Sahal b. Hunaif mandi. Amir berkata, “Demi Allah! Saya tidak pernah melihat kulit seperti kulit gadis daripada apa yang baru sahaja kulihat.”

Tidak lama kemudian Sahal jatuh ke tanah. Rasulullah s.a.w. kemudian pergi kepada Amir dalam keadaan marah dan berkata kepadanya, “Mengapa kamu semua tidak mendoakan keberkatan? Mandilah.” Kemudian Amir membasuh wajah, tangan siku, kaki dan sebahagian dari kainnya dalam sebuah besen. Lalu air dalam besen itu disiram pada Sahal. Setelah itu Sahal mula sedar.

Imam Malik turut menyatakan lagi daripada Muhammad b. Abu Umamah b. Sahal daripada ayahnya, “Mata jahat itu nyata, maka berwuduklah untuk menghadapinya.”

Manakala Ibnu Qayyim menyatakan, Imam at-Tirmizi menyebutkan, “Orang yang menyerang orang lain dengan mata jahat perlu mencelup tangannya ke dalam besen, mencuci mulutnya lalu meludahkan air itu kembali ke dalam besen itu, lalu mencelup tangan kirinya dan menyiram lutut kanan di atas besen itu. Berikutnya tangan kanannya dicelup dan lutut kirinya disiram di atas besen itu.

Seterusnya dia perlu mencuci pakaiannya di dalam besen itu, dan airnya jangan ditumpahkan ke tanah. Kemudian seluruh air yang ada di dalam besen itu disiramkan dari arah belakang pada orang yang dijamahnya dengan mata jahat.”

Selain itu, rawatan yang paling ringkas dan mudah untuk simptom yang ringan adalah dengan dibacakan Ta’awwudz, surah al-Fatihah, an-Nas, al-Falaq dan al-Ikhlas serta ayat Qursi, sekurang-kurangnya amalkan membaca Bismillaahillazi la yadurru ma’as mihi syaiun fil ard.

Jika anak kecil yang terkena bisa ain dan tidak mampu membaca, ibu bapa perlu membacakan pada air dan minumkan atau mandikan anaknya.

Sebenarnya, dalam diri kita terdapat empat elemen penting iaitu mental, emosi, spiritual, dan fizikal. Jika kita perkuatkan spiritual itu, Insya-Allah ia akan menguatkan elemen yang lain. Amalkan membaca surah al-Qalam ayat 52, yang dibaca pada kanak-kanak sebanyak tujuh kali, dan hembuskan pada muka atau memberinya minum dari air tersebut atau dimandikan.