9 JENIS HANTU MASYARAKAT MELAYU-SIAM KEDAH.

Oleh : Mohd Zaidan Jamrus

 

Setiap bangsa dan masyarakat, masing-masing ada kepercayaan atau kisah berkaitan ‘hantu’ yang berbeza mengikut kaum. Begitu juga dengan masyarakat Melayu berketurunan Thai di Kedah. Pernah dengar kisah-kisah hantu masyarakat Melayu-Siam di Kedah yang diceritakan nenek moyang kita, termasuk cara dan petua untuk mengelakkan gangguannya?

Kalau belum, ini 9 jenis ‘hantu’ dalam masyarakat Melayu-Siam di utara tanahair.

 

  1. PHRAN DAN DONG.

Digelar ‘Raja Hantu Hutan’. Juga dianggap ketua segala iblis rimba yang ditakuti pemburu. Bentuk badannya tinggi menjulang langit, berwarna hitam dan berbulu tebal. Hantu ini bermata satu dan hidungnya ke atas menghadap langit. Berjalan dengan cara mendongak dan berbunyi ‘duuq…duuq…duuq.’

Phran Dan Dong berkepala seperti anjing dan akan membawa anjing buruannya yang berkepala manusia. Ia hanya berjalan di atas lereng bukit pada waktu malam dan kawasan rondaannya dikatakan bermula dari bukit-bukau sempadan Bukit Kayu Hitam hingga ke Banjaran Titiwangsa.

Sesiapa yang terdengar bunyinya, perlu segera keluar dari hutan kerana dipercayai ada musibah akan melanda. Kononnya hantu ini suka meratah daging manusia. Sebab itu mangsa Phran Dan Dong tidak akan ditemui mayat mereka. Selalu bila ada orang hilang dalam hutan dan mayatnya tak ditemui, orang tua-tua akan kata si Phran dah makan orang itu.

Antara pantang larang hendak masuk ke hutan, jangan bawa telur ayam, ayam mentah dan garam. Sebelum masuk ke hutan juga, pemburu akan memberi salam dan berkata ‘kami anak cucu nabi Sulaiman nak cari makan’.

Kalau bermalam dalam hutan pula, hendaklah tidur atas pangkin. Jangan rapat ke tanah, nanti diterkam anjing buruan Phran Dan Dong. Juga, jangan tidur atas pokok, nanti mudah dilihat oleh hantu itu.

Kononnya sesiapa yang berani dan berjaya mencabut bulu betis hantu ini akan digeruni ramai.

Diceritakan asal usul hantu ini adalah daripada seorang pemburu yang tersesat dalam hutan kerana mencari rusa putih yang diidamkan isterinya. Rusa putih tidak ditemui, dia pula sesat hingga akhirnya bertukar menjadi hantu hutan. Ada juga mengatakan, pemburu yang tersesat itu dua orang. Ayah dan anak lelakinya yang turut membawa seekor anjing. Si anak dirasuk dan memenggal leher ayahnya, kemudian pancung pula kepala anjing mereka.

Setelah tersedar, si anak menyesal. Ketika itu juga dia diberi ilham agar mencantumkan kepala anjing ke leher ayahnya dan kepala ayahnya ke leher anjing kemudian dihidupkan semula sebagai penjaga rimba.

Versi ketiga mengatakan pemburu yang gagal menemui rusa putih berasa kecewa hingga didatangi seorang tua menawarkan rusa putih tapi dia mesti membuat perjanjian untuk tidak keluar dari hutan buat selama-lamanya. Kerana terlalu sayangkan isteri, pemburu tadi bersetuju. Malangnya dia ditipu dan bertukar menjadi Phran Dan Dong.

Dikatakan hantu ini boleh dibunuh. Ada seorang kenalan ayah saya bernama Pak Sabu, orang Changlun yang pernah menembak makhluk ini dengan peluru yang dilumur pulut kuning.

Tapi ada juga manusia yang cuba berbaik dengan Phran Dan Dong untuk dapat habuan buruan dengan mudah. Setiap kali dapat hasil, darah haiwan buruan akan dicurah ke satu tempat bersama ancak.

Lagi satu, wanita hamil dilarang masuk dalam hutan, kerana Phran Dan Dong mungkin beranggapan wanita itu adalah isterinya yang mengidam dulu.

 

  1. PEE WAK PA

Dianggap hantu hutan versi mini. Tugasnya menggangu orang yang mengotorkan hutan dengan kencing dan najis tanpa menyebut ‘tok…nek..cucu tumpang kencing’. Selalunya, mangsa akan bengkak pada alat kemaluan atau meracau didatangi orang berpakaian serba hitam.

Pee Wak Pa suka ganggu perempuan baru lepas bersalin. Orang tua-tua selalu bekalkan kacip pada wanita bersalin jika terpaksa berjalan di kawasan hutan. Hantu ini takutkan kacip kerana bimbang testisnya kena kepit. Kononnya telur hantu ni sangat besar dan hobinya berbogel sambil menjuntaikan asetnya yang hodoh itu kepada orang. Kalau tunjuk kacip, baru dia lari ketakutan.

Pantang larang juga jangan bawa telur, ayam mentah, ayam panggang atau garam bila masuk ke hutan. Malam hari raya pula, jangan kait buah kelapa kerana pokok kelapa di hujung kampung adalah ‘port’ lepak Pee Wak Pa selepas bebas dari kurungan Ramadan.

Hantu ini gemar menukar rupanya seperti anjing hitam. Kalau malam-malam ada anjing hitam lintas jalan, orang kata selalunya petanda sial. Kalau ada kematian, Pee Wak Pa akan menangis dan berbunyi seperti mengoyak kain kafan. Macam mana bunyi tu? Entah, aku sendiri tak pernah dengar.

 

  1. LANG KLUANG

Antara hantu popular yang diceritakan turun temurun. Berjantina dan bersayap. Belakang badannya berlubang macam Sundel Bolong. Rambutnya kerinting panjang menyentuh tanah, kukunya tajam dan matanya bersinar merah. Makanan kesukaannya darah wanita bersalin.

Hantu ini kerap menyamar jadi bidan, menjelma sebagai suami atau ibu kepada wanita yang bersalin. Bila nak basuh uri, dia menawarkan diri untuk membantu, tapi kemudian uri itu akan dilahapnya rakus.

Orang tua-tua menanam uri bersama jarum. Kononnya bila ternampak jarum, Lang Kluang akan takut. Hantu ini juga takutkan ikan puyu, sebab itu disimpan setempayan ikan puyu di anak tangga pertama rumah sebelah dapur. Kalau balik dari sawah dan Lang Kluang mengikut, mereka akan keluarkan ikan puyu. Maka larilah Lang Kluang sambil mengilai panjang.

Hantu ini suka menyakat kaum wanita terutama musim mengetam padi. Orang dulu mengetam padi waktu malam musim kemarau. Lang Kluang selalu akan menyamar sebagai teman atau bermain dengan tangkai padi yang diketam. Tapi, dia takutkan duri mengkuang. Sebab itu kebanyakkan tong padi akan terselit sehelai dua daun mengkuang kering untuk menakutkan makhluk ini.

 

  1. PEE NAM.

Orang Melayu menyebutnya sebagai ‘hantu air’. Menyamar sebagai wanita cantik untuk menggoda lelaki pada waktu malam dan membawa ke sungai lalu dilemaskan. Kononnya hantu ini berasal dari seorang ibu mengandung yang lemas dalam sungai semasa mencuci baju. Ibu malang itu isteri kepada seorang lelaki yang panas baran dan kerap menderanya. Kerana dendam kepada lelaki, dia menjadi Pee Nam dan kerjanya melemaskan mana-mana lelaki yang berjaya digoda.

Pantang larangnya, jangan kencing atau buang air besar  dalam air. Kalau makan di tepi sungai, sisa makanan jangan dibuang dalam sungai.

Hantu ini juga gemar mengganggu kaki pancing. Selalunya dia akan menyamar sebagai orang lemas dan meminta tolong. Sebaik saja dibantu, orang itu akan dilemaskan. Mayat akan disangkut ke akar pokok di dasar sungai. Kalau orang lemas tak timbul-timbul, orang tua-tua kata selalunya Pee Nam yang sorok.

Orang ramai akan melaungkan azan di tepi sungai dan tidak lama kemudian, mangsa lemas akan timbul seperti ditolak dari dasar sungai.

 

  1. PEE HUA LOM

Hantu ini datang bersama ribut. Berkepala gajah, babi dan anjing. Orang dulu-dulu bila hari nak ribut, mereka akan keluarkan senjata tajam lalu dihala ke langit dan membaca mantera begini : “Hai anak jin songsang, aku tahu asal kamu, asal ibu naik kuda terbang, asal bapa bawa pedang sakti, janganlah engkau singgah simpang tempat ini, jika engkau singgah simpang, engkau derhaka dengan Allah, engkau derhaka dengan Muhammad, Ah!”

Semasa menjerit ‘Ah’ itu, senjata tajam akan dilibas-libas ke udara ( tengok time la jugak, kalau dah petir tingkah bertingkah tu jangan cuba-cuba buat, tak pasal-pasal rentung kena panah pula).

 

  1. LOQ KROK

Juga disebut ‘Anak Kerak’. Asalnya bayi yang meninggal bersama ibunya. Semasa bersalin, ibu tumpah darah dan meninggal. Bayinya tak sempat keluar. Bayi dalam perut ibu mati bersalin dipuja dan jadi Loq Krok, manakala bayi yang meninggal semasa dilahirkan dipuja menjadi toyol. Ini bezanya, sebab ada yang ingat Loq Krok itu toyol.

Loq Krok tidak hanya berfungsi sebagai pencuri, malah boleh menyakiti musuh tuannya dan membantu dalam aktiviti perbomohan. Dia mahukan darah pada jari manis tuannya dan telur ayam kampung.

Kalau masuk ke dalam rumah, mangsa akan dipukau dan barang berharga akan dicuri walaupun dikunci kemas dalam bilik kebal.

Kelemahannya, kacang hijau. Kalau tabur kacang hijau, Loq Krok akan leka bermain hingga fajar menyingsing dan dia akan balik tanpa mencuri apa-apa. Budak-budak la katakan.

 

  1. NGU NANG KHRAT

Dalam bahasa Melayu disebut ular naga. Dikatakan pelangi adalah jelmaan ular Danu yang menghirup air selepas hujan. Sesiapa yang jumpa kepala Danu akan kaya raya kerana ada gayung emas di bibirnya (bukan payung emas… itu bini korang jadi naga kang).

Kononnya kepala Danu berada di kaki langit (macam mana nak ambil gayung tu, NASA pun tak tahu kaki langit kat mana).

Ngu Nang Khrat ada jantan dan betina. Yang jantan tinggal di bukit, yang betina dalam laut. Musim banjir, orang tua-tua akan cakap, bah bukit pecah naga jantan nak ke laut mencari naga betina untuk mengawan. Lepas mengawan, si jantan akan kembali ke bukit.

Kalau hujan panas, orang tua-tua melarang anak cucu bermain di lorong air, sungai atau parit kerana naga jantan akan lalu. Sisiknya berkilau dipanah mentari dan kalau musim bah, lewat-lewat malam akan terdengar bunyi seperti air dituang dalam bekas kosong, bermakna Ngu Nang Khrat sedang lalu. Jangan sesekali turun ke sungai, kalau tak kena makan.

 

  1. PAK KESOT & KHRU KEK KEK

Pak Kesot mungkin dianggap spesis beruk besar atau bigfoot. Kononnya haiwan ini menghuni gua-gua hutan tebal, makan pucuk kayu dan menangkap ikan. Ada jantan dan betina. Jantan berbulu hitam manakala betina berbulu perang dan buah dada besar (bukan hantu kopek ).

Di kedua-dua belah sikunya ada lebihan tulang seperti tombak untuk mempertahankan diri. Kalau orang masuk hutan dan nampak pokok kayu menunduk ke satu arah, bermakna Pak Kesot baru lalu. Pak Kesot takutkan api dan getah kelulut. Hantu ini gemar mengawan bukan saja sesama sendiri malah menjadikan manusia sebagai mangsa.

Dahulu kala, orang tua-tua akan bawa buluh runcing bila berjalan dengan anak gadis atau isteri dalam hutan. Kalau tidak, Pak Kesot akan culik dan bawa atas pokok untuk dijadikan habuan seks.

Kisah betul yang saya pernah dengar, pernah Pak Kesot menculik pengantin perempuan dan bawa lari ke hutan.

Kisahnya begini, keluarga pengantin perempuan langgar pantang larang yang ditetapkan pak dukun. Setiap kali melangsungkan upacara perkahwinan, keluarga si perempuan perlu berjaga sepanjang malam pertama, kalau tidak beruk besar akan muncul. Namun, kerana keletihan, keluarga pengantin terlupa pesanan tersebut dan nyenyak tidur. Tengah malam, belum sempat apa-apa lagi, pengantin perempuan diculik melalui alang rumah dan dibawa ke hutan.

Bila dukun mengambilnya semula, perempuan itu diresapi semangat monyet dan meracau-racau hingga gila atau meninggal dunia.

Khru Kek Kek pula hantu mawas. Bunyinya ‘Kruak kek kek kek..’. Makhluk ini suka  makan anak ayam mentah-mentah dan kalau ada bayi dalam buaian, jangan ditinggal sendirian. Khru Kek Kek suka bayi dan membawa lari untuk dipelihara dalam hutan (mungkin Tarzan juga dilarikan Khru Kek Kek).

Khru Kek Kek tak minum air sebarangan melainkan embun kerana sumpahan darah nenek moyang mereka. Kononnya satu ketika dulu, Khru Kek Kek dipanah manusia dan terjatuh dalam lopak air. Peristiwa itu menyebabkan seluruh keturunan mereka tak sanggup minum air bertakung. Zaman dulu, kalau bina rumah dalam hutan, kawasan huma atau baru teroka, tuan rumah akan tanam pokok ‘jaan tai plai pen’ ( tak tahu nama dalam bahasa Melayu ) di keliling rumah.

Khru Kek Kek akan masuk ke dalam rumah melalui ranting dan dahan pokok yang menjulur ke bumbung, dia tak boleh pijak tanah dan takutkan pokok Jaan Tai. Bila ada pokok itu di keliling rumah, terputus sudah jalan nak masuk buat onar. Orang perempuan juga digalakkan bawa pokok Jaan tai dengan dijadikan cucuk sanggul atau selit bawah kain batik. Dengan itu, Khru Kek Kek tak berani dating dekat.

 

  1. HANTU TUJUH BERADIK.

Asal-usulnya tujuh kepal tanah yang digunakan untuk sendal kedudukkan mayat, diambil dan dipuja hingga jadi hantu tujuh beradik. Dipelihara untuk jaga kampung halaman, menguruskan sawah padi dan menjaga haiwan ternakkan yang dilepas dalam hutan.

Kalau dalam masyarakat Melayu, kisahnya mirip hantu raya. Hantu ini kerap menyamar sebagai tuannya dan bekerja di waktu malam. Selalu orang ternampak hantu ini bekerja di sawah atau berada di dusun. Apabila ditegur, dia tidak menyahut. Makanannya hanya telur ayam mentah dan tujuh kepal pulut kuning, ayam mentah dan bertih padi.

Hantu ini diwarisi sebagai saka dan sangat degil untuk keluar. Anak cucu pemilik akan diserang hingga lumpuh atau gila kalau tak mahu menjaganya. Bila arwah meninggal dunia, hantu ini akan pulang ke rumah dan tidur dengan isteri arwah atau makan nasi sejuk. Cara nak elak gangguannya, letakkan ikan puyu dalam rumah kerana orang tua-tua percaya ikan puyu tidak tidur. Sihir dan sumpahan hantu dikatakan tak boleh masuk ke dalam rumah yang ada makhluk yang tidak tidur seperti ikan puyu. Senduk nasi perlu diletak atas tudung periuk, hantu ini tak berani makan. Lagi bagus senduk kayu dibuat daripada teras kayu kemuning, berlian atau tambun tahi.

Selalunya, orang yang bela hantu tujuh beradik pandai berdukun dan kerja tangannya luar biasa. Kalau anyam jala, buat serkap atau jerat, memang membuahkan hasil lumayan. Pemiliknya juga awet muda dan gagah kalau bersilat, tapi mempunyai kemahuan seks luar biasa. Setiap malam, berkali-kali tuan punya hantu ini mahukan layanan batin. Ada yang kata, layanan batin perlu diberi tujuh kali semalam, demi memuaskan setiap seekor hantu tu. Memang patah riuk le kalau bersuami pembela hantu ni.

 

****

Kisah di atas adalah sebahagian koleksi cerita hantu dalam kepercayaan masyarakat Melayu berketurunan Thai terutama di Kedah. Lebih spesifik, dalam keluarga saya sendiri kerana kami mewarisi kisah ini dari datuk dan nenek moyang. Mungkin di tempat lain ad nama dan versi lain pula. Secara umumnya hantu-hantu ini takutkan ikan puyu. Jadi tak perlu susah payah pasang CCTV atau beli tangkal mahal-mahal, letak ikan puyu dalam rumah dah cukup. Modal pun jimat. He he he…

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!