AD-DUKHAN, TANDA KIAMAT ANGKARA HENTAMAN DARI LANGIT

DUKHAN, salah satu tanda kiamat besar.

Pesan Rasulullah berkaitan tanda besar kiamat, sabdanya: “Hari kiamat tidak akan datang sebelum kalian melihat sepuluh (tanda-tandanya), 1) terbitnya matahari dari barat, 2) asap tebal, 3) binatang melata, 4) keluarnya Yakjuj dan Makjuj, 5) turunnya Nabi Isa a.s, 6) Dajal, 7,8,9) tiga khasaf (yakni penenggelaman ke dalam perut bumi): Khasaf di bahagian timur, di bahagian barat dan Jazirah Arab, serta 10) api yang muncul dari lembah ‘Adn (kota terkenal di Yemen) yang akan mengiring manusia. Api itu bersama mereka setiap saat, baik ketika mereka (tidur) pada malam hari mahupun saat mereka beristirahat pada siang hari.” (HR Muslim)

Yang disebut Dukhan adalah asap tebal, salah satu tanda kiamat besar yang dinyatakan. Perkara ini bukan hanya pada hadis Rasulullah s.a.w, tetapi diperincikan lagi dalam al-Quran menerusi surah ad-Dukhan ayat 10 hingga 11 yang bermaksud “Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata. Yang menyelimuti manusia. Inilah azab yang pedih.”

Setiap yang berlaku ada sebabnya. Maka bencana Dukhan juga pasti ada penyebabnya. Apakah peristiwa yang mampu menyebabkan langit dipenuhi dengan asap yang menyelimuti seluruh manusia?

Perbahasan ulama tentang peristiwa asap ini dikaitkan dengan astronomi. Mungkin hentaman daripada meteor atau komet atau boleh jadi juga asteroid pada bumi hingga menyebabkan peristiwa seperti bencana asap ini berlaku. Apatah lagi jika diperhatikan maksud ayat itu ada menyebut “Pada hari langit akan mendatangkan dukhan,” maksudnya besar kemungkinan ia akan datang dari atas yakni dari penjuru langit.

Ia ditambah lagi dengan maksud ayat 16 juga dari surah ad-Dukhan yang bermaksud “(Ingatlah) hari (ketika) Kami menghentam mereka dengan hentaman yang keras.” Ayat itu dilihat sebagai kesinambungan dengan ayat 10 dan 11 daripada surah yang bercerita tentang kejadian asap kelak menjelang kiamat.

Pendapat yang kuat dalam mengaitkan kejadian asap ini dengan astronomi berdasarkan kepada pendapat Ibnu abbas. Iaitu Ibnu Jarir at-Thabari dan Ibnu Abi Hatim merekodkan daripada Abdullah bin Abi Mulaikah berkata,  “Suatu hari, aku bersama Ibnu Abbas pada waktu pagi. Dia berkata, “Aku tadi tidak tidur sehingga subuh.” Aku bertanya, “Mengapa?” Dia berkata, “Mereka mengatakan bintang tidak mempunyai ekor telah muncul. Aku khuatir ad-dukhan telah muncul, maka aku tidak tidur hingga subuh.”

Berdasarkan kepada penyataan di atas, Ibnu Abbas yang pakar dalam bidang tafsir pada zaman sahabat dan tabiin mengaitkan antara kedatangan bintang berekor dengan dukhan. Ini menunjukkan kedua-dua perkara itu mempunyai kaitan yang rapat.

Ketakutan Ibnu Abbas menunggu saat terjadinya dukhan bukan ketakutan dibuat-buat, tetapi ketakutan itu adalah kerana mengingatkan betapa ngerinya kejadian tersebut dan kesannya kepada seluruh manusia. Sedangkan tubuh kecil kita apabila dilanda jerebu pun sudah boleh menyesakkan dada, begitu juga jika terkepung di dalam kebakaran, asapnya boleh mengakibatkan manusia mati. Inikan pula asap yang meliputi seluruh bumi dan manusia sehingga menyelimuti langit. Asap itu pula bukan asap yang biasa kita lihat, asap ini adalah asap bencana.

Berkenaan dengan kesannya kepada kita semua, Rasulullah s.a.w pernah bersabda daripada Abu Malik al-Asy’ari maksudnya, “Sesungguhnya Tuhan kamu semua mengingatkan kamu dengan tiga perkara. Pertama, asap yang menerpa orang beriman, di mana mereka seperti terkena gejala selesema. Ia juga melanda orang kafir, di mana sekujur tubuh mereka akan membengkak, lalu mereka tidak dapat mendengar. Kedua, keluarnya binatang dan ketiga keluarnya Dajal.

Manakala dalam riwayat lain, Masruq berkata, “Tatkala seorang pemuda bercerita tentang satu bahagian bukit, dia berkata, “Pada hari kiamat, asap muncul lalu menyeksa pendengaran dan penglihatan orang-orang munafik. Orang beriman pula menghidap seperti terkena selesema.…”

Rasulullah s.a.w menyatakan ketika Dukhan muncul, orang beriman hanya merasai kesannya bagai terkena selesema, manakala orang munafik atau orang kafir akan terseksa kerana kesannya. Jika dilihat, kita pasti tidak berasa gerun kerana kita bukannya orang kafir. Namun, yakinkah kita pada waktu itu kita tergolong dalam golongan orang beriman?

Rasulullah s.a.w juga pernah memberi amaran kepada kita semua mengenai perkara ini menerusi hadisnya yang bermaksud, “Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal soleh kerana akan terjadi suatu bencana bagaikan malam yang gelap gelita. Ketika itu seseorang beriman pada waktu pagi menjadi kafir pada waktu petang, dan beriman pada waktu petang menjadi kafir pada waktu pagi. Ia menjual agamanya untuk keuntungan dunia.” (HR Muslim)

Bencana yang disebut oleh Baginda s.a.w termasuk juga bencana dukhan ini. Ianya akan menimpa bumi selama 40 hari berdasarkan kepada sabda Rasulullah yang berbunyi, “Asap akan memenuhi timur dan barat, ia berlaku selama 40 hari. Apabila orang beriman terkena asap itu, ia akan bersin seperti terkena selesema, sementara orang kafir pula keadaannya seperti orang mabuk, asap akan keluar dari hidung, telinga dan dubur mereka.”

Justeru, meskipun kejadian meteor atau asteroid serta komet yang akan melanda kita kelihatan seakan-akan mustahil, namun percayalah, tiada yang mustahil pada pengetahuan Allah. Jika Allah kata ‘jadi’, maka jadilah ia.

 

IA PASTI BERLAKU!

Jika betul asap yang dimaksudkan oleh Allah menerusi surah ad-Dukhan ayat 10 hingga 11 dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w itu dari angkasa, pasti kita ingin tahu kejadian apakah yang boleh mengakibatkan keadaan bumi ditimpa oleh jasad-jasad dari dalam sistem suria dan kesannya kepada kita semua.

Kejadian hentaman daripada jasad di langit dalam sistem suria tidak mustahil akan menimpa bumi. Ini kerana perkara itu pernah berlaku pada kira-kira 65 tahun terdahulu. Asteroid berupa bongkah besi dan logam bercampur batu sebesar 15 km garis pusatnya telah jatuh menghentam bumi yang kita kenali sekarang sebagai Mexico, menyebabkan dinosaur pupus sama sekali.

Selepas itu ada lagi pernah berlaku, iaitu pada tanggal 15 Februari 2013, meteor seberat tujuh tan pernah menghentam Rusia. Dengan kelajuan 54 ribu km per jam. Ia menyebabkan lebih dari satu juta kaki persegi kaca berterbangan. Lebih 3,000 bangunan dalam bandar mengalami kerosakan.

Kita perlu jelas apa perbezaan antara asteroid, meteor, dan komet. Ketiga-tiga jasad ini semuanya boleh jatuh ke bumi dan memberi kesan dahsyat. Namun yang paling bahaya adalah astreoid kerana astreoid adalah batu-batuan. Berbanding komet yang terdiri dari ais dan meteor adalah batu juga tapi hasil daripada serpihan asteroid. Maknanya meteor lebih kecil berbanding asteroid.

Tujahan dari meteor ke bumi adalah perkara biasa. Ia berlaku kira-kira lima hingga 10 kali dalam setahun, tetapi yang jatuh itu adalah meteor kecil yang tidak memberi kesan kepada kita. Namun, sekarang dibimbangi adalah objek besar dari asteroid, meteor atau komet yang akan menghentam bumi.

Apakah sebab objek dalam sistem suria itu menghentam bumi? Keberadaan objek-objek itu dalam sistem suria adalah perkara biasa. Dalam planet bumi, Marikh, Musytari, ada lingkaran astreoid antara Marikh dan Musytari. Di dalam lingkaran itu terdapat banyak asteroid yang masing-masing berlanggar antara satu sama lain. Selepas berlanggar ianya akan terpelanting ke planet-planet berdekatan termasuk ke bumi.

Cuma, sebelum ini kita kurang mendapat impak hasil daripada itu disebabkan bumi mempunyai atmosfera iaitu kerak bumi. Atmosfera itu membantu planet bumi dalam menolak dan menapis objek-objek itu masuk. Namun, apa yang dikhuatiri ialah jika objek itu bersaiz besar, atmosfera sendiri tidak mampu menapisnya dan ia akan terus menghentam bumi.

Apa yang ditakuti dan menjadi kebimbangan ahli astronomi dunia ialah asteroid dan meteor serta komet ini tidak dapat dimusnahkan. Walaupun ia kecil, tapi kelajuannya sungguh dahsyat. Bila laju dari segi sains jisim x had laju momentum, menjadikan tenaga kenetik yang dibawa lebih kuat dari bom atom.

Seperti yang pernah berlaku dahulu di Mexico, kekuatan dan kelajuannya lebih dahsyat dan kesan hentakannya lebih 10 trilion kekuatan bom yang melanda Hiroshima dan Nagasaki. Ia memang tidak boleh dimusnahkan, sekali ia datang, hancur semuanya. Bergantung kepada saiznya.

Atas dasar itu, kita memerlukan sistem yang mengawal dan memberi amaran kepada bumi akan kehadiran astreoid. Disebabkan itu mereka iaitu NASA menyeru negara-negara di seluruh dunia agar menyediakan balai-balai tertentu bagi mengesan kehadiran astreoid ke bumi. Program ini dikenali sebagai pasukan Lincoln Near-Earth Astreoid Research (LINEAR).

Sehingga April 2013, dikesan 9871 jasad-jasad menghampiri bumi dan telah direkodkan. Lebih kurang 861 darinya adalah astreoid dengan diameter anggaran satu kilometer atau lebih. Juga 1394 daripada itu telah diklasifikasikan sebagai astreoid berpotensi membawa kerosakan bumi.

Bagaimanapun usaha manusia  dalam memastikan asteroid ini tidak menghentam bumi, ia hanya mampu memesongkannya. Namun, jika objek itu terlalu besar, dan teknologi manusia pasti tidak mampu berbuat apa-apa selain menerima kesan dahsyat itu dengan pasrah. Bahkan pakar astronomi dunia menjangka setiap 100 tahun akan ada asteroid atau jasad lain daripada sistem suria yang akan menghentam bumi sehingga memberi kesan besar. Setakat ini, tiada lagi berlaku dalam tempoh 100 tahun walaupun kiraannya sudah melebihi 100 tahun… bersedialah!

Hentaman itu boleh menyebabkan berlaku tsunami jika bebola api itu jatuh ke laut. Namun, jika ia jatuh ke darat, ia akan menghancurkan tanah sehingga terbakar segala yang berhampiran dan terbentuknya kawah hasil daripada hentaman itu. Dari situ debu-debu akan berterbangan dan menaik ke udara sehingga debu hitam itu akan menutupi ruang langit seperti yang diceritakan menerusi surah ad-Dukhan, asap menyelimuti langit.

Ekoran daripada bencana itu, segala makhluk di bumi termasuk kita akan mengalami sesak nafas yang teruk serta kejadian itu turut menghalang matahari daripada memancarkan cahayanya ke bumi. Bayangkan, siapa yang mampu bertahan pada ketika itu. Sedangkan dinosaur yang gagah perkasa itu boleh pupus akibatnya, apatah lagi manusia.

 

 

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!